Ahad, November 30, 2008

Malam Semalam Di Ibukota 37.











Pesta bergerak yang terbantut.

Isnin, November 24, 2008

Aku Hanya Menunggu Penggusti Terunggul Melayu.

Aku akui aku bukan lelaki tipikal. Aku tidak minat menonton bola. main futsal, borak pasal mekap kereta atau bertukar-tukar cerita tentang 'jajahan-jajahan' peribadi dan sebagainya. Aku memang tidak ramai kawan lelaki pun, dan ramai kawan-kawan rapat aku ialah perempuan. Dan jika aku melepak bersama kawan-kawan lelaki pun, aku akan pastikan perkataan-perkataan 'Arsenal', 'Sportsbarn', 'spoiler kereta' dan 'cipap' tidak wujud di dalam perbualan. Perbualan biasa antara rakan-rakan selalunya akan melibatkan perkataan 'perlakuran jisim', 'halaju maksima', 'large hadron collider' dan 'MILF - Moro Islamic Liberation Front'.

Tetapi di dalam banyak-banyak benda tipikal (lelaki Melayu) yang aku perhatikan, ada satu yang aku suka. Gusti. Gusti berjeli wanita berbikini memang sudah pasti, tetapi apa yang aku ingin ceritakan di sini ialah tentang gusti yang digemari pakcik-pakcik geram di warung-warung tomyam tepi jalan. (Fenomena menyiarkan gusti di restoran makan sekarang sudah merundum, mungkin akibat monopoli Astro. Agak sedih jika difikirkan.) Apa-apa pun aku minat gusti, tetapi bukan sampai tahap kegeraman fizikal yang biasa ditunjukkan oleh pakcik-pakcik peminat gusti. Pakcik-pakcik yang suka menggenggam buku lima dan menumbuk-numbuk tapak tangan, dan menghentak-hentak kaki seolah-olah dia sendiri yang sedang bergusti.

Aku mula minati gusti selepas aktif menyewa pita video dari pusat video berdekatan rumah ketika berumur 12 tahun. Sudah tentu pita-pita gusti disewa bersama pita-pita filem artistik yang biasanya menampakkan puting dan punggung wanita. Akibat amalan cover line ini, aku memang arif tentang gusti, mungkin sampai sekarang. Kiranya memang aku telah lama mengikuti perkembangan gusti, dari zaman-zaman WWF (sebelum digelar WWE sekarang), NWA, WCW dan NCW. Dari zaman Jimmy 'Superfly' Snuka, Paul Orndorf, George 'The Animal' Steele ke zaman Hulk Hogan, Ultimate Warrior, The Iron Sheik dan 'Macho Man' Randy Savage ke zaman Triple H, The Undertaker dan Kurt Angle.

Dan sudah tentu tiap-tiap ahli gusti ini ada gimik masing-masing, berdasarkan jalan cerita yang disogokkan ketika itu. Salah satu gimik yang popular ialah gimik tentang kaum dan kewarganegaraan, seperti gimik Arab The Iron Sheik, gimik USSR Nikolai Volkoff, gimik Jepun Mr Fuji dan Yokozuna, gimik Lucha Libre Rey Mysterio dan macam-macam lagi.

Tetapi sampai sekarang tiada ahli gusti bergimik Melayu.

Kamu rasalah kan, kalau ada gimik Melayu, bagaimana agaknya watak dan imej ahli gusti tersebut? Kalau aku Vince McMahon dan aku pemilik besar WWE, aku akan perkenalkan watak 'Rempit'. Ring entrace (atau cara masuk ke gelanggang) mudah sahaja. Mula-mula akan kedengaran bunyi enjin motorsikal 110CC ditekan habis, dan sudah tentu akan masuk lagu 'Kerana Aku Masih Ingat' dendangan Dragon Red. (Dunia gusti adalah satu-satunya tempat di mana genre lagu nu-metal masih popular.) Selepas itu akan muncul ahli gusti kita dari belakang tabir, menunggang motor Yamaha Nuovo dengan megahnya, dengan lampu depan terpasang. (Sebab memang itu undang-undang jalanraya kita pun.) Rempit kemudiannya akan memecut motosikal hingga kelajuan 110km/j ke arah gelanggang, sudah tentu dengan aksi Supermannya, iaitu baring di atas tempat duduk, kaki tegak ke belakang. Sebaik sahaja sampai di kawasan gelanggang Rempit tidak akan memperlahankan motosikalnya, sebaliknya akan terus melanggar tepi gelanggang dan akan menggelongsor dengan mudahnya dengan cara Superman ke dalam gelanggang.

Imejnya mudah sahaja, seluar jeans dengan but gusti yang diubah seakan-akan kasut but Timberland, dengan kemeja lengan pendek yang dimasukkan ke dalam seluar dan jaket yang dipakai terbalik, iaitu bahagian belakang akan dipakai di depan. Sudah tentu satu arena akan gamat ketika Rempit menanggalkan helmet putih jenama Shoei beliau, yang akan menampakkan rambut yang disikat ke belakang dengan rapi menggunakan Tancho dan rambut berekor berminyak ala-ala 'Padawan' di hujung tengkok. Klimaks ring entrance berlaku bila Rempit menanggalkan cermin mata gelap Rayban Aviatorsnya dan satu arena akan mula boo kuat-kuat. (Rempit mestilah watak 'heel', dan bukan 'face'!)

Antara gerakan-gerakan yang boleh dijadikan identiti Rempit ialah 'Skodeng', iaitu tujahan padu menggunakan jari ke mata lawan, 'Pertama Complex Suplex' iaitu gerakan suplex bersahaja ala santai dan gerakan penyudah 'Rempuh Roadblock' yang melibatkan Rempit mengenakan helmet dan menggunakan motorsikal untuk merempuh ke arah lawan sampai 3-count.

(Bodohlah rumah tak ada Internet.)

Apabila sudah menang babak ring exit semestinya harus dilakukan sebegini.

Ahad, November 23, 2008

Malam Semalam Di Ibukota 36.

















Malam penuh rahsia barangan Korea.

Sabtu, November 22, 2008

Tengok Sahaja-lah.



Jangan buat begini ketika ujibakat musim Akademi Fantasia yang selanjutnya, OK? (Diambil dari Boing Boing Gadgets)

Jumaat, November 21, 2008

9 Sebab Mengapa Melayu Tidak Boleh Jadi James Bond.

Aku belum lagi sempat menonton filem 'Quantum Of Solace', tetapi menurut cerita dari rakan-rakan memang filem yang amat menarik. Aku sebenarnya dari zaman kanak-kanak lagi gemarkan filem risikan dan agen-agen rahsia (bukan merisik untuk bertunang) dan espionage, dan ya, hanya Sean Connery yang merupakan James Bond sejati pada aku (lihat gambar). Tak silap aku, filem pertama James Bond yang aku lihat di panggung wayang (dan ingat-ingat sedikit) ialah 'For Your Eyes Only' dengan lagu temanya dendangan Sheena Easton. Walaupun begitu salah satu memori terawal aku ialah menonton watak penjahat bergigi besi bernama 'Jaws' di panggung wayang, jadi mungkin aku pernah menonton samada 'Moonraker' atau 'The Spy Who Loved Me' terdahulu.

(Oh ya, lagu tema filem James Bond kegemaran aku ialah 'The Living Daylights' dendangan A-Ha. Dan mungkin juga 'A View To A Kill' dendangan Duran-Duran.)

Apa-apa pun matlamat nukilan hari ini ialah untuk memberikan 9 Sebab Mengapa Melayu Tidak Boleh Jadi James Bond.

1. Melayu Suka Berahsia Tetapi Tidak Pandai Simpan Rahsia.
Aku rasa industri perisikan satu dunia ini berasaskan satu konsep, iaitu keupayaan untuk menyimpan/menghantar/menjual maklumat rahsia dan sensitif. Sekarang kita lihat sahaja Harian Metro. Penuh dengan berita-berita peribadi yang mengaibkan, lagi-lagi selebriti murahan dan ahli politik. Lagi pun kita semua memang gemar mendengar perkara yang sepatutnya dirahsiakan. Macam siapa main dengan siapa, laki siapa yang keluar dengan bini siapa, laki siapa yang keluar dengan laki lain, siapa yang bayar duit kepada siapa, benda-benda macam tu-lah. Aku tidak hairan kalau Melayu yang jadi James Bond sudah pasti keesokan harinya terpampang di muka depan suratkhabar segala apa rahsia kerajaan kita semua. Tapi itu mungkin perkara yang baik pun. Cuma bergantung kepada nilai wang ringgit rahsia itu bukan?

2. Martini Yang Digoncang, Bukan Dikacau (Martini, Shaken, Not Stirred) Itu Haram.
Takkanlah kamu pergi ke tempat-tempat ekslusif di French Riviera atau Monte Carlo dan kamu pergi ke bar dan memesan, "Bang, fresh orange satu?". Aku rasa pada saat dan ketika itu pastinya identiti kamu sebagai perisik dari Malaysia yang jual rahsia kepada Harian Metro akan terbongkar serta-merta. Akibatnya pasti kamu dibunuh atau sekurang-kurangnya diseksa dengan menonton kesemua episod 6 musim Akademi Fantasia. Sekaligus.

3. Kasino Dan Perjudian Haram.
Kalau kamu menonton 'Casino Royale', James Bond dengan selambanya menggunakan duit kerajaan British untuk berjudi demi tugasan rahsianya. Bukan itu sahaja malah pegawai yang ditugaskan dari Kementerian Kewangan pula ialah seorang wanita seksi dan mengancam yang tidak suka memakai coli (sarung tetek kata orang tua-tua). Kalau agen rahsia kita yang pergi mesti fikir dua tiga kali untuk melangkah ke dalam kasino. Dan sudah pastinya akan terfikir untuk ke kasino sambil berbaju batik berlengan panjang macam semasa latihan espionage dulu di Genting Highlands. Kalau ada pegawai Kementerian Kewangan kita pula yang ikut sudah tentu pegawai yang ditugaskan seorang makcik bertudung yang memakai lencana nama berwarna hitam. Jangan haraplah kalau dihantar untuk masuk ke dalam kasino yang penuh dengan perjudian, arak dan seks bebas (menurut Harian Metro).

4. Seks Bebas Juga Haram, Bukan?
Semua pasti tahu bahawa James Band ialah seorang Player (Cerita Lain). Seks dan nafsu digunakan semata-mata untuk menyelesaikan misi. Banyak masalahnya kalau agen kita yang menjadi James Bond. Satu, agen kita pasti kacak macam Daniel Craig, jadi sudah tentu amat sukar untuk menggunakan seks sebagai taktik. Mesti ramai yang tidak berselera pun. (Orang kita kalau kacak paling kuat cita-cita pun hendak berganding dengan Nasha Aziz di dalam siri drama 72 episod. Tak akan ada yang ingin jadi agen kerajaan.) Dua, kalau kacak pun, bukan tentu agen-agen serta pegawai-pegawai yang kita hantar itu sukakan perempuan pun.

5. Proton!
Hendak buat kereta tahap konsumer pun masih terkial-kial selepas 20 tahun, inikan pula kereta khas untuk perisikan yang penuh dengan fungsi dan senjata tersembunyi dan kalis peluru pula. (Macam Batmobile dulu) Aku rasa paling kuat pun kalau kita ada James Bond fungsi tercanggih Kereta Perisik Nasional merupakan Keupayaan Untuk Buka/Tutup Pintu Tingkap Tanpa Tersangkut. Memang tak akan ada Kereta Perisik Nasional yang boleh jadi kapal terbang/kapal selam/belon/helikopter. Kalau hendak gunakan kereta import pula susah nanti, satu Dewan Rakyat kecoh pasal peruntukan/kos penyelenggaraan/AP.

6. Identiti Palsu Amat Terhad.
Dengan rupa sawo matang kita, memang sukar untuk agen kita low-profile. Sebab kita turun lapangan terbang mana pun, nama kita yang ada perkataan 'Bin' itu sudah pasti menyebabkan sedikit kesukaran akibat 'ancaman keselamatan'. Untuk menggunakan nama 'Carlos Valderrama' atau 'Bebeto' (orang Amerika Latin ada rupa Melayu apa?) di dalam passport pula susah, nanti orang kampung ingatkan kamu murtad. Kalau guna nama Mat Salleh memang 100% kantoi. Kamu ingat ada orang akan percaya ke bila lelaki rupa Melayu pakai passport di bawah nama 'John Holmes' atau 'Ron Jeremy'? Sudah tentu tidak.

7. Tidak Cukup Peralatan Khas.
Kalau James Bond ada watak 'Q'nya yang membekalkan segala apa peralatan rahsia sebagai alat komunikasi, senjata atau alatan perubatan, kita ada apa?

Setakat remote control Astro tidak ke mana. Kalau hendak harapkan satelit-satelit Measat untuk komunikasi pun aku rasa agen rahsia kita kena 'beratur' dan tunggu giliran di belakang quota penggunaan Maxis, Celcom, Digi, U-Mobile dan macam-macam lagi. Kalau musuh kita letupkan semua Measat-Measat kita (tidak silap aku ada 2? Betulkan aku jika salah, ya?) memang habis terkandas agen rahsia kita. Takkan nak tulis dan hantar surat pakai Pos Malaysia?

8. Satu Malaysia Akan Tahu Identiti Agen Rahsia Kebangsaan.
Ya-lah, mestilah bangga, ada anak jati kita yang berjaya menjadi Agen Rahsia. Sudah tentu akan ada lintas langsung hari Ahad ketika rancangan Nona, ala-ala perkahwinan-perkahwinan glamour selebriti kita. (Itu pun kalau Astro Awani tidak ambil dulu.) Memang sah akan terpampang muka agen rahsia kita di mana-mana, yang sudah tentunya dipilih melalui undian SMS. Apa-apa pun aku rasa agen rahsia kita mungkin akan menjadi kaya akan menjadi duta produk itu dan produk ini. Mungkin atas sebab ini agen rahsia kita tiada sebab untuk dilaporkan ke BPR sebab sudah cukup gajinya.

9. Kita Mungkin Cukup Belanjawan Untuk Satu Orang Agen Sahaja.
Mestilah, sebab aku rasa belanja untuk latihan sahaja sudah berjuta-juta. Akan wujud Pusat Pra-Latihan Agen Rahsia yang pastinya akan dibina di lokasi eksklusif di United Kingdom (atas dasar perkongsian teknologi), kemudiannya Pusat Latihan Asas Agen Rahsia Kebangsaan di lokasi rahsia yang tidak boleh dikemukan (Langkawi. Sebab bebas cukai) dan tidak lupa juga Pusat Latihan (Dan Convention Hall) Lanjutan Agen Rahsia Kebangsaan di Putrajaya. Selepas agen rahsia kita terbunuh ketika melakukan tugasan (akibat keracunan makanan di Dubai) sudah tentu kecoh satu Malaysia tentang program agen rahsia kita di suratkhabar, dan akibatnya satu program ini dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan dari segi latihan (sebab gunakan pelatih sukarelawan) dan bangunan (kandungan pasir lebih dari simen dalam bancuhan konkrit). Tamat cerita.

Jadi, memang sahlah Orang Melayu Tidak Boleh Jadi James Bond, bukan?

Rabu, November 19, 2008

Peraduan Menulis Nukilan 1.

Di sini aku ingin beri peluang kepada kamu untuk menulis untuk blog aku. Topiknya mudah sahaja.

"Tafsiran 'Melayu Minimalis'"

Sila e-melkan penyertaan kamu kepada mminimalis at gmail dot com. Penyertaan terbaik akan melihat penulisannya diterbitkan di sini, dan mungkin juga akan dapat hadiah khas, istimewa dari aku. Mungkin.

Penyertaan tidak terhad kepada jantina, tetapi harus di dalam Bahasa Malaysia, tatabahasa/ejaan/nahu yang betul serta mencabar minda dan boleh dibuat renungan bersama. Unsur-unsur kelakar amat digalakkan, dan kutukan haruslah sinis dan membina, bukan sekadar mengutuk.

Hantarkan penyertaan kamu sekarang!!! Tarikh tutup ialah hari Ahad ini, 23 November!

Tafsiran 'Mamat'.

(Gambar sekadar hiasan diambil dari sini.)

Terlebih dahulu maaf jika nama kamu Mamat.

Aku rasa golongan Mamat ini adalah golongan yang paling umum yang aku penuh buat tafsiran di sini. Aku pasti ramai antara kamu pernah berjumpa dengan mereka ini, dan aku tidak hairan jika kamu sendiri adalah seorang Mamat. Jadi untuk memastikan sama ada kamu ini termasuk dalam golongan ini, teruskan membaca...

1. Kamu Dipanggil Mamat.
Kamu dari kecil lagi telah diberi nama Mamat atau Mat. Tidak kisahlah kalau nama kamu ada 'Mohamad' ataupun tidak. Walaupun nama kamu seindah Ahmad Syarifuddin Mikael Mutawakkil Azizullah Danish Hamimi Bin Aziz pun, kamu akan tetap di panggil Mamat akibat sifat kamu yang tiada istimewanya. Bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, universiti dan tempat kerja pun, kamu akan dipanggil Mamat. Kalau adik beradik kamu telah berkahwin dan mempunyai anak, anak-anak mereka akan memanggil kamu Pak Mat atau Uncle Mamat. Kecuali kalau kamu gemuk, maka kamu akan dipanggil 'Bob'. Dan kecuali jika kamu dengan kawan-kawan yang pandai sepatah dua Bahasa Inggeris, yang akan memanggil kamu 'Joe'.

2. Kamu Tidak Pernah Menonjol.
Kalau kamu berjalan seorang diri, tiada siapa yang akan perasan kamu. Walaupun kamu perasan yang orang semua perasan kamu. Kalau bilangan kamu ada 100 orang pun, kamu semuanya akan menjadi 100 orang yang tidak dipedulikan. Akibatnya ramai di antara kamu yang mengambil jalan mudah untuk mendapat perhatian—berperangai buruk. Tetapi jarang di antara kamu yang suka berperangai buruk seorang diri, kerana segala aktiviti akan dijalankan bersama Mamat-Mamat lain yang sehati sejiwa dan sebosan kamu.

3. Kamu Pandai Dalam Perkara-Perkara Yang Bodoh.
Ketika dalam Tingkatan 3 kamu berazam untuk lulus PMR sahaja dan kemudian bekerja untuk menjadi mekanik, atas alasan ibubapa kamu miskin dan tidak mampu, walaupun semua orang tahu pendidikan sehingga Tingkatan 5 di Malaysia ini semuanya percuma. Apabila kamu berjaya menjadi mekanik dan kawan-kawan kamu semua masuk universiti kamu akan menyesal tidak melanjutkan pelajaran bersama mereka dan bertekad untuk bekerja di pejabat pula. Sekarang apabila kawan-kawan kamu bertanyakan di mana kamu bekerja, kamu akan kata kamu bekerja dalam pejabat, walaupun hanya sebagai seorang despatch. Sekurang-kurangnya kamu boleh jimat duit menyelenggara motosikal kamu akibat pengalaman sebagai seorang mekanik, bukan?

4. Kamu Sampai Di Blog Aku Selepas Menggoogle 'bikini melayu'.
Mengaku sajalah.

5. Kamu Suka Dengkikan Kejayaan Orang.
Akibatnya kamu selalu menggunakan ayat-ayat seperti 'Bapak kau kaya boleh-lah.....', 'Kau pandai mestilah kau boleh...' dan 'Kau boleh speaking mestilah kau boleh....' dan yang sewaktu dengannya. Walaupun sebenarnya ini semua tiada kaitan langsung pun dengan apa yang kamu boleh perolehi. Akibat kamu malas berusaha kamu akan lebih suka mengambil jalan senang seperti mencuri, berjudi, berlumba dan cari downline. Mungkin kamu ponteng kelas bila cikgu Darjah 2 kamu mengajar tentang konsep 'Usaha Tangga Kejayaan' dahulu.

6. Kamu Agresif Bila Nampak Awek.
Salah satu aktiviti yang aku gemari bila aku ternampak seorang perempuan seksi berjalan di depan restoran mamak misalnya, ialah memerhatikan reaksi lelaki-lelaki lain yang berada di situ. (Beginilah hidup aku, orang lain tengok perempuan, tapi aku tengok lelaki yang tengok perempuan) Biasanya si Mamat ini akan berhenti seketika dari melakukan apa sahaja yang dia tengah lakukan, merenung ke arah dada/punggung wanita tersebut dengan cara agar tidak dikantoi oleh wanita tersebut, dan kemudiannya akan menelan air liur dan akhirnya menghirup miniman (walaupun gelas sudah kosong). Mesti begitu. Dalam 10 kali babak sama yang aku perhatikan, boleh dikatakan 9 kali senario yang sama akan berlaku. Mungkin sebab itu aku suka berjalan dengan kawan-kawan perempuan yang menggiurkan, bukan untuk merenung dada mereka, tetapi sekadar untuk memerhatikan reaksi Mamat-mamat di sekeliling aku. Kelakar kadang-kadang. Oh ya, mereka ini sekadar agresif memandang sahaja, dan biasanya akan berakhir di situ sahaja. Tetapi secara jujur reaksi Mamat ini bukannya menarik pun, lebih menarik melihat reaksi perempuan-perempuan lain yang biasanya akan pandang dari atas ke bawah dan kemudiannya memberikan mimik muka yang sinonim dengan ekspresi 'Hmmph!'.

7. Kamu Agresif Bila Awek Tidak Melayan Kamu.
Perempuan di luar sana biasanya tidak akan memberi respon jika ditegur dengan siulan serta bunyi-bunyian haiwan yang lain. Dan biasanya mereka juga tidak akan melayan jika kamu mulakan ayat dengan 'Hai Cik Adik...'. Kalau mereka layan nasib kamu bertuah, sebab kamu akhirnya telah berjumpa dengan seorang Minah yang berkemungkinan besar mempunyai cita-cita yang serendah kamu. Paling kurang pun kamu patut yakinkan si Minah tersebut untuk belanja makan kamu sekurang-kurang lima kali sebelum kamu mencuba nasib dengan perempuan malang yang lain.

8. Kamu Bangga Bila Dapat Berjalan/Meronda Dengan Awek.
Walaupun awek tersebut muka pecah lori. Janji ada kemaluan wanita. Tetapi ada juga yang suka kalau berjalan dengan awek yang berkemaluan lelaki. Paling bangga bila awek tersebut membonceng basikal bermotor yang dipandunya. Dan sudah tentu walaupun ada ruang sepanjang 1.5 meter di atas tempat duduk motor si Mamat ini akan duduk jauh ke belakang, agar lebih senang berfantasi yang kedua-dua kemaluan mereka itu berada di posisi yang amatlah berdekatan. Aku hanya tunggu hari di mana aku boleh nampak dengan mata aku sendiri awek jatuh motor akibat duduk kebelakang sangat di tempat duduk motor.

9. Apabila Kamu Akhirnya Berjaya Memajukan Diri Kamu Berubah Menjadi 'Azman'.
Jika kamu bernasib baik, kamu akan jatuh di dalam golongan 2% yang berjaya membebaskan diri dari belenggu Mamat, tetapi hanya untuk jatuh sebagai kategori terbawah di dalam golongan 'Azman'. Cuma kenderaan bertayar 2 kamu itu akan menjadi kenderaan bertayar 4, dan jumlah bil bulanan kamu akan melonjak 200%. Tidak lupa juga 'Perempuan-perempuan Ampang' yang semakin menunjukkan minat pada kamu walaupun kamu masih menggunakan skrip "Hai Cik Adik". Itu sahaja. Yang lebih istimewa pula akan cuba berjinak-jinak dengan muzik, bermula dengan sessi latihan dengan pakcik-pakcik kumpulan muzik kampung kamu yang aktif di kenduri-kenduri kahwin, tetapi akhirnya kamu hanya akan makan gaji di dalam band 'rock' tidak bermuka yang memainkan lagu-lagu tangkap leleh hasil ciptaan Mahaguru muzik Melayu kita. Beza antara golongan ini dengan golongan 'Azman' di atas hanya satu, iaitu warna kereta kamu. Pasti berwarna merah. Atau kuning. Mungkin.

10. Kamu Tiada Citarasa Kreatif.
Akibatnya kamu masih menampal poster-poster gambar artis atau motorsikal berkuasa besar di dinding bilik berwarna hijau kamu dengan menggunakan pita selofan. Langsir kamu masih bercorak bunga-bunga berwarna-warni, yang kamu dengan bangganya pamerkan sebagai latarbelakang gambar profil Myspace kamu. Kamu masih rasakan kasut Timberland tiruan kamu yang dibeli di Danau Kota itu masih bergaya, sebergayanya seluar jeans Levi's Siam kamu yang pastinya berpotongan 'boot cut'. Kamu rasakan konsep formal itu ialah memasukkan kemeja berlengan pendek kamu ke dalam seluar jeans lusuh kamu dan memakai topi sambil berkaca mata hitam. Kamu rasakan style idol kamu ialah Aqasha (seperti gambar berpistol di atas), walaupun dia bukan seorang Mamat tetapi seorang Azman. Mungkin juga kamu minat Farid Kamil tetapi kamu rasakan dia seorang hero yang lembik dalam filem 'Remp-It' jadi kamu masih utamakan Aqasha.

Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih.

Selasa, November 18, 2008

5 Perkara Rawak Yang Aku Perhatikan 1.

Biasanya, apabila aku ingin menulis, aku akan cuba mendapatkan ilham dengan membuat pemerhatian tentang perkara-perkara di sekeliling aku, ataupun dengan menonton TV siaran RTM atau TV3. Selepas berjaya mendapatkan pemerhatian yang aku ingini, aku akan kembangkan idea (di dalam kepala, tak main lah tulis-tulis di jurnal) dan akhirnya ia akan menjadi satu nukilan lengkap. Tetapi kadang-kadang banyak perkara yang aku perhatikan, cuma aku sukar untuk gabungkan menjadi satu nukilan lengkap. Contohnya macam pemerhatian-pemerhatian rawak di bawah—

1. Orang Bangsa Afrika Suka Berjalan/Berdiri Di Tengah Jalan.
Sudah beberapa kali aku hampir terlanggar bayang-bayang hitam yang suka berkerumun di tengah-tengah jalan berdekatan tempat tinggal aku. Aku kurang faham mengapa mereka perlu berdiri betul-betul di tengah jalan, bukan di bahu jalan atau di tempat pejalan kaki. Aku andaikan ini kerana dari mana mereka berasal ini merupakan perkara biasa. Mungkin sebab batasan jalanraya untuk kereta lembu dan kereta kuda di sana mungkin sukar untuk dipastikan mana hadnya. Iaitu di mana jalanraya berakhir dan laluan pejalan kaki bermula. Atas sebab ini perangai ini mungkin terbawa-bawa sampai ke sini. Mungkin seperti mana kita selalu minta sos cili ketika di makan di luar negara.

2. Orang Yang Borak Berslanga Selalunya Didiskriminasi.
Ini khas untuk Bahasa Inggeris. Kalau kamu dibesarkan di negara luar memang sah cara percakapan Inggeris kamu akan berbeza dengan cara biasa di sini. Diskriminasi di sini tidak selalunya negatif, malah mungkin atas sebab slanga kamu itu kamu dipandang tinggi. Maklumlah kita di sini suka sangat dengan benda-benda luar. Kalau slanga yang asli itu tidak mengapa, tetapi slanga yang dipungut selepas hanya sebulan di negara luar itu yang tidak boleh tahan. Setahu aku slanga yang sebegini tidak akan kekal selamanya, dan biasanya akan hilang selepas seketika. Macam aku, aku tiada slanga pun. Malah, ketika berborak dengan orang Amerika atau Britain mereka yang kagum sebab slanga aku berbeza dari mereka. Jadi amalkan Bahasa Inggeris slanga Malaysia ya? (Bukan slanga Melayu.) Tiada untungnya berslanga Amerika, British atau yang paling meluat, Australia yang dibuat-buat.

3. Perempuan Indo (Bukan Indon) Lawa Biasanya Bermisai Nipis.
Ini selalu aku lihat, bukan sahaja di sinetron-sinetron di Astro malah di depan mata aku sendiri. Dari jauh memang lawa, tetapi bila didekati akan ketara mekap tebal dan misai nipis di atas bibir. Aku pun tidak tahu mengapa. Mungkin kebiasaan dari sana? Tidak pernah dengar pasal threading ke? Misai hanya untuk orang lelaki, terima kasih.

4. Seksi Wajib Konfiden.
Aku membesar dengan banyak membaca majalah-majalah wanita kepunyaan Ibu aku. Ibu aku memang suka mengumpul majalah, yang dahulunya akan dijilid mengikut tahun keluarnya majalah tersebut. Aku paling suka membelek majalah-majalah edisi lewat 60an dan awal 70an, ketika gerakan 'flower power' dan 'hippies' sedang memuncak. (Siapa ingat lagi majalah 'Koleksi'? Popular pada tahun 80an dahulu. Kalau nak gambarkan kandungannya adalah seperti gabungan majalah Mastika, Mangga dan Starlog. Mungkin.) Majalah 'Wanita' ketika itu memang bebas habis, bukan macam 'Wanita' edisi sekarang yang hanya diminati wanita tua sebaya emak kamu. Penuh dengan gambar separa bogel dan fesyen-fesyen micro-mini dan see-through dan macam-macam lagi. Gambar bikini jangan ceritalah. (Walaupun dalam cetakan hitam putih.) Mungkin ketika itu Akta Percetakan keluaran Kementerian Dalam Negeri masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya. Dan salah satu perkara yang aku selalu baca dahulu ialah nasihat bahawa jika kamu ingin seksi (untuk wanita sahaja ya?), kamu kena berani dan konfiden. Sebab kalau kamu berani dan konfiden tiada lelaki yang akan mengacau kamu. Kalau kamu malu-malu kucing sambil memakai baju nampak lurah dada akan semakin ligat si rempit kurap tepi jalan akan bersiul-siul ke arah kamu. Dan memang betul pun, kalau kamu nampak segan-segan memang akan kurang keseksian kamu. Kalau tak percaya cubalah. Depan aku. Boleh aku ambil gambar sekali, ya?

5. Hidup Aku Bukan Terhad Di Dalam Blog Sahaja.
Mungkin ada di antara kamu yang kurang faham. Aku ada kehidupan lain di luar blog ini. Dan kalau kamu rajin mengikuti blog ini pun kamu pasti sedar yang aku sebenarnya jarang menulis tentang diri sendiri (aku sudah tak ingat berapa kali aku tapi ayat ini di sini). Sebenarnya kalau boleh pun aku ingin asingkan apa yang aku buat dalam blog dengan apa yang sebenarnya berlaku di dalam hidup aku. Tetapi ini bukan bermakna apa yang aku tulis di sini fiksyen, jauh sama sekali. Sebab itu aku lebih rajin menulis tentang orang lain, mungkin kerana ianya lebih mudah untuk menulis apa yang aku lihat dari menulis tentang apa yang aku alami sendiri.

Tetapi aku perasan sekarang ramai yang suka menulis segalanya tentang apa yang berlaku kepada diri mereka tiap-tiap hari. Yang aku selalu ikuti ialah kehidupan gadis-gadis parti liar yang keluar tiap-tiap malam, bergambar dalam keadaan mabuk dan pulang rumah pagi keesokan harinya. Ini bukan cerita di Los Angeles atau London, tetapi cerita-cerita di Kuala Lumpur, Subang dan Damansara. Kisah gadis-gadis yang bekerja sambilan sebagai gadis litar seksi dan nukilan-nukilan tentang hari-hari mereka berjemur di kolam renang memakai bikini. Lengkap bergambar lagi. Dan tiba-tiba kamu dikejutkan dengan nukilan yang berbunyi -

"Kelas Geografi membosankan. Aku harap aku lulus kertas Geografi untuk SPM bulan depan. "
Apakah??? Kehidupan budak-budak zaman sekarang memang berbeza dengan kehidupan aku dahulu yang hanya menonton tentang kehidupan-kehidupan begini ikhsan Brenda, Brandon dan Dylan dalam 'Beverly Hills 90210'. Dan tidak, aku tidak akan membuat pautan kepada blog-blog mereka ini. Sila guna otak dan 'Google' sendiri. Yang aku pasti kalau kamu menggoogle 'awek sekolah pakai bikini' sudah pasti kamu akan berakhir di blog aku.

Isnin, November 17, 2008

10 Perkara Yang Kamu Boleh Lakukan Untuk Menjengkelkan Aku.



Aku bukan seorang yang cepat pemarah. Dalam hal-hal yang melibatkan kesabaran, aku memang selalu bersabar. Bukan bersabar untuk mendapatkan sesuatu, tetapi bersabar sebelum aku benar-benar marah. Aku boleh hitung dengan satu tangan waktu-waktu aku benar-benar marah, yang biasanya berakhir dengan objek-objek yang patah atau rosak, atau bahagian badan sendiri yang lebam. Akibatnya, aku jarang marah, lebih kepada annoyed atau perasaan menjengkelkan. Jadi di sini aku ingin senaraikan 10 perkara yang membolehkan aku 'potong nama' kamu dari dalam senarai buku aku.

1. Orang Yang Memandu Macam Babi.
Aku jarang menyumpah pemandu-pemandu sebagai 'bodoh', 'bahlul' atau 'stupid motherfucker'. Aku panggil mereka 'babi'. Bukan 'khinzir' (masih terlalu hormat) tetapi 'babi'. Ini termasuk mereka yang suka membelok tanpa memberikan isyarat, mereka yang keluar dari persimpangan jalan walaupun nampak kereta aku sedang mara bahaya dengan laju, dan orang yang tidak menunggu giliran. Tidak lupa juga orang yang menghantar SMS ketika memandu. Mereka semua babi. Selalunya aku doakan mereka kemalangan ataupun sekurang-kurang kereta mereka ditarik. (Aku perasan pemandu Kancil merah model lama sering jatuh ke kategori ini.)

2. Orang Yang Meludah Di Restoran Dan Tempat Awam.
Biasanya orang tua suka buat begini. Aku tak peduli sama ada kamu lebih tua dari aku ataupun tidak tetapi jika kamu inginkan aku hormati kamu sila jangan meludahkan kahak di depan aku ketika aku makan. Macamlah tidak pandai gunakan sinki dalam tandas. Sebentar tadi ada dua pakcik perasan kaya buat sebegini ketika aku makan di kedai mamak. Selalunya aku doakan mereka ini supaya sakit perut atau kena radang tekak selepas makan.

3. Orang Yang Tidak Menunggu Giliran.
Sama seperti pemandu 'babi' di atas, golongan ini juga selalu aku jumpa, terutama ketika beratur di bank, atau ketika beratur untuk membayar minuman dan makanan. Yang paling sakit hati ialah budak-budak kecil yang disuruh membeli sesuatu oleh ibubapa mereka (yang tunggu di tepi), tetapi mereka sedikit pun tidak menyuruh anak-anak mereka untuk beratur. Lagi-lagi kalau mereka berbangsa Arab. Biasanya aku akan doakan yang anak-anak mereka ini akan derhaka bila mereka besar kelak dan peningkan mereka dengan masalah anak luar nikah, ah long dan sebagainya.

4. Orang Yang Lihat Aku Atas Bawah Dan Fikir Mereka Lebih Bagus.
Terutamanya di hari-hari aku berpakaian selekeh ataupun kasual. Walhal kemungkinan besar gaji bulanan aku lebih besar dari gaji mereka. Kalau mereka berpakaian sut Tom Ford dari atas ke bawah mungkin boleh dimaafkan, (walaupun mereka beli dengan wang ibubapa/sugar mommy/daddy mereka, OK-lah mungkin tiada pengecualian di sini.) tetapi yang tidak boleh bla ialah mereka yang kononnya ada kuasa. Lagi-lagi penjaga keselamatan atau pun pegawai bank. Kiranya sesiapa yang diamanahkan kuasa-lah. Aku biasa tidak pedulikan golongan ini (sebab tidak relevan untuk aku pun) tetapi di dalam hati aku doakan mereka turun pangkat. Kalau pangkat sudah rendah sangat aku doakan mereka hilang kerja. Kalau bukan dengan orang dalam kuasa tetapi dengan orang yang aku tak kenal di acara-acara seperti pertandingan Ratu Bikini Melayu 2008 misalnya (memang ramai jumpa orang yang begini) aku biasanya tenung mereka balik sampai mereka malu. Sebab renungan aku sememangnya tajam dan tidak juling.

5. 'Kenalan' Yang Harapkan Aku Tegur Mereka Dahulu Sebab Mereka Fikir Mereka Lagi Bagus.
Aku ramai kenalan begini. Bukan kawan, tetapi kenalan. Kawan ialah orang yang kamu ambil peduli, kenalan ialah orang yang kamu kenal tapi tidak semestinya peduli. Tidak kisahlah sebab apa mereka fikir mereka lebih bagus (semuanya hal-hal keduniaan) tetapi kalau kamu tidak berusaha untuk menegur aku walaupun aku lalu di depan kamu atau duduk semeja dengan kamu maka secara automatik nama kamu akan dipotong sebelum dinaiktarafkan menjadi 'kawan'. Kalau kamu sebelum ini sudah pun menjadi 'kawan' maka malang bagi kamu. Kalau kamu fikir aku yang harapkan kamu tegur dulu, kamu memang tidak kenal aku betul-betul jadi sila potong nama aku dari buku kamu, dan buat kawan baru yang sanggup tegur kamu 24 jam sehari. Orang begini aku doakan akan segera mendapat kawan sejati yang akan menikam dari belakang kau-kau atau lari dengan wang mereka.

6. Orang Yang Tidak Menghormati Ruang Peribadi Aku.
Terutamanya mereka yang suka bercakap dekat sangat dengan aku. Lagi-lagi yang lelaki. Aku ada 'ruang peribadi' yang amat aku hargai, jadi aku harap kamu hormati ruang tersebut. Itu kalau yang kenal, kalau yang tidak kenal dan suka berdiri dekat-dekat dengan aku ketika sama-sama menunggu sesuatu aku lagi rimas. Lagi-lagi yang badan berbau tengik ataupun bertudung masam. Contohnya ketika beratur di mesin ATM, (sebenarnya beratur di mana-mana punlah) ataupun ketika sama-sama menaiki kenderaan awam. Sila jauhkan diri kamu sekurang-kurang 1 meter dari badan aku, kecuali kamu berada di tempat yang bising dan kamu rasa aku sedikit berminat dengan apa yang kamu ingin cakapkan kepada aku tetapi aku tidak dengar. Juga amalkan pemakanan gula-gula mints dan kebersihan badan. Kalau kamu tahu badan kamu busuk akibat berpeluh seharian sila beri amaran. Aku tidak doakan apa-apa untuk golongan ini kecuali sedar tentang konsep 'ruang peribadi'.

7. Orang Yang Cuba Menjual Sesuatu Yang Aku Tidak Perlu Kepada Aku.
Ini khas untuk mereka yang mengamalkan 'multi-level marketing'. Aku tidak berminat dengan risalah-risalah kamu atau cerita tentang kenalan kamu yang berjaya membeli BMW hasil penjualan barang-barang mahal yang tidak berkualiti, sebab aku rela bekerja keras untuk mendapatkan hasil duit titik peluh sendiri dengan cara normal. Selalunya kalau ada kawan-kawan aku yang sudah lama tidak berhubung menelefon aku, aku akan berikan amaran dahulu kalau-kalau mereka cuba untuk memujuk aku masuk 'downline' mereka. Kalau untuk berparti aku sudi. Orang-orang begini aku akan doakan kejayaan mereka agar tanpa penglibatan langsung dari aku dan agar berjaya membeli kereta BMW yang diidam-idamkan, walaupun yang terpakai dan yang dipasang di Malaysia.

8. Orang Yang Pinjam Barang Aku Selama Setahun.
Aku juga mungkin bersalah dalam hal ini. Aku ada sekeping CD yang aku sudah pinjam selama 12 tahun. Jadi maafkan aku. Tetapi kalau kamu pinjam buku/CD/DVD aku dan masih tidak dipulangkan sampai setahun sila habiskan membaca/mendengar/menonton dan cepat-cepat pulangkan kepada aku, ya? Mungkin aku patut mula membuat senarai barang pinjaman sebab sejak kebelakangan ini rumah aku macam perpustakaan media. Aku tidak doakan apa-apa untuk golongan ini sebab aku kan kawan kamu?

Erm. Mungkin itu sahaja. Tidak mudah untuk menjengkelkan aku kecuali kamu ahli band yang aku benci yang meminta minuman atau tiket/pas percuma dari aku. Lagipun aku seorang yang periang dan faham tentang psikologi manusia ketika tertekan.

Selamat Hari Isnin semua!

(Oh ya, dua hari lepas aku bermimpi yang aku naik satu bas di Amerika Syarikat dengan Hillary Duff yang aku tidak minat pun, dan semalam aku bermimpi aku berlawan dengan 'zombie', walaupun aku tidak bersenjata apa-apa. Aku cuma picit mata dan tumbuk muka mereka sampai mati. Apakah?)

Malam Semalam Di Ibukota 35.











Banyak sangat gambar kaki dalam kereta, bukan? Nampak sangat betapa banyak masa yang dibazirkan oleh manusia ketika tersangkut di dalam kesesakan lalulintas.

Ahad, November 16, 2008

Malam Semalam Di Ibukota 34.











Hari yang pada aku, terlalu ungu dan jingga. Hello Cik Sarah Is The One!

Rabu, November 12, 2008

Tafsiran Minah Lasak Tudung Bandana.

Hidup aku kebelakangan ini memang amat sibuk. Sibuk menghabiskan kerja sebelum aku berpindah ke tempat kerja yang baru, dan juga sibuk berpindah ke pejabat baru kerja lama. (Agak kelakar sebab dalam masa sebulan lebih aku akan ke pejabat lama kerja baru.) Tak faham? Tidak mengapa.

Aku mendapat idea untuk menulis tafsiran ini sebab aku terserempak dengan seorang perempuan yang betul-betul menepati pemerhatian aku yang berikut. Apa-apa pun, semua ini adalah subjektif, jadi kalau tidak suka terbitkan blog anti-MM kamu sendiri ya?

1. Bandana Di Kepala.
Lasak, lasak juga, tetapi aurat perlu dijaga. Ini mungkin mantra utama golongan ini. Kebiasaannya ramai perempuan bertudung suka mengenakan ikatan bandana ('key' kata brader-brader rock di Kompleks Pertama dahulu) ketika melakukan aktiviti-aktiviti fizikal. Tetapi ada di kalangan mereka ini yang tetap mengenakan bandana untuk aktiviti seharian. Juga rajin mengenakan kemeja T berlengan panjang berwarna gelap (sebab berwarna putih akan menjadi jarang bila terkena air bila berakit atau berkayak misalnya). Kalau berkemeja-t putih akan wajib memakai overall denim ala-ala Erra Fazira apabila melakonkan watak yang kononnya lasak atau mekanik wanita dalam filem-filem Yusof Haslam. Tidak pandai memakai kasut tumit tinggi, dan biasanya akan berkasut sukan joging dan berseluar trek panjang.

2. Jiwa Lasak.
Ini memang pasti. Bukan sebab bekerja di 'Spanar Jaya' atau beridolakan Erra Fazira, tetapi mungkin suka melakukan aktiviti lasak seperti main futsal, memandu kereta Kelisa dengan berbahaya ataupun rewang kenduri. Di kampung biasanya akan dikenali sebagai perempuan yang suka bermotosikal (bukan sekadar pembonceng) dan sebenarnya memang agak mudah mengenakan bandana apabila berhelmet. Tidak berselerak rambut. Gayanya seakan-akan lelaki, tetapi masih berjiwa lembut dan bermimpikan Anuar Zain sebagai suami. Di sekolah mereka inilah yang selalu bertanding dan menang pingat di dalam sukan olahraga lari jarak jauh dan sederhana. Tetapi badan masih tidak slim.

3. Suka Memandu Laju.
Sepertimana yang aku tulis di atas, kebanyakan dari mereka ini suka memandu kenderaan dengan laju, kadangkala mengalahkan lelaki. Yang masih belum berkahwin akan memandu Kelisa (bukan Kancil, sebab Kancil kecil sangat) kotor yang jarang dibasuh dan penuh dengan kesan lecak akibat selalu ke kawasan-kawasan rekreasi berair terjun. Bukan untuk skodeng tetapi untuk beriadah dengan alam semulajadi. Kalau kamu terserempak dengan seseorang dari mereka ini yang seakan-akan mengejar destinasi kawasan rekreasi air terjun mereka aku sarankan kamu anggapkan mereka seperti ambulans dan berikan laluan.

4. Suka Berkhemah.
Tidak memiliki beg tangan Gucci atau Louis Vuitton tetapi sebaliknya mempunyai beg-beg besar yang boleh memuatkan satu khemah, periuk besi, tali nilon sepanjang 15 meter dan kasut trekking. Beg galas bermotifkan watak kartun Garfield hanya dibawa untuk mengisi sejadah dan telekung ketika balik kampung. Kamu biasanya akan berjumpa dengan segerombolan mereka ini di petang atau malam hari Ahad di sekitar Puduraya, menggalas beg setinggi mereka yang sarat dengan peralatan perkhemahan sambil ditemani lelaki-lelaki berambut pendek yang tidak layak bergaul dengan pelahar-pelajar wanita ayu di kampus yang tidak berbandana.

5. Suka Bercakap.
Ramai dari mereka ini yang aktif sebagai kaunselor atau pembimbing rakan sebaya di kampus. Sifat mereka yang mudah didekati dan pandai berjeneka selalunya menjadikan mereka ini golongan yang disenangi, tetapi akhirnya selalunya akan berkahwin lambat sebab ramai sangat kawan tetapi tiada 'teman'. Kawan-kawan lelaki yang didekati ketika proses kaunseling (dan tidak lupa juga kem-kem bina semangat yang amat digemari mereka ini) akan lebih berminat kepada musuh abadi golongan ini, iaitu golongan yang seakan-akan Erra Fazira (dan Abby Abadi) ketika tidak melakonkan watak wanita lasak berbandana yang bekerja sebagai mekanik wanita (dan bermotosikal). Akibatnya golongan ini lebih suka bergaul dengan mereka yang serumpun dan boleh berkongsi serta bertukar-tukar jenis bandana yang dipakai.

6. Luarnya Lasak Tetapi Jiwa Sensitif.
Jangan tertipu dengan rupa luaran yang comot dan tampak lasak, seperti yang aku sebut di atas mereka ini sensitif, mungkin lebih sensitif dari golongan wanita biasa. Ini kerana mereka ini mungkin tidak berpeluang untuk menikmati perhubungan romantis dengan lelaki-lelaki ala Anuar Zain idaman mereka, yang hanya menggunakan mereka untuk mendapatkan pendapat wanita untuk bagaimana mengejar wanita yang diidami. Walaupun ada yang mengaku meminati jenis muzik keras seperti metal (Jinbara, XPDC dan Manowar) tetapi mungkin sebenarnya lebih sukakan lagu-lagu balada Anuar Zain dan Uji Rashid. Akibat terlalu kesepian mereka ini akan banyak menghabiskan duit menelefon DJ-DJ di radio untuk menujukan lagu kepada 'si dia' yang sebenarnya tidak wujud. Tidak lupa juga kemungkinan besar pengguna-pengguna 'chat' SMS di televisyen (seperti saluran @15 di Astro) adalah majoritinya dari golongan ini yang berehat di rumah setelah penat bersukan seharian.

7. Lasak Tetapi Macam Tiada Perbezaan.
Walaupun aktif bersukan, tetapi ramai di antara mereka ini seakan-akan tidak bersukan langsung. Jarang yang bertubuh langsing seperti watak Fazura di dalam 'Gol & Gincu' tetapi biasanya serupa dengan watak-watak lain yang bukan seramping watak Fazura di dalam filem/siri tv tersebut. Akibat meletupnya 'Gol & Gincu', sejak beberapa tahun ini aktiviti futsal telah mengambil alih sukan bola jaring sebagai aktiviti sukan berkumpulan yang paling digemari. Jadi walaupun golongan ini aktif bersukan tetapi akibat pemakanan yang kurang berkesan mereka ini kurang berketul-ketul ototnya tetapi sebalik akan berketul di tempat lain.

8. Tidak Berapa Pentingkan Rupa Diri.
Jarang mengenakan mekap di muka, dan tidak suka menggunakan produk perapian wanita. Seketul sabun jenama 'Popinjay' cukup untuk membersihkan semua. Akibatnya golongan ini mudah terpedaya ketika disogokkan dengan produk-produk 'ajaib' yang kononnya boleh mencerahkan kulit yang hitam-legam akibat seharian di kawasan rekreasi air terjun, krim menghilangkan parut jeragat dan krim mencerahkan puting buih dada yang berwarna gelap. Juga jangan terkejut jika kamu terserempak dengan mereka yang bermisai.

9. Tiada Yang Serupa Erra Fazira Atau Wardina Pra-Tudung.
Realitinya tiada yang serupa Erra Fazira ketika melakonkan watak mekanik wanita di dalam filem-filem Yusof Haslam. Jadi jangan berharap berjumpa dengan mereka yang seakan-akannya ketika menghantar kereta kamu ke bengkel. Selain dari mekanik ramai diantara mereka ini akan memasuki pasukan Polis dan Bomba, dan akan menjadi guru yang ditugaskan mengajar Pendidikan Jasmani dan pemegang kunci stor peralatan sukan di sekolah.

Baiklah sekian sahaja untuk nukilan kali ini. Sila tinggalkan komen seperti biasa ya?

Malam Semalam Di Ibukota 33.









Bukan malam semalam pun. Aku tipu.

Isnin, November 10, 2008

Kuda Kecil Mengamuk.



Comel gila kan? Diambil dari boingboing.net.

Sabtu, November 08, 2008

Malam Semalam Di Ibukota 32.













Malam perayaan kasut yang ala kadar.

Petang Semalam Di Ibukota 15.











Memang hari yang indah untuk berpindah.

Jumaat, November 07, 2008

Petang Semalam Di Ibukota 14.











Seluar senteng dan mata kabur.

Khamis, November 06, 2008

Jadi Encik Obama Sudah Jadi Presiden Baru, Jadi Apa Selanjutnya?

Kalau kamu rajin membaca selain dari laman gossip selebriti tempatan dan rajin menonton rancangan tv selain dari sinetron dari seberang yang penuh dengan pelakon perempuan bermekap tebal tapi bermisai nipis kamu pasti tahu yang Barack Hussein Obama telah menang pilihanraya umum Amerika Syarikat dan akan menjadi presiden ke-44 negara itu.

Apa relevannya terhadap kamu, kamu kata?

Banyak sebenarnya. Kali terakhir seorang Demokrat menjadi seorang Presiden adalah ketika Bill Clinton, si presiden yang pandai bermain saksofon tetapi yang akhirnya tumpas kerana sehelai dres berwarna hitam. Cakap pasal warna hitam pula Obama merupakan presiden kulit hitam yang pertama, dan sedikit sebanyak melambangkan sentimen bahawa golongan minoriti sebuah negara boleh berjaya dalam bidang yang diceburi.

Kalau kamu di AS, parti Republikan merupakan parti yang lebih konservatif, dan menurut sejarah, lebih cenderung terhadap polisi 'ahli perang' dan dasar luar yang lebih agresif. Parti Demokrat pula lebih liberal, dan presiden dari parti Demokrat biasanya lebih cenderung kepada perundingan dan penentangan pasif. Contoh-contoh presiden Demokrat antaranya Bill Clinton dan John F. Kennedy, dan kedua-dua presiden bernama Bush dan Ronald Reagan pula Republikan (walaupun Ronald Reagan pada awalnya merupakan seorang Demokrat yang kemudiannya berpaling tadah kepada parti Republikan.)

Dan sebanyak mana kita menentang dan menidakkan pun, situasi politik serta polisi AS banyak mempengaruhi arus tujuan dunia. Polisi-polisi yang dibuat di sana, dari polisi kewangan hinggalah ke dasar luar terhadap negara lain dilihat sebagai panduan tentang situasi umum global. Sebab itulah akibat dasar agresif George W. Bush selama 8 tahun kebelakangan ini ramai orang yang tidak puas hati. Senang cerita ramai orang tidak setuju dengan dasar luar yang diamalkan kerajaan Bush, dan selepas peristiwa di Florida pada tahun 2000 dahulu ramai rakyat Amerika tidak rela negara mereka dipandang begitu rendah di mata dunia. Nasib baik untuk Bush peristiwa 9/11 telah berlaku, sedikit sebanyak dia telah berjaya memanipulasi keadaan untuk kepentingan kerajaannya sendiri. Pada pendapat aku-lah.

Kebetulan juga dengan keadaan ekonomi AS (dan juga dunia) yang semakin meruncing, kempen Obama memang banyak 'senjata' untuk melemahkan kempen Republikan/McCain. Kalau dilihat dari kempen parti Demokratik pun, mereka lebih banyak menumpukan kepada polisi dan masalah dalam negara, dan bukan dasar-dasar luar. Aku rasa ramai rakyat Amerika pun prihatin tentang perubahan yang patut berlaku di dalam negara dari segi ekonomi terutamanya, jadi pada aku memang Obama telah menang sejak bermulanya kempen pilihanraya pun.

Dan aku rasa Obama akan terlebih dahulu fokus terhadap masalah dalaman dan bukan polisi serta dasar luarnya. Malah dalam kempennya jarang disebut perkataan 'foreign policy', dan mantra 'We Can Change' itu sebenarnya lebih menjurus kepada perubahan dalam negara, yang aku rasa patut berlaku pun.

Mungkin dengan ini tiada banyak gangguan dan 'pencerobohan' yang akan berlaku di bawah kerajaan Obama, kerana mereka sepatutnya fokus kepada apa yang berlaku di rumah mereka sendiri. Apabila negara paling berpengaruh ini stabil, kesan domino akan memastikan keadaan global juga stabil. Dari harga minyak, hinggakan kepada benda-benda remeh seperti perjalanan dalam kapalterbang ke Amerika dan harga menghantar barang melalui pos akan menerima kesannya. Dan ini hanya akan menjanjikan hanya benda-benda yang bagus untuk kita semua.

Mungkin.

Itu pun selagi tiada golongan ekstremis mengambil peluang keadaan yang goyah ini untuk memporak-perandakan keadaan-lah.

(Bosannya nukilan macam pakar analisis politik dunia.) Apa-apa pun aku berharap orang yang ada 'Bin' dalam nama mereka akan lebih mudah mendapatkan visa melancong ke AS dan harga tiket kapalterbang perjalanan antarabangsa akan turun lagi dan lagi. Macam dulu-dulu senang sahaja kru perfileman buat filem (atau drama swasta) secara gerila di negara-negara luar. Sekarang kita ambil filem dan drama (sinetron) dari luar terus!

Sekian sahaja. Saja aku hendak menulis nukilan berunsur politik pertama aku! :)

Rabu, November 05, 2008

Petang Semalam Di Ibukota 13.











Kombinasi beberapa petang semalam.