Aku Dikelaskan Sebagai 'Bumiputera'.

Aku teringat satu masa dahulu ketika zaman kanak-kanak aku pernah bertanya kepada Ayah aku tentang apa itu maksud 'bumiputera'. Aku tidak ingat apa jawapannya, tetapi aku pasti jawapan Ayah aku itu tepat, sebab beliau seorang guru Bahasa Malaysia, dan bertanggungjawab dalam Lembaga Peperiksaan sebagai seorang dari panel yang menetapkan soalan kertas BM untuk peperiksaan SPM. Sebab itu tatabahasa aku bagus.
Aku juga teringat ketika zaman sekolah menengah dahulu, aku telah dua kali sampai ke peringkat akhir kebangsaan untuk kuiz berasaskan komputer antara sekolah-sekolah di Malaysia. Dua kali. Dan tiap-tiap kali aku seorang sahaja yang berbangsa Melayu yang bertanding. Pernah aku disindir dan dikatakan sebagai pelengkap kuota Bumiputera yang mereka tetapkan.
Atas kuota yang sama juga aku dihantar oleh kerajaan untuk menuntut ilmu di luar negara. Segala perbelanjaan aku ditanggung, dan aku telah membuat pelbagai kajian fizik nuklear di negara orang dan kemudiannya kembali ke Malaysia.
Jadi kamu boleh katakan sedikit sebanyak aku adalah produk dasar Bumiputera negara.
Pada masa yang sama, ketika zaman pelajar, aku cukup bengang diberikan 'peluang' atas dasar tersebut. Sebab aku selalu berfikir, apa kurangnya keupayaan aku jika dibandingkan dengan pelajar bukan Bumiputera yang lain? Kenapa aku sahaja yang dapat biasiswa dan kawan-kawan aku yang lain terpaksa mengorek kocek ibubapa mereka untuk melanjutkan pelajaran?
Macam aku, mungkin aku katakan aku benar-benar mengeksploitasikan peluang yang diberikan kepada aku, tetapi ada berapa ramai Melayu Minimalis dalam dunia? Yang aku lihat hanyalah mereka yang tidak pandai menghargai peluang yang diberi, mereka yang hanya terlalu bergantung kepada perintah, mereka yang suka berkampung, tak kisahlah sama ada tempat itu ada ribut salji ataupun pasir gurun. Mereka yang hanya membazirkan peluang yang diberi.
Bukan ke lebih baik peluang tersebut diberi kepada mereka yang benar-benar berupaya dan berkebolehan tanpa mengira warna kulit dan agama? Kenapa kita perlu memberi jalan mudah atas dasar 'menjaga kepentingan' atau 'ketuanan'?
Aku lebih suka bersaing dengan dasar yang sama rata dan sama adil, tanpa kepentingan untuk sesiapa. Sebab aku tahu aku mampu bersaing, dan selama ini juga aku telah membuktikan pada diri aku yang aku mampu bersaing, sama ada diberi kelebihan ataupun tidak.
Jadi kenapa ramai yang tidak mampu bersaing?
Sebab kamu semua masa kanak-kanak tak menonton 'Empire Strikes Back'.
"No! Try not. Do or do not, there is no try."
