Di dalam kehidupan seharian, aku jumpa banyak jenis manusia. Dan di antara manusia yang aku jumpa, sudah pastinya aku terjumpa mereka yang benar-benar percaya tentang sesuatu, sama ada ianya mentaliti tentang sesuatu, cara hidup, aliran politik atau agama dan macam-macam lagi.
Tetapi ramai juga yang cakap bahawa mereka berasaskan sesuatu yang penting di dalam kehidupan, tetapi tidak mengamalkannya 100%. Contohnya macam Mamat konon punk tetapi makan di McDonald's (misalnya). Ini tidak termasuk lagi mereka yang mengikut membuta tuli, yang melakukan sesuatu tanpa memikirkan atau menyelidik sebabnya. Seperti mengaku 'straight-edge' atau 'vegan' tetapi tidak tahu asal-usul 'pergerakan' tersebut dan hanya menurut 'gaya' pergerakan tersebut, dan sebagainya.
Tetapi aku tabik dengan Ingrid Newkirk, salah seorang pengasas PETA (People For The Ethical Treatment of Animals) yang telah menyediakan wasiat yang benar-benar melambangkan dedikasinya terhadap pergerakan anti-kekejaman serta hak haiwan yang dimulakannya.
Antara kandungan wasiatnya ialah.
1. Daging mayat aku dibarbekukan untuk mengingatkan manusia bahawa semua daging mayat tidak kira manusia atau haiwan adalah daging semata-mata, dan makanan berasaskan daging sebenarnya tidak diperlukan. 2. Hati aku dibungkus dengan vakum, semua atau sebahagiannya, dan dihantar ke Perancis dan digunakan sebagai protes kepada aktiviti perusahaan foie-gras yang menggunakan hati angsa yang dipaksa makan.
Dan banyak lagi kandungan wasiatnya yang boleh dikatakan agak ekstrim. Baca wasiatnya yang penuh (dalam Bahasa Inggeris) di sini. (Dicilok dari Neatorama.)
Rasa-rasanya kalau orang Malaysia di sini sanggup tak berbuat sesuatu yang ekstrim (selain dari berarak selepas sembahyang Jumaat) untuk menyampaikan mesej-mesej yang ingin disampaikan?
Paling senang misalnya kalau seorang kaki MLM (multi-level marketing) ingin mengajak rakannya masuk MLM yang sama sebab kononnya senang kaya, banyak wang dan sebagainya. Kamu rasa kaki MLM itu sanggup tak membayar atau meminjamkan duit modal kepada rakannya tersebut? Bukan MLM boleh dapat banyak duit?
Aku rasa mungkin ramai yang tak tahu beza tentang jenis-jenis barangan yang tergolong di dalam kategori di atas. Mungkin definisi aku salah, tetapi aku akan cuba terangkan berdasarkan maklumat industri yang aku tahu, OK?
Apa Kejadahnya 'Replicas'? Katakan kamu sebuah syarikat produk terkemuka seperti Supra. Mengikut trend pemasaran sedunia, agak munasabah untuk sebuah syarikat pengeluaran sekarang mengeluarkan atau mengilangkan produk mereka di benua Asia di atas sebab-sebab kos. Kos pengeluaran, buruh, pengurusan dan lain-lain pastinya lebih murah jika dibandingkan dengan kos pengeluaran di negara pengasas seperti Amerika misalnya.
Jadi berdasarkan kelebihan ini, Supra misalnya mengambil keputusan untuk mengeluarkan kasut-kasut mereka di China. Setelah memeterai perjanjian, dan mengambilkira proses latihan, penelitian kualiti/mutu serta proses-proses pengeluaran lain, sebuah kilang kasut di China dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan semua kasut Supra.
Jadi Supra pun membuatlah pesanan untuk 5000 pasang kasut Supra, yang akan dibuat oleh Kilang Ah Boi (misalnya) di China. Pekerja-pekerja kilang Ah Boi pun bertungkus-lumus membuat 5000 pasang kasut Supra.
Setelah selesai membuat 5000 pasang kasut, wakil Supra dari Amerika pun datanglah ke kilang untuk membuat pemeriksaan kualiti. Teliti punya teliti, ada 500 pasang kasut yang logo Supranya senget sedikit. Berdasarkan sistem kawalan mutu Supra yang terperinci, 500 pasang ini tidak diterima untuk dijual di bawah nama Supra sebab tidak menepati tahap kualiti yang ditentukan.
500 pasang kasut ini akibatnya terpaksa dimusnahkan. Tetapi Ah Boi si pengurus Kilang Ah Boi ini pandai. Dari dia membazir 500 pasang kasut ini, dia bercadang untuk menjualnya kepada ejen yang sanggup membeli secara pukal dengan harga murah. Tetapi Supra beri syarat yang kasut-kasut ini tidak boleh dijual dengan label rasmi Supra, atau logonya harus dicabut, misalnya.
500 pasang kasut inilah yang dinamakan 'Rejects'.
Ejen-ejen ini kemudiannya mengedar dan menjual 500 pasang kasut ini di premis-premis seperti Reject Shop, Factory Outlet Store dan lain-lain dengan sedikit keuntungan. (Sebab itu kamu semua boleh beli t-shirt jenama 'Junk Food' dengan harga yang amat murah!) Malah ada kilang yang membuka sendiri premis jualan yang menjual barangan-barangan 'Rejects' ini.
Oleh sebab menurut perjanjian Kilang Ah Boi sepatutnya membekalkan 5000 pasang kasut, dan yang menepati piawaian hanya 4500 pasang, Kilang Ah Boi terpaksa mengeluarkan 500 pasang kasut lagi untuk memuaskan hati Supra.
Tetapi Ah Boi si pengurus ini memang pandai. Dia berfikir, "Dari aku buat lagi 500 pasang sahaja, lebih baik aku buat lagi 5000 pasang... Aku tolak pada Supra 500 pasang, yang lagi 4500 pasang lagi aku jual sendiri."
Jadi pekerja-pekerja Kilang Ah Boi ini bertungkus-lumuslah untuk membuat 5000 pasang kasut Supra lagi.
Tanpa pengetahuan wakil Supra ini, Ah Boi telah memberikan baki 500 pasang kasut, dan si wakil Supra ini pun gembiralah balik ke Amerika sebab proses membuat 5000 pasang kasut ini sudah selesai. Tapi sebenarnya pekerja si Ah Boi ini bukan berhenti di setakat baki 500 pasang sahaja, mereka pun berkerja keras menyiapkan 4500 pasang kasut Supra yang si Ah Boi tadi mahukan.
Ah Boi pun terfikir, "Baik aku jimat kos sikit. Aku tak payah buat kotak, aku guna padding yang nipis sedikit, kurangkan jahitan sikit... Alah... orang bukan tahu pun."
Setelah siap 4500 pasang kasut ini, Ah Boi pun telefonlah ejen lagi seorang ini untuk mendapatkan pembeli. Memang untung besar dia ini, sebab Ah Boi sedar dia tidak perlu tanggalkan label atau logo Supra seperti bila dia mahu menjual kasut 'Rejects' ke ejen terawal tadi. Lagipun wakil Supra itu bukannya tahu pun, bukan?
4500 pasang kasut inilah yang dinamakan 'Replicas'.
Ah Mei, pengurus besar Kilang Ah Mei yang kalah kontrak Supra dengan Kilang Ah Boi memang tidak puas hati melihat keuntungan besar yang diraih Ah Boi. Dia menyuruh konco-konconya untuk membawa balik sampel kasut Supra yang dikeluarkan Kilang Ah Boi. Setelah meneliti kasut itu, Ah Mei berkata, 'Hek eleh kasut buruk ni. Aku pun boleh buat!'
Jadi berhempas-pulaslah pekerja kilang Ah Mei merobak dan merabik kasut Supra ini untuk mengetahui cara-cara kasut ini dibuat. Malah si Ah Mei mengupah bekas pekerja Kilang Ah Boi sendiri untuk bekerja di kilangnya. Mungkin si Ah Mei fikir mereka ada keupayaan untuk membuat kasut ini berdasarkan pengalaman mereka di Kilang Ah Boi.
Tetapi Ah Mei tidak sedar proses pemilihan bahan-bahan membuat kasut ini dahulunya dilakukan oleh Ah Boi bersama wakil-wakil Supra dahulu. Ini sebabnya kualiti kasut di Kilang Ah Boi memang tinggi. Yang si Ah Mei ini pula hanya main hentam, beli kulit murah dari kampungnya, guna fabrik murah untuk jimat kos dan lain-lainnya.
Kilang Ah Mei pula bertungkus-lumus untuk mengeluarkan 5000 pasang kasut Supra mereka sendiri. Setelah siap, Ah Mei senyap-senyap menjual semua 5000 pasang kasut ini kepada ejen-ejen penjualnya. Dan di antara ejen-ejen ini semua mungkin termasuk ejen-ejen yang juga digunakan Kilang Ah Boi.
5000 pasang inilah yang dinamakan 'Fakes'.
Ah Chan, pemilik Kilang Ah Chan di hujung bandar tempat Kilang Ah Boi dan Kilang Ah Mei beroperasi terdengar ura-ura mengatakan kedua-dua kilang ini untung besar dengan kasut Supra. Memang dia tidak puas hati.
Dia perintahkan kesemua 1000 kanak-kanak bawah 12 tahun yang bekerja di bawahnya untuk mengeluarkan kasut Supra juga. Tetapi Ah Chan takut kilang kanak-kanak bawah umurnya itu kantoi dengan pihak berkuasa, jadi dia terpaksa buat kerja senyap-senyap. Sebagai langkah keselamatan (atau kerana budak 12 tahun yang bekerja sebagai perekanya itu tidak pandai mengeja), ejaan 'Supra' ditukar menjadi 'Sapra'.
Ah Chan berfikir kalau mereka boleh menjual 5000 pasang kasut ini, Kilang Ah Chan pun boleh. Jadi dia pun keluarkan 5000 pasang kasut Sapra ini untuk menumpang untung yang dibuat dua kilang terawal tadi. Setelah siap, 5000 pasang kasut Sapra ini diagihkan kepada ejen-ejen jualannya di seluruh dunia.
5000 pasang kasut inilah yang dinamakan 'Knock-Offs'.
Secara mudah, inilah perbezaannya. Kalau salah harap maafkan, tetapi menurut apa yang kau tahu, inilah realitinya...
Baru-baru ini aku telah ke kawasan Bukit Bintang, untuk membeli-belah. (Membeli-belah pada aku merupakan satu penyakit yang amat melemahkan. Melemahkan situasi kewangan.)
Kalau kamu semua tidak tahu, kawasan Bukit Bintang yang aku kenal dahulu memang jauh berbeza dari yang ada sekarang. Tiada lagi Sekolah Menengah Perempuan Bukit Bintang, tiada lagi Bas Mini Merah Jambu, tiada lagi MCities dan banyak lagi.
Sekarang semuanya sudah berubah. Dan jumlah manusia yang berumpun di kawasan kecil itu memang amat memeranjatkan! Ya, kawasan syurga membeli-belah utama di Malaysia memang kecil, jika dibandingkan dengan Orchard Road di Singapura, ataupun Shibuya di Tokyo, atau mungkin Times Square di New York. Jalan Bukit Bintang memang jalan yang pendek, dan jangan lupa juga hakikat yang jika kamu seorang pejalan kaki, kalau kamu ingin berjalan dari hujung Plaza Low Yatt ke hujung Pavilion memang banyak rintangan (dan juga jenis cuaca dan bau-bauan) yang kamu perlu tempuhi. Pendek kata memang tidak selesa. Lagi-lagi di kawasan kamu hendak lintas di depan Pavilion. Berterabur.
Tetapi aku terperasan satu keadaan yang amat menarik di kawasan Tiga Segi ini. Kelompok manusia (muda) yang berkumpul memang jauh berbeza.
Aku boleh pecahkan kepada tiga kumpulan utama, Kelompol Times Square, Kelompok Sungai Wang/BB Plaza dan Kelompok Pavilion. Kalau kamu tidak percaya lihat sendiri hujung minggu ini.
Kelompok Times Square Senang cerita mereka ini semua Goth Lolita Times Square. 99% akan berpakaian hitam. Sekali pandang macam orang yang berkumpul untuk pergi majlis jenazah. Bukan majlis jenazah Melayu tetapi majlis jenazah ala barat. Serpihan dari ini ialah budak-budak kampung yang ingin menjadi Goth Lolita Times Square tetapi tidak cukup wang atau belum habis sekolah. Biasanya mereka ini akan berpakaian hitam juga, tetapi memakai topi percuma (biasanya ada jenama Toyota, AirAsia atau topi Ferrari tiruan dari Jalan Petaling. Janji warna merah) dan berselipar. Ramai gila kelompok sebegini di sana.
Kelompok Sungai Wang/BB Plaza Kalau kamu ke tingkat 4 ke atas di dalam Sungai Wang Plaza, akan ada serpihan-serpihan kelompok yang aku sebut di atas. Tidak lupa juga kelompok Mat Belia yang bertandang dari Plaza Low Yatt selepas membeli kipas untuk motherboard komputer mereka. Yang menarik bukan kelompok yang di dalam Sungai Wang Plaza, tetapi kelompok yang melepak di depan Maybank di antara Sungai Wang Plaza dan BB Plaza. Kelompok yang suka bergendang, menimbang bola atau melakukan apa-apa aktiviti yang boleh menarik perhatian orangramai. Janji percuma.
Secara fizikalnya lebihkurang sub-kelompok Goth Lolita, tetapi tidak seteruk mana. Tidak banyak berwarna-warni, biasanya akan berpakaian hitam juga. Tetapi masih berselipar. Aku masih tidak faham konsep pakai skinny jeans dengan selipar, maaf.
Kelompok Pavilion Kamu jalan jauh sedikit, melepasi Lot 10 (yang sunyi sepi, penuh dengan remaja yang tiada kawan), dan KL Plaza (yang LAGI sunyi sepi, penuh dengan orang dari Bangladesh dan Pakistan) dan melintas dengan mempertaruhkan nyawa ke arah Pavilion, kamu pasti akan nampak segerombolan manusia muda di pintu masuk utama pusat membeli-belah ini.
Senang cerita mereka ini hipster. Berpakaian berwarna-warna, selalunya berkamera. (Bacaan lanjut di sini. Sila baca, aku sudah malas tulis.)
Dan apa sebenarnya yang menarik perhatian aku ialah kewujudan kelompok-kelompok manusia muda remaja yang memang jauh berbeza tetapi wujud di dalam kawasan sama yang boleh dikatakan berdekatan juga. Memang jauh berbeza, tetapi wujud, dan mudah untuk kamu membezakan di antara semua kelompok ini.
Adakah ini bukti yang Malaysia sekarang bukan sahaja majmuk dari segi bangsa dan agama tetapi juga dari segi gaya? Tetapi semajmuk kita pun, mampukah kita semua wujud bersama di tempat yang sama secara aman?
Danny Choo, anak si pembuat kasut terkemuka dunia Jimmy Choo telah menulis satu nukilan yang aku rasa kamu semua perlu baca. Jarang aku membaca nukilan yang agak memberikan inspirasi dan semangat pada pagi Isnin.
(Si Danny ini terkenal sebagai mamat yang suka memakai kostum Stormtrooper dan menari di tengah-tengah Shibuya di Tokyo).
Salah satu dari saluran tv kegemaran aku ialah Astro Aruna. Selain dapat melihat pelakon-pelakon perempuan Indonesianya yang bergetah beraksi dan pelakon-pelakon lelaki yang terlebih mekap (tidak lupa juga watak sampingan yang hanya boleh diklasifikasikan sebagai watak kasihan iaitu watak yang dilakonkan pelakon 'kurang menarik' seperti terlebih berat badan, bermulut sumbing atau pun tidak cukup ketinggian), aku boleh menonton 'Untung Ada Jinny'.
Selalunya ditayangkan di hujung minggu tidak silap aku, dengan episod sepanjang 30 minit yang ditayangkan dua sekaligus, konsepnya jelas tidak original. Kalau kamu ingat, konsep jin perempuan ini telah ditonjolkan dalam siri TV 60an 'I Dream Of Jeannie', yang amat popular satu ketika dahulu.
Premis rancangan ini juga sama, iaitu kisah seorang lelaki (dan rakan serumahnya) yang hidup dengan seorang (seekor) jin wanita.
Cuma bezanya jin wanita dalam cerita ini dilakonkan pelakon seksi Diana Pungky. (Lihat gambar).
Kebetulan juga (mungkin disengajakan), untuk watak Jinny sahaja pereka kostum menampilkan kostum yang berbeza untuk setiap episod. Biasanya kostumnya ketat dan berkilau, menampakkan pusat dan low-cut. Dan kebetulan juga watak Jinny ini banyak adegan membongkok. Ke bawah. Contohnya seperti berikut.
Adegan 1. Jinny—Hallo! (Bongkok ke depan) Watak kurang penting—blablabla
Adegan 2. Jinny—Kapan makan kapan? (Bongkok ke depan) Watak lelaki kurang penting—blablabla
Adegan 3. Watak lelaki kurang penting—blablabla Jinny—Apain dong? Ya udah! (Bongkok ke depan)
Sekarang cuba lihat gambar di atas sekali lagi.
Apa kata kamu tonton sendiri. Susah aku hendak terangkan.
Di tempat aku tinggal ini ada sebuah gim persendirian yang memang sentiasa meriah tiap-tiap hari. Aku boleh perhatikan lelaki-lelaki berotot kental yang turun naik gim, bermotivasi otot keras yang sanggup berusaha tiap-tiap hari untuk mendapatkan bentuk badan yang optima. Dan disebabkan sudah dua hari berturut-turut aku terserempak dengan mereka ini, apakata hari ini aku buat tafsiran tentang mereka pula.
1. Berotot. Tangan yang pejal, otot kaki yang kental. Mungkin otot telinga mereka juga berotot besar. Kalau dahulunya memang sukar untuk bertemu mereka ini, tetapi disebabkan taraf kehidupan secara amnya yang sudah meningkat, lebih ramai yang berpeluang meluangkan masa semata-mata untuk bersenam, terutamanya untuk mengangkat berat. Aku rasa kesedaran bahawa bukan hanya pembina badan yang patut bersenam sudah mula menular (malah aku pun sudah mula bersenam tahun lalu, cuma alatan angkat berat aku sekarang sudah tidak berat langsung untuk aku. Bulan depan beli yang baru!), dan sampai bila lelaki yang berbadan seakan 'diukir' ini hanya disinonimkan dengan golongan yang tidak 'lurus' bukan? Cuma apa yang universal di antara mereka ini ialah fakta yang mereka ini memang sukakan cermin. Untuk melihat perkembangan harian otot-otot sendiri.
2. Lengan Pendek. Sudah tentunya golongan ini suka menunjukkan hasil kerja penat lelah mereka tiap-tiap hari di gim. Cara paling mudah ialah dengan memakai kemeja-T tanpa lengan dan seluar pendek. Segala peluang untuk menunjukkan otot akan diambil, terutamanya ketika ingin bersalam dengan orang (dengan otot lengan yang mengancam) atau ketika ingin membayar makanan di kedai mamak. Rambut pula selalunya pendek. Setakat ini aku tidak pernah berjumpa dengan Mamat Gim yang berambut panjang atau dreadlock, mungkin untuk mengurangkan kadar kemalangan disebabkan oleh rambut panjang di dalam gim.
3. Tidak Suka Gim-Gim Besar. Segala apa gim-gim besar-besaran yang kamu lihat di Lembah Kelang tidak akan dikunjungi mereka. Pada mereka itu hanya tempat lelaki-lelaki malang untuk mencari pasangan, tidak kisahlah sama ada perempuan malang lain mahupun lelaki malang juga. Mereka ini lebih sukakan gim-gim persendirian yang dibuka di lot-lot rumah kedai di sekitar kawasan perumahan, yang biasanya hanya akan berlantaikan simen dan tidak mempunyai sistem penyaman udara. Alatan-alatan senam juga mungkin masih yang dibuat dari besi buruk ataupun mungkin konkrit. Senaman basikal diharamkan. Kalau boleh mereka akan menggunakan alatan senaman yang dibuat dari bangkai atau mayat manusia, yang boleh dilempar-lemparkan sambil menjerit "WE ARE SPARTA!!!" sekuat hati. Sudah tentu filem '300' merupakan visi dan pemberi semangat kepada motivasi yang mereka perlukan. Kalau kamu tidak percaya sila Google gim-gim persendirian ini. Ada banyak di Lembah Kelang!
4. Suka Lagu Laju. Lagi-lagi yang berentak techno atau metal. Tidak kisahpun apa janji ganas, dan mempunyai irama yang sekata agar memudahkan mereka mengira apabila membuat kiraan senaman. "1.. 2... 3... 4... 5... 6... 7... 8... SPARTA!!!" Paling pantang bila ada Mat Otot yang membawa teman wanita yang masih tidak faham erti 'bau peluh' yang tiba-tiba memasang lagu dendangan Faizal Tahir untuk berhibur. (Mereka anti Faizal Tahir sebab hendak sangat tunjuk perut yang tidak kental bercontengkan logo 'Superman'). Sebab itu jarang ada perempuan di gim-gim persendirian sebegini. Mungkin sebab tiada bilik persalinan pun.
5. Suka Memanjat. Aku tidak tahu mengapa tetapi ramai di antara mereka ini yang sukakan aktiviti wall-climbing atau memanjat. Foosbal memang tak main lah, itu hanya aktiviti untuk Mamat Pakistan Yang Suka Mengambil Gambar Bogel Bersama Teman Wanita. (Cerita Lain.) Mungkin aktiviti ini memberi lebih peluang untuk mengeraskan otot ketika memanjat, yang pada waktu yang sama akan mengeraskan hujung-hujung jari menjadi seperti batang besi. Dan kamu semua tahu perempuan sukakan benda yang keras, bukan?
6. Suka Protein. Walaupun diet yang tinggi karbohidrat memang penting untuk menambah berat badan ketika mula-mula bersenam angkat berat, selepas proses ini memang penting untuk menambahkan pengambilan makanan berprotein. Bukan susu penambah berat yang sebenarnya bukan menambah berat pun, tetapi menambah selera makan. Dan kalau kamu banyak makan benda yang salah tanpa bersenam memang sia-sia sahaja. Akibatnya ramai di antara mereka ini sukakan minuman protein shake, susu berprotein tinggi yang boleh diambil tanpa memerlukan kamu untuk makan daging, ikan, tempeh dan sebagainya. Aku rasa ini akibat langsung dari taraf kehidupan kita yang semakin meningkat. Tapi hati-hati, pengambilan berlebihan tanpa kawalan (dan juga pengambilan dadah-dadah pembina otot) hanya akan membina benda selain dari otot, biasanya jerawat.
7. Tidak Sukakan Skinny Jeans. Aku tidak pernah melihat Mat Otot berseluar skinny.
8. Nampak Macam Bernafsu Tinggi Tetapi... Ada seorang rakan aku yang dahulunya obses untuk membina otot yang sebesar mungkin. Setelah sampai ke tahap saiz otot yang diingininya dia sedar yang amat sukar untuknya mencari teman wanita. Selain dari pilihan perempuan yang mempunyai otot sebesarnya (ada beberapa di Lembah Kelang ini. Mungkin agak seksi jika tidak berketul sangat), perempuan-perempuan yang meminatinya (berdasarkan saiz otot) adalah perempuan-perempuan yang 'berumur' sedikit. Akibatnya dia serta-merta mengecilkan otot. Kisah Benar. Katanya perempuan-perempuan sekarang lebih sukakan otot 'berukir' yang sederhana, bukan yang macam Arnold Schwarzenegger atau Malek Noor. (Malek Noor dahulu, bukan sekarang, ya?)
Sudah hampir setahun aku menulis nukilan tentang Trend Terhangat 2007, dan sekarang tiba masanya untuk aku tuliskan apa yang hangat pada tahun yang lalu ini. Mungkin tekaan-tekaan aku banyak meleset, tetapi apa-apa pun memang dijangka, sebab aku bukan Nostradamus pun. Apa-apa pun kali ini mungkin pendapat yang lebih serius sedikit, kalau serius sangat dan kamu tak boleh terima sila tonton saluran Astro Ceria.
1. Evolusi Budaya Indie Kepada Budaya Neo-Rempit. Hip-hop pernah mencuba dahulu, dengan berleluasanya pemakaian kasut jenama Timberland di kalangan peminat-peminat sukan bermotor kuasa rendah, tetapi nampaknya budaya indie (yang definisinya telah pun disongsangkan untuk kesesuaian tempatan) yang lebih berjaya menepati citarasa golongan ini. Lihat sahaja kedai Topman di hujung minggu, penuh dengan budak-budak berpeluh dan comot akibat menaiki motosikal keliling Lembah Kelang (mungkin juga Seremban) yang berpusu-pusu untuk membeli kemeja-T separa mahal. Lihatlah juga mana-mana gig besar-besaran di Lembah Kelang (seperti konsert Rock The World tempohari) dan aku jamin ramai dari mereka ini merupakan mereka yang berkembang dari kelompok-kelompok Mat Rempit.
Secara tidak langsung aku mengaku ini mungkin merupakan perubahan yang amat menggalakkan, tetapi pada masa yang sama mungkin menjadi duri dalam daging bagi golongan yang mula-mula memupuk budaya ini di dalam minda mereka, iaitu golongan Innovators atau Pelopor. (Lihat bawah)
2. Kelajuan Pemindahan Maklumat Menjadi Semakin Ketara. Segala apa yang berkait dengan budaya popular (atau pop culture) nampaknya semakin mudah, walaupun mungkin sejak kebelakangan ini terdapat kekurangan golongan yang boleh dianggap Pelopor.
Dengan keberkesanan Internet sebagai medium carigali maklumat dan semakin mudahnya bagi sesiapa untuk mendapatkan perkhidmatan Internet bermakna pergerakan trend tempatan akan menjadi semakin laju. Akibatnya akan menjadi lebih sukar untuk seseorang itu untuk kekal sebagai seorang individu yang unik dan beridentiti sendiri. Jika kita lihat di rajah atas, kategori tahap inovasi boleh dibahagikan kepada 5 bahagian utama, Pelopor (2.5% dari masyarakat), Pengikut Terawal (13.5%), Majoriti Awal (34%), Majoriti Lambat (34%) dan Ketinggalan Zaman (16%). Budaya indie misalnya, sekarang mungkin berada di tahap Majoriti Lambat (jika kita lihat pengaruhnya di dalam budaya Neo-Rempit sekarang) dan fasa Ketinggalan Zaman akan bermula di ketika kita dapat melihat Mawi tiba-tiba memakai seluar jeans skinny dan kemeja-t berslogan 'Saya Jiwa Kosong' dan menyanyikan lagu 'Rantai Rasa' di saluran Astro Awani.
Aku harap dengan kelajuan pemindahan maklumat ini Kuala Lumpur akhirnya akan berjaya mengatasi Bangkok dan Singapura sebagai trend mecca (dari segi muzik, fesyen, idealogi) di rantau ini dan mungkin menjadi setanding Hong Kong atau mungkin Jepun! Tidak mustahil. Apa yang kita perlu lakukan ialah untuk melahirkan lebih ramai lagi golongan Pelopor.
3. Penerimaan Lebih Meluas Muzik Tempatan (Yang Bukan Mawi/Siti). Atas sebab-sebab yang sama di atas kita akhirnya dapat melihat karyawan-karyawan muzik yang berjaya mengenengahkan muzik-muzik karya mereka sendiri yang bukan dijanakan di dalam kilang-kilang konglomerat Mahaguru Muzik kita. Aku betul-betul bangga dengan perkembangan ini, dan jika dilihat dari publisiti (yang biasanya buruk) tentang pemuzik-pemuzik generasi baru kita dari media kita, masyarakat secara amnya sudah menerima hakikat yang ada banyak pemuzik bagus di kalangan kita. Cuma aku kasihan melihatkan sesetengah pihak media yang masih tersangkut di takuk lama, yang masih berasaskan berita sensasi selebriti tanpa kredibilit yang cuba diaplikasikannya kepada generasi baru pemuzik-pemuzik ini.
Nasib baik ada Internet.
4. Kejatuhan Pengaruh Media Massa Conventional. Sekarang ini zaman penulis blog boleh menang pilihanraya. Dan zaman maklumat boleh diperolehi dengan mudah dengan menekan satu butang.
Aku rasa kematangan pemikiran pembaca akan datang secara beransur-ansur. Kematangan untuk menilai mana yang baik dan buruk, mana yang benar atau tipu. Dan aku rasa dengan lebih kebebasan media (yang tidak tertakluk kepada mana undang-undang berunsur sekatan) rakyat hanya akan boleh untung. Sebagai contoh lihat sahaja blog ini, dan ulasan-ulasan yang diberikan oleh kamu semua. Aku rasa pembaca sendiri boleh menilai tahap kematangan pembaca berdasarkan komen yang diberikan, bukan sahaja dari segi kematangan pemikiran, juga kematangan untuk menilai penulisan aku berdasarkan apa yang aku tulis selama ini.
Juga lihat hasil-hasil penulisan penulis-penulis kita. Walaupun masih ramai yang berasaskan penulisan sensasi, tetapi tahun ini telah muncul banyak penerbitan yang menyoal kedudukan kita sebagai masyarakat, dan persoalan-persoalan genting yang hanya akan muncul di dalam masyarakat pasca-penjajahan yang matang. Walaupun masih wujud pengharaman itu dan ini, tetapi dengan menularnya penerimaan penulisan-penulisan yang subjektif dan kesedaran tentang tahap kematangan diri, aku rasa masyarakat kita secara amnya hanya akan berkembang kesedarannya.
Walaupun ini tidak bermakna yang pihak berkuasa akan menghentikan polisi-polisi yang diamalnya dari dulu sampai sekarang, tetapi sekurang-kurangnya sekarang jumlah mereka yang mempersoalkannya dan memahaminya akan bertambah, yang sedikit sebanyak mendorong kita untuk menjadi lebih kreatif di dalam pemikiran.
Sekali lagi, nasib baik ada Internet.
5. Perlaksanaan Doktrin Kejutan. Sebagaimana penulisan Naomi Klein di dalam bukunya 'Shock Doctrine' (sila baca sendiri ya?) kegawatan ekonomi dunia sekarang menyebabkan banyak polisi-polisi drastik tidak masuk akal dilaksanakan. Dari sudut tempatan, peningkatan (dan seterusnya penurunan) harga petrol mengejutkan ramai pihak, walaupun sekarang lebih ramai yang asyik dengan hal tanah runtuh (dan tindakan susulan yang muncul selepasnya), dan senaman yoga sebelumnya. Kalau dilihat dari segi sosiologi memang tidak mengejutkan pun. Cuma di masyarakat kita lebih banyak perlaksanaan 'penumpuan perhatian' ke pada perkara-perkara lain (seperti siaran langsung perkahwinan selebriti) agar kita tidak panik dan lalai serta kurang tumpuan kepada perkara-perkara yang sepatutnya lebih penting dan patut didahulukan. Selama ini mungkin proses ini berkesan, tetapi seharusnya kematangan itu disertakan bersama dengan kemahuan untuk mencari maklumat tentang perkara yang sebenar.
Apa-apa pun aku perlu ingatkan di sini yang aku bukannya seorang aktivis, jadi pandai-pandailah ya? Seperti kata si Nabil (yang tidak kelakar), 'Lu Fikirlah Sendiri!'. Mungkin ada makna tersirat yang lebih mendalam.
Hmm.
Aku macam tiba-tiba rasa pemerhatian aku terlalu mendalam. Maaf jika kamu semua tidak faham. Apa-apa pun sila layan video Hujan di bawah.
Aku memang suka berendam di dalam laut. Tidak kisah-lah laut yang mana, janji bersih, aman damai dan tidak berdekatan dengan kawasan perindustrian atau hospital. Jadi untuk berendam di dalam laut aku akan ke tepi pantai, atau ke kawasan kepulauan, walaupun sebenarnya sudah lebih setahun aku tidak menjejakkan kaki ke dalam laut.
Dan kalau kamu perasan jika kamu ini kaki laut macam aku, di setiap kawasan persisiran pantai di Malaysia ini pasti akan ada perniagaan-perniagaan berdasarkan pelancongan yang diusahakan (atau sekurang-kurangnya diselenggarakan) oleh sekumpulan budak Melayu lelaki yang berkulit hitam legam akibat dibakar sinaran matahari tiap-tiap hari. Siapakah mereka ini? Teruskan membaca.
1. Hitam Dan Legam. Satu benda aku perasan pasal golongan ini (yang selalunya digelar 'Beach Boys' di sini) ialah kebanyakan berkulit hitam legam akibat tidak suka memakai baju ketika berjemur di pantai. Yang pelik juga apabila berkulit hitam mereka selalunya berambut perang dan panjang, agar nampak macam Mat Salleh yang tanned sedikit. (Atau watak yang dipegang Patrick Swayze di dalam filem 'Point Break') OK, bukan sedikitlah, mungkin tanned banyak. Sudah tentu akan mengenakan seluar pendek pantai dan yang tidak boleh lupa ialah rantai-rantai yang dibuat dari manik dan kulit yang dibeli dari Melayu Red Indian. (Cerita Lain.)
2. Usahawan Semi-Berjaya. Kalau anda ingin menaiki jetski, banana boat, paraglider atau papan luncur air golongan inilah yang biasanya akan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut di tepi pantai, walaupun pantai itu termasuk di dalam lingkungan kawasan Taman Negara yang sebenarnya melarang aktiviti-aktiviti sedemikian. Jangan lupa juga perkhidmatan teksi laut yang disediakan, yang diusahakan oleh mereka ini dengan bot-bot kayu dengan enjin motobot yang banyak mengeluarkan asap. Kiranya kalau di kawasan pulau mereka inilah yang jadi Mat Rempit, cuma mereka pakai bot, bukan motorsikal dan tidak memakai helmet sambil memakai kaca mata hitam jenama Oakley (tiruan).
Tidak lupa juga mereka yang menyediakan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong yang selalunya memilih pelancong-pelancong asing yang berbikini agar mudah membawa mereka-mereka yang 'diingini' ini ke pelosok-pelosok tersembunyi agar mudah meluahkan kata-kata romantis dibuai angin sepoi-sepoi bahasa.
3. Minat Reggae. Golongan ini tidak suka melayan lagu-lagu genre lain selain dari reggae, disebabkan kehidupan pulau mereka yang mengingatkan mereka kepada kehidupan di kepulauan Jamaica. Tidak lupa juga kerana jenis-jenis daun yang mereka hisap dengan terbuka di kawasan pulau-pulau ini, yang semestinya bukan daun tembakau. Kalau tak percaya mengakulah yang kamu ini pandai bermain gitar, pasti akan disogokkan gitar ke arah muka kamu dan kemudiannya kamu akan disuruh main 'Redemption Song'. Tetapi mungkin semenjak dua menjak ini akibat kesedaran terhadap pentingnya industri muzik Malaysia mereka akan lebih suka mendengar lagu Pure Vibracion iaitu 'Mi Gal'.
4. Tidak Suka Awek Melayu. Sebab Awek Melayu tidak suka pakai berbikini, dan jika pakai bikini pun akan 'dikepung' oleh balak-balak lelaki mereka yang badan berketul sedikit. Akibatnya perempuan-perempuan dari Scandinavia dan terutamanya dari Jepun yang akan menjadi habuan. Pada mereka yang bukan datang dari Malaysia mungkin nilai novelty ber'balak'kan lelaki Melayu hitam legam berpenyakit kelamin (mungkin) merupakan satu godaan yang besar.
5. Suka Berpesta Pantai. Salah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh golongan ini ialah pesta-pesta di pantai (atau Full Moon Party) yang biasanya diadakan sebulan sekali. Di waktu inilah kita boleh melihat kumpulan-kumpulan besar golongan ini yang melayan 'jus' jenama Orangutan yang hanya boleh didapati di kawasan pulau-pulau tersebut. Akan jadi lebih meriah lagi sebab satu kampung akan turun, dari yang bawah umur, sampai umur dan lebih umur (kiranya orang lama lah) yang biasanya akan diberikan keutamaan memilih Awek Bukan Melayu yang diingini akibat kedudukan yang tinggi di dalam hierarki Budak Pulau. Dan hierarki di atas pulau ini sebenarnya agak kompleks, jika kamu betul-betul perhatikan.
6. Paling Gerunkan Musim Monsun. Ketika musim monsun iaitu selepas bulan September, pada mula-mulanya golongan ini akan teruja sebab akan muncul peluang mereka menunjukkan bakat sebagai peluncur air (surfer) semi-professional. Tetapi apabila ombak menjadi lebih tinggi dari 2 meter kebanyakan dari mereka ini akan tinggalkan pulau-pulau yang didiami mereka lebih dari 6 bulan setahun dan akan ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai Red Indian penghembus api di Sunway Lagoon atau A Famosa Resort. Yang lebih berbakat akan menjadi bartender di sekitar Asian Heritage Row (senang untuk kenali mereka dengan rambut yang panjang dan rantai yang dibuat dari cengkerang siput laut) dan yang lain-lain akan menjual barangan kulit bersama kelompok Red Indian Melayu yang lain. (Cerita Lain.)
7. Jalan Bengkang Bengkok Sebab mabuk darat, terlalu lama di atas sampan.
Aku rasa itu sahaja untuk kali ini. Sekian, terima kasih.
Tempohari ketika di pesta pemujaan makanan ringan yang aku sebut di nukilan sebelum ini, ada banyak band-band yang membuat persembahan di atas pentas papan lapis basah yang mempunyai khemah kecil khas untuk si pemain dram. Band-band ini semuanya sedang bertanding untuk memenangi kontrak rakaman di dalam pertandingan yang dianjurkan stesen radio yang hot, tetapi tidak cool. Jadi ketika aku sedang bergelak ketawa melihat aksi-aksi pemuzik ini aku terfikir pula untuk nukilan kali ini.
Aku rasa kamu pasti pernah melihat golongan ini. Malah aku rasa kamu juga kenal seorang dua. Kita mulakan terus.
1. Pemuzik Handal Yang Tidak Handal. Dalam ramai-ramai golongan pemuzik di Malaysia ini, selain dari pemuzik di pub-pub penuh lelaki berperut buncit, golongan inilah yang paling teknikal dan mahir. Setiap lagu orang lain yand dengan bangga dimainkan setiap kali pada setiap persembahan, akan dimainkan dengan nota dan cara yang tepat, mungkin lebih tepat dari band asal yang memainkannya. Tidak pandai main lagu sendiri, dan kadangkala memang tiada lagu hasil karya sendiri pun. Kalau ada, 95% daripadanya dicilok dari lagu band kegemaran. Akibatnya lebih suka memainkan lagu-lagu popular dari band-band popular lain, biasanya dari luar negara. Lagi pun orang mudah layan bila main lagu orang, bukan? Kiranya macam mesin fotokopi berkesan tetapi versi pemuziklah.
Hobi ketika di depan komputer ialah untuk melakukan time-stretch (sila Google) ke atas fail muzik mp3 agar solo-solo gitar diperlahankan kelajuannya agar mudah untuk ditiru bulat-bulat.
2. Wira-Wira Muzik Kurang Relevan. Biasanya idola bagi pemuzik-pemuzik yang ingin berjaya sebagai rockstar ini adalah idola-idola yang mungkin telah pun capai tahap populariti tertingginya 10 tahun lalu, dan sekarang aktif di dalam siri-siri konsert nostalgia (yang biasanya dihadiri oleh golongan-golongan Rockstar Terhad ini). Nama-nama seperti Yngwie Malmsteen, Joe Satriani, Steve Vai, Edry Hashim menjadi golongan untuk sesetengah dari mereka ini, dan yang lainnya mengidolakan band-band yang popular suatu masa dahulu di bawah arus muzik 'grunge' seperti Pearl Jam, Nirvana dan Stone Temple Pilots dan tidak lupa juga Guns 'n' Roses ketika era Axl Rose masih berwajah normal. Tidak lupa juga mereka yang obses dengan genre 'nu-metal' dengan lagu-lagu ala Korn dan Limp Bizkit-nya. Akibatnya tiap-tiap kali kamu menonton band-band sebegini kamu selalu teringatkan zaman sekolah (kalau kamu sudah pun bekerja), atau zaman kanak-kanak Ribena (jika kamu masih bersekolah) sebab seakan-akan kamu terperangkap di dalam dimensi masa yang membawa kamu ke era 90an.
Dan manusia sebagai makhluk yang amat nostalgis sudah tentu sukakan sesuatu yang membawa balik memori-memori indah tatkala menerima surat layang berbedak dari peminat rahsia yang tidak dikenali. Mungkin sebab itu popular. Tanya semua Rottwailers.
3. Berfesyen Templat Rockstar Terhad. Berbaju serba hitam (sebab hitam itu cool, anti-establishment dan tidak mudah kotor), dengan rambut terpacak bergel dan mata bercelak ala si penyanyi nasyid Terengganu yang masuk pertandingan 'One In A Million' dahulu (maaf aku lupa namanya). Seluar jeans juga hitam, dan untuk yang mampu akan melabur untuk membeli seluar jeans kulit sebab kulit itu lebih 'rock'. Tidak lupa juga rantai leher tebal (tetapi tidak setebal rantai leher hiphop) sebagai pelengkap aksesori. Kalau mengenakan pakaian yang mempunyai motif, biasanya akan mempunyai motif tengkorak, hati yang dipanah, grafitti dan sebagainya iaitu sama dengan Mamat 2.0 yang aku tulis sebelum ini. Disebabkan obses dengan barangan kulit (oh ya aku lupa, kasut but hitam itu juga wajib), semua barangan dan aksesori kulit menjadi idaman, lagi-lagi yang berwarna hitam. Tidak silap aku semua barangan-barangan kulit yang dijual oleh kaum Red Indian Melayu (Cerita Lain) di pusat-pusat membeli belah terkemuka negara banyak dibeli oleh golongan ini. Disebabkan tidak cukup wang untuk membeli jaket motosikal kulit hitam, aksesori-aksesori kulit yang lain akan dikenakan, seperti gelang kulit tebal dan tali kasut kulit serta talileher kulit untuk dipakai di konsert-konsert yang lebih formal untuk televisyen seperti konsert Konsert Kemuncak Citrawarna, Jom Heboh dan Konsert Perkampungan Hadhari.
4. Main Gitar Jenama Ibanez. Ala... Yang tajam-tajam tu.
5. Suka Masuk Pertandingan. Akibat tidak boleh dibayar untuk melakukan persembahan, ramai di antara mereka ini membuat band yang sanggup membayar wang untuk membuat persembahan, seperti pertandingan 'Battle Of The Bands' anjuran kolej-kolej swasta. Walaupun tidak pernah menang, tetapi mereka ini tidak pernah mengaku kalah walaupun banyak wang dihabiskan untuk berjamming dan membeli seluar kulit dan rantai leher emas tiruan. Ini semua dilakukan semata-mata untuk mengejar sebahagian cita-cita Rockstar Terhad mereka, iaitu muncul di siaran Astro seperti 'Blast Off' (yang juga pertandingan muzik) atau rancangan-rancangan muzik secara live di RTM2, memandu kereta Honda berwarna merah/kuning, bermain di atas pentas konsert Rottwailers dan Jom Heboh, tinggal di kawasan Ukay Heights/Bukit Antarabangsa, gambar masuk majalah ROTTW, memiliki 3 batang gitar karan, membeli sistem gitar tanpa wayar (agar mudah bergerak di atas pentas berukuran lebih 10 meter panjang) dan berkenalan dengan Ella/Amy Search.
Atas sebab suka masuk pertandingan-lah selepas menjadi pemuzik professional pun, suka masuk rancangan-rancangan berunsur pertandingan seperti Muzik-Muzik, Bintang RTM untuk dekat selangkah lagi ke cita-cita menjadi Rockstar Terhad mereka.
6. Ramai Peminat (?)... ...yang merupakan kawan-kawan. 8 keping dari setiap 10 keping demo CD yang dijual adalah akibat paksaan kepada kawan-kawan. Itu pun selepas disogokkan dengan kata-kata seperti, "Support the local scene, beb!" Kawan-kawan yang sama juga akan dijanjikan makanan percuma di restoran mamak jika membawa sepanduk kad manila bertuliskan kata-kata pujian 'peminat' ketika pertandingan-pertandingan yang disebut di atas dilangsungkan.
Dan semestinya mereka ini semua ramai peminat sebab setiap kali sebelum mula bermain di atas pentas pasti akan ada sesi bersuai kenal, yang biasanya berbunyi begini...
Vokalis — "Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??" "Kami Band (letak nama), dan kami adalah Lan, on guitars!!! (Lan goreng sikit kat gitar) Man on bass!!! (Man goreng sikit kat gitar bass) Tan on drums!!! (Tan goreng sikit kat drumkit) Man — Dan semestinya Adam on vocals!!! Adam — Yeaheh! (Gaya ala-Jinbara)
7. Pemuzik Tidak Handal Yang Handal. Akibat kekurangan kreativiti untuk menulis lagu-lagu sendiri (dan mungkin juga arena ciptaan lagu di Malaysia dimonopoli oleh Mahaguru-Mahaguru tertentu), mereka akhirnya pasrah dan menumpukan masa bekerja dengan lagu-lagu orang lain. Paling seronok kalau diberi peluang untuk mengetuai band-band di rancangan-rancangan TV terkenal yang memerlukan muzik live seperti Akademi Fantasia dan One In A Million. Kemuncak rancangan secara peribadi semestinya ketika kamera zoom-in bila sedang memainkan solo ketika memainkan lagu Zaiton Sameon/Francessca Peters yang diolah semula. Ramai juga yang berjaya mencari nafkah halal dengan cara ini (bukan sahaja 3 gitar karan, malah 3 buah kereta Honda merah, kuning dan hitam). Ini untuk pemuzik yang main alat muzik sahaja, yang bergelar penyanyi pula akan cuba mendapatkan tender menyanyi lagu-lagu patriotik bersama orkestra untuk RTM. Memang tidak salah pun. Afdal.
8. Ramai Groupie (?) Istilah 'groupie' jika kamu tidak tahu bermaksud peminat fanatik (biasanya perempuan) yang minatkan pemuzik-pemuzik popular dan sanggup melakukan seks dengan mereka. Kamu baca sahaja buku-buku biografi band-band popular dahulu seperti Led Zeppelin dan The Rolling Stones (atau tonton sahaja filem 'Almost Famous'). Di barat memang perkara biasa, tetapi untuk Rockstar Terhad di sini mereka ini selalunya ialah peminat perempuan yang bakal menjadi Isteri Pertama. (Terpikat disebabkab seluar jeans kulit, semestinya.) Isteri Kedua sudah tentunya kawan akrab si Isteri Pertama. Lumrah dunia.
9. Peluang Yang Terhad. Percayalah, memang terhad pilihannya jika kamu ingin menjadi seorang Rockstar di Malaysia. Mungkin ada yang telah mencapai tahap kehidupan ala-ala Rockstar di Barat, tetapi realitinya amat sukar untuk bergelumang di dalam wang berjuta-juta ringgit berdasarkan pendapatan sebagai seorang pemuzik di sini. Di sini pasaran memang terhad, dan jika kamu ke luar negara pun aku rasa diskriminasi yang kamu akan hadapi sebagai seorang rocker Melayu akan melemahkan semangat kamu serta-merta.
Tetapi jika kamu sedar angan-angan ini sebenarnya sesuatu yang kelakar dan kamu menjadi Rockstar yang sedar akan hakikat itu, teruskanlah. Aku dengar semenjak dua menjak ini banyak band-band ala The Darkness yang berani untuk tidak mengambil diri sendiri terlalu serius, dan sebaliknya berjaya untuk tampil ke hadapan dan sedikit sebanyak mencapai impian rock'n'roll mereka, walaupun tidak sehebat Rockstar idola mereka. Aku tabik!
Tempohari aku telah menghadirkan diri ke satu upacara pemujaan makanan ringan yang benar-benar menakutkan di tengah-tengah hutan buatan manusia (yang banyak nyamuk) di Subang. Selepas dihiburkan dengan band-band bingit yang memainkan lagu dangdut metal dan kurang fasih untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris (kalau kurang fasih, gunakan sahaja Bahasa Malaysia. Tidak salah pun!), kami ditakutkan dengan aksi-aksi sarkas. Bayangkanlah lebih setengah jam dibazirkan untuk menonton tarian artistik dan abstrak yang ditarikan penari perempuan berskirt tukang sorak (dengan seluar pendek di bawah) dan lelaki berbandana yang memakai kemeja-t tanpa lengan dan berconteng di muka.
Tetapi aku terperasan satu lagi perkara, yang boleh dikatakan menyumbang kepada 75% pengunjung hari itu, iaitu golongan yang akan aku gelar 'Mamat 2.0'. (Mungkin juga termasuk di dalam golongan Mat Shuffler) Mereka ini lebih canggih dari golongan 'Mamat' yang aku ceritakan tempohari, dan di sini aku akan terangkan mengapa.
1. Terlambat Sedikit. OK, konsep pertama yang aku perlu terangkan di sini ialah konsep Terlambat Sedikit®. Aku akan terangkan konsep ini yang aku baca dari laman Hipster Runoff secara mudah sekarang, dan aku akan terangkan lebih lanjut kemudian. (Mungkin) Dipendekkan cerita, mereka yang agak lambat untuk mengadaptasi sesuatu trend atau gaya terbaru, baik dari segi fesyen, pemikiran, hobi dan sebagainya. Sekurang-kurangnya 2 tahun lambat. Baca seterusnya dan kamu mungkin akan faham.
2. Fesyen Terlambat Sedikit. Fesyen Terlambat Sedikit ialah jenis fesyen yang aku dapati paling popular sekarang. Untuk lelaki, yang perlu ada ialah topi jenis mesh cap, t-shirt ukuran ketat sedikit, skinny jeans murah (ya, memang ada skinny jeans yang mahal) dan selipar jepun yang jenis bukan selipar jamban. Selalunya semua akan berwarna hitam (sebab emo) tapi apa yang benar-benar menonjol ialah motif yang terdapat di pakaian-pakaian tersebut. Aku hanya boleh terangkan sebagai motif 'extreme', iaitu elemen rekabentuk berserabut dengan tipografi bersepah, yang mungkin popular satu masa dahulu di akhir tahun-tahun 90an. Susah hendak jelaskan jadi nikmati sahaja gambar rujukan di bawah.
Penuh dengan gambar tengkorak, hati yang dipanah, tatu, grafitti dan unsur-unsur sukan 'extreme'. Selalunya bersepah dan berwarna gelap. Biasanya jenama-jenama yang bersalah yang masih mengekalkan imej rekabentuk sedemikian ialah jenama Quiksilver dan Billabong. Sudah tentu barangan yang dipakai ialah barangan tiruan yang dibeli di Danau Kota atau Jalan Petaling. Yang ada duit sedikit akan membeli produk tersebut dari cawangan-cawangan Factory Outlet Store yang penuh bersepah dengan jenis pakaian sedemikian.
Aksesori wajib pula ialah rantai leher berwarna perak atau emas, yang sedikit tebal ala-ala 'Abang' yang biasanya dipakai oleh pemain dram band-band muda yang aktif di dalam pertandingan 'Battle Of The Bands'.
3. Jenis Tarian Terlambat Sedikit. Apa-apa pun yang paling banyak menular ialah gejala 'shuffling'. Kalau kamu tidak tahu, tarian ini sebenarnya berasal dari kotaraya Melbourne, yang banyak menampilkan unsur-unsur hip-hop dan tarian jalanan tetapi berlatarbelakang music jenis hard dance, trance atau techno. Jadi, dengan berpakaian seperti yang diterangkan di atas, golongan ini akan melayan 'shuffling' di mana-mana sahaja, akibat masih belum cukup umur untuk masuk ke kelab malam, ataupun memang hidup susah dan tidak mampu untuk membayar bayaran masuk ke tempat-tempat sebegitu. (Mungkin juga susah untuk masuk ke kelab malam sebab golongan ini selalu suka memakai selipar jepun jenama Quiksilver atau Billabong (tiruan).) Yang masih bersekolah pula akan selalu kelihatan melakukan 'shuffle' lengkap berpakaian sekolah ketika waktu rehat di sekolah. Malah, aku pernah melihat seorang budak yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menari sebegini di tepi jalan ketika waktu rehat.
Oleh kerana tidak ke kelab malam, destinasi-destinasi terunggul untuk melakukan 'shuffle' ialah di kawasan Bukit Bintang (depan Maybank) ketika hujung minggu dan Hari Penyampaian Hadiah di sekolah. Rujuk video di bawah.
4. Aktiviti Harian Terlambat Sedikit. Teori aku ialah golongan ini sebenarnya golongan Mat Rempit yang selalu kalah berlumba, ataupun golongan yang hampir jadi Mat Rempit tetapi tidak menjadi kerana hanya memiliki basikal. Akibat dari ketidakupayaan ini, golongan ini perlukan aktiviti-aktiviti lain untuk meluangkan masa lapang apabila mereka ponteng dari sekolah/kerja. Selain dari 'shuffling' yang aku tuliskan di atas, golongan ini juga suka menjadikan aktiviti-aktiviti lain yang murah dan tidak perlu membelanjakan wang yang banyak. Dengan 'shuffling' misalnya apa yang kamu perlu hanya topi jenis cap, lantai yang rata dan telefon bimbit yang ada pembesar suara. Cukup. Lain-lain aktiviti yang mungkin menjadi kegemaran golongan ini ialah melihat orang lain menari 'shuffle', dan menghadiri gig-gig percuma di tengah bandaraya. Kiranya kalau percuma sahaja akan berduyun-duyun mereka datang bagaikan ikan mengejar taik.
Lagi-lagi acara-acara percuma yang berlaku di Sunway Lagoon. Pantang ada acara percuma di sana, yang menjanjikan free show gadis-gadis sekolah swasta berbikini (yang juga pemilik blog) acap kali ia dilakukan. Kalau kamu percaya cuba Google blog-blog gadis berbikini ini dan tiap-tiap kali apabila menulis tentang acara-acara sedemikian pasti akan tertulis komplen tentang segerombolan golongan ini yang menganggu mereka ketika mereka cuba untuk mengambil gambar-gambar berbikini yang bakal diletakkan di dalam blog.
5. Mentaliti Kelompok Yang Terlambat Sedikit. Sebagaimana golongan remaja lain yang mungkin belum berkeyakinan penuh dengan diri mereka, golongan ini banyak terdedah kepada tekanan dari rakan sebaya. Akibatnya seperti kelompok-kelompok lain yang berkelompok, sesuatu yang 'baru' itu akan dijadikan ikutan, dan akan diikut buta-buta. Malangnya trendsetter dalam kumpulan ini biasanya rakan sebaya yang mungkin dapat duit belanja lebih sedikit dari ibubapa mereka, dan akibatnya pendedahan mereka terhadap trend-trend yang kononnya 'terbaru' amat terhad. Proses pengaliran informasi juga terhad (selain dari fail-fail 3gp lakonan Pelakon-Pelakon Kesatuan Porno Amatur Malaysia/Indonesia) tetapi sekurang-kurang mereka celik IT dan pandai menggunakan laman-laman di Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang tidak berfaedah seperti cara-cara muatturun fail 3gp ke telefon bimbit dan menyunting fail 3gp lucah agar boleh diletakkan di dalam Youtube.
OK aku sudah tiada buah fikiran untuk menulis lagi. Apa kata kamu semua sambung?
Demi tanggungjawab aku sebagai seorang penulis blog yang bertanggungjawab aku ingin menyahut saranan Cik Magenta dan menulis tentang perkara-perkara yang menjengkelkan aku jika perempuan buat. (Sekali lagi tiada kaitan dengan gambar di atas.)
1. Perempuan yang terlalu memainkan peranan Wanita Yang Lemah. Jenis perempuan yang terlalu hendakkan kesatria berperisai berkilat untuk menyelamatkan keadaan pada tiap-tiap masa sehinggakan benda yang remeh-temeh pun si lelaki kena buat. Macam tiupkan makanan yang panas sebelum masuk mulut dan yang paling pantang menyuruh si lelaki pegangkan tas tangan ketika membeli-belah. Puh-lease. (Tiada kaitan dengan gambar di atas.)
2. Perempuan yang kamu tahu sukakan kamu betul-betul dan berusaha sedaya upaya untuk membuatkan kamu terpesona dengannya dengan menceritakan segala pencapaian-pencapaian yang kurang relevan. Seperti kenyataan "Saya tengah buat tesis 2000 mukasurat tentang Damien Hirst" bila kamu beritahu kamu minat baca komik ataupun "Saya sudah hafal semua buku karangan Jamie Oliver dan Anthony Bourdain!" bila kamu beritahu kamu suka makan di restoran Secret Recipe. Kiranya terlebih sangat nak impress-lah. (Juga tiada kaitan dengan gambar di atas.)
3. Perempuan yang suka kutuk negara sendiri. Asyik-asyik suka berkata "Malaysia ini panas-lah, di London/New York dulu sejuk sahaja..." atau "Orang di Malaysia ini bodoh la, aku tak sabar nak kerja di Melbourne/Berlin, di mana orang-orangnya semua bijak-bijak, ramah mesra dan sopan santun belaka." Kalau sudah orang Malaysia buat macam orang Malaysia. Kecuali kalau kamu bukan orang Malaysia, kalau kamu hendak kutuk negara sendiri dipersilakan. (Semestinya tiada kaitan dengan gambar di atas.)
4. Perempuan yang suka tunjuk Perasaan Kasih Sayang Di Tempat Awam (Public Display of Affection) di tempat yang tidak kena. Seperti ketika beratur untuk membayar barangan di Tesco/Globe Silk Store/Mydin di depan makcik-makcik atau ketika beraya di rumah orang. (Mungkin tiada kaitan dengan gambar di atas. OK, OK tiada kaitan.)
5. Perempuan yang tidak berusaha untuk menghilangkan misai nipis sendiri. Ataupun mana-mana bulu di tubuh badannya yang tidak sepatutnya berada di situ. (Ini subjektif, jadi sila abaikan jika kamu suka bulu.) (Ya, tiada kaitan dengan gambar di atas.)
6. Perempuan yang perasan dirinya teramat cantik sehingga satu cakerawala terpaksa patuh kepada kehendaknya. Ini termasuk berpendapat semua planet-planet mengorbit di sekeliling dirinya, jadi dialah yang paling patut diutamakan, termasuk dari segi masa (ambil masa sendiri), graviti (harapkan orang lain yang patut mengangkat beban) dan yang paling tak boleh bla ialah perempuan yang menggunakan kecantikannya untuk melarikan diri dari tanggungjawab. Sebab dia perasan dia lawa sangat kalau dia buat salah apa-apa pun orang semua akan maafkan. Sebab dia lawa. Puh-lease. (Masih tiada kaitan dengan gambar di atas.)
7. Perempuan yang lebih buku dari ruas. Kita beri dia peluang dan kebebasan, dan sebaliknya kita dikongkong atas kehendaknya. Tidak boleh keluar rumah, tidak boleh tegur rakan-rakan perempuan (yang sudah kenal lama pun) walaupun sebaliknya kita berikan segalanya. Aku rasa ini satu simptom besar kes Queen Control jadi jika ini telah pun terjadi kepada kamu sila berwaspada dan picit-picit tangan dia sampai sakit. (Tentunya tiada kaitan dengan gambar di atas.)
8. Perempuan yang lebih ruas dari buku. (?) Selalu hendakkan lebih pengorbanan dari kita jika dibandingkan pengorbanan yang diberinya. Misalnya satu hari kamu dibelanjanya makan nasi sambal udang di kedai mamak, tetapi sebagai balasannya dia mengungkit-ungkit kononnya mengidam makan udang kara bakar di Seychelles. Kalau kamu bantah dia akan kata, "Eeeeh tapi hari tu kan I belanja you makan???". Pirah. (Tiada kaitan juga dengan gambar di atas.)
9. Perempuan yang terlalu cintakan seseorang sampai sanggup melakukan dan menerima segalanya sampai hilang pendirian diri. Aku rasa pendirian tegas dan mempunyai sifat individualiti itu penting, jadi jika kamu hilang pendirian semata-mata kerana cinta memang tidak patut sebenarnya. Jatidiri itu penting dan aku rasa boleh menjadikan mana-mana lelaki terpikat dengan kamu. (Tiada kaitan langsung dengan gambar di atas.)
10. Perempuan yang selalu ajak makan tetapi bila makan bersama-sama, malu pula untuk makan sampai habis walaupun sebenarnya perut sedang berkeroncong versi orkestra. Tidak payah berselindung sangat, sebab aku suka lihat perempuan makan dengan puas, janji tidak gelojoh dan makan sampai muntah. (Mungkin ada kaitan. Mungkin tidak.)
11. Perempuan yang buat macam dalam video berikut.
Aku belum lagi sempat menonton filem 'Quantum Of Solace', tetapi menurut cerita dari rakan-rakan memang filem yang amat menarik. Aku sebenarnya dari zaman kanak-kanak lagi gemarkan filem risikan dan agen-agen rahsia (bukan merisik untuk bertunang) dan espionage, dan ya, hanya Sean Connery yang merupakan James Bond sejati pada aku (lihat gambar). Tak silap aku, filem pertama James Bond yang aku lihat di panggung wayang (dan ingat-ingat sedikit) ialah 'For Your Eyes Only' dengan lagu temanya dendangan Sheena Easton. Walaupun begitu salah satu memori terawal aku ialah menonton watak penjahat bergigi besi bernama 'Jaws' di panggung wayang, jadi mungkin aku pernah menonton samada 'Moonraker' atau 'The Spy Who Loved Me' terdahulu.
(Oh ya, lagu tema filem James Bond kegemaran aku ialah 'The Living Daylights' dendangan A-Ha. Dan mungkin juga 'A View To A Kill' dendangan Duran-Duran.)
Apa-apa pun matlamat nukilan hari ini ialah untuk memberikan 9 Sebab Mengapa Melayu Tidak Boleh Jadi James Bond.
1. Melayu Suka Berahsia Tetapi Tidak Pandai Simpan Rahsia. Aku rasa industri perisikan satu dunia ini berasaskan satu konsep, iaitu keupayaan untuk menyimpan/menghantar/menjual maklumat rahsia dan sensitif. Sekarang kita lihat sahaja Harian Metro. Penuh dengan berita-berita peribadi yang mengaibkan, lagi-lagi selebriti murahan dan ahli politik. Lagi pun kita semua memang gemar mendengar perkara yang sepatutnya dirahsiakan. Macam siapa main dengan siapa, laki siapa yang keluar dengan bini siapa, laki siapa yang keluar dengan laki lain, siapa yang bayar duit kepada siapa, benda-benda macam tu-lah. Aku tidak hairan kalau Melayu yang jadi James Bond sudah pasti keesokan harinya terpampang di muka depan suratkhabar segala apa rahsia kerajaan kita semua. Tapi itu mungkin perkara yang baik pun. Cuma bergantung kepada nilai wang ringgit rahsia itu bukan?
2. Martini Yang Digoncang, Bukan Dikacau (Martini, Shaken, Not Stirred) Itu Haram. Takkanlah kamu pergi ke tempat-tempat ekslusif di French Riviera atau Monte Carlo dan kamu pergi ke bar dan memesan, "Bang, fresh orange satu?". Aku rasa pada saat dan ketika itu pastinya identiti kamu sebagai perisik dari Malaysia yang jual rahsia kepada Harian Metro akan terbongkar serta-merta. Akibatnya pasti kamu dibunuh atau sekurang-kurangnya diseksa dengan menonton kesemua episod 6 musim Akademi Fantasia. Sekaligus.
3. Kasino Dan Perjudian Haram. Kalau kamu menonton 'Casino Royale', James Bond dengan selambanya menggunakan duit kerajaan British untuk berjudi demi tugasan rahsianya. Bukan itu sahaja malah pegawai yang ditugaskan dari Kementerian Kewangan pula ialah seorang wanita seksi dan mengancam yang tidak suka memakai coli (sarung tetek kata orang tua-tua). Kalau agen rahsia kita yang pergi mesti fikir dua tiga kali untuk melangkah ke dalam kasino. Dan sudah pastinya akan terfikir untuk ke kasino sambil berbaju batik berlengan panjang macam semasa latihan espionage dulu di Genting Highlands. Kalau ada pegawai Kementerian Kewangan kita pula yang ikut sudah tentu pegawai yang ditugaskan seorang makcik bertudung yang memakai lencana nama berwarna hitam. Jangan haraplah kalau dihantar untuk masuk ke dalam kasino yang penuh dengan perjudian, arak dan seks bebas (menurut Harian Metro).
4. Seks Bebas Juga Haram, Bukan? Semua pasti tahu bahawa James Band ialah seorang Player (Cerita Lain). Seks dan nafsu digunakan semata-mata untuk menyelesaikan misi. Banyak masalahnya kalau agen kita yang menjadi James Bond. Satu, agen kita pasti kacak macam Daniel Craig, jadi sudah tentu amat sukar untuk menggunakan seks sebagai taktik. Mesti ramai yang tidak berselera pun. (Orang kita kalau kacak paling kuat cita-cita pun hendak berganding dengan Nasha Aziz di dalam siri drama 72 episod. Tak akan ada yang ingin jadi agen kerajaan.) Dua, kalau kacak pun, bukan tentu agen-agen serta pegawai-pegawai yang kita hantar itu sukakan perempuan pun.
5. Proton! Hendak buat kereta tahap konsumer pun masih terkial-kial selepas 20 tahun, inikan pula kereta khas untuk perisikan yang penuh dengan fungsi dan senjata tersembunyi dan kalis peluru pula. (Macam Batmobile dulu) Aku rasa paling kuat pun kalau kita ada James Bond fungsi tercanggih Kereta Perisik Nasional merupakan Keupayaan Untuk Buka/Tutup Pintu Tingkap Tanpa Tersangkut. Memang tak akan ada Kereta Perisik Nasional yang boleh jadi kapal terbang/kapal selam/belon/helikopter. Kalau hendak gunakan kereta import pula susah nanti, satu Dewan Rakyat kecoh pasal peruntukan/kos penyelenggaraan/AP.
6. Identiti Palsu Amat Terhad. Dengan rupa sawo matang kita, memang sukar untuk agen kita low-profile. Sebab kita turun lapangan terbang mana pun, nama kita yang ada perkataan 'Bin' itu sudah pasti menyebabkan sedikit kesukaran akibat 'ancaman keselamatan'. Untuk menggunakan nama 'Carlos Valderrama' atau 'Bebeto' (orang Amerika Latin ada rupa Melayu apa?) di dalam passport pula susah, nanti orang kampung ingatkan kamu murtad. Kalau guna nama Mat Salleh memang 100% kantoi. Kamu ingat ada orang akan percaya ke bila lelaki rupa Melayu pakai passport di bawah nama 'John Holmes' atau 'Ron Jeremy'? Sudah tentu tidak.
7. Tidak Cukup Peralatan Khas. Kalau James Bond ada watak 'Q'nya yang membekalkan segala apa peralatan rahsia sebagai alat komunikasi, senjata atau alatan perubatan, kita ada apa?
Setakat remote control Astro tidak ke mana. Kalau hendak harapkan satelit-satelit Measat untuk komunikasi pun aku rasa agen rahsia kita kena 'beratur' dan tunggu giliran di belakang quota penggunaan Maxis, Celcom, Digi, U-Mobile dan macam-macam lagi. Kalau musuh kita letupkan semua Measat-Measat kita (tidak silap aku ada 2? Betulkan aku jika salah, ya?) memang habis terkandas agen rahsia kita. Takkan nak tulis dan hantar surat pakai Pos Malaysia?
8. Satu Malaysia Akan Tahu Identiti Agen Rahsia Kebangsaan. Ya-lah, mestilah bangga, ada anak jati kita yang berjaya menjadi Agen Rahsia. Sudah tentu akan ada lintas langsung hari Ahad ketika rancangan Nona, ala-ala perkahwinan-perkahwinan glamour selebriti kita. (Itu pun kalau Astro Awani tidak ambil dulu.) Memang sah akan terpampang muka agen rahsia kita di mana-mana, yang sudah tentunya dipilih melalui undian SMS. Apa-apa pun aku rasa agen rahsia kita mungkin akan menjadi kaya akan menjadi duta produk itu dan produk ini. Mungkin atas sebab ini agen rahsia kita tiada sebab untuk dilaporkan ke BPR sebab sudah cukup gajinya.
9. Kita Mungkin Cukup Belanjawan Untuk Satu Orang Agen Sahaja. Mestilah, sebab aku rasa belanja untuk latihan sahaja sudah berjuta-juta. Akan wujud Pusat Pra-Latihan Agen Rahsia yang pastinya akan dibina di lokasi eksklusif di United Kingdom (atas dasar perkongsian teknologi), kemudiannya Pusat Latihan Asas Agen Rahsia Kebangsaan di lokasi rahsia yang tidak boleh dikemukan (Langkawi. Sebab bebas cukai) dan tidak lupa juga Pusat Latihan (Dan Convention Hall) Lanjutan Agen Rahsia Kebangsaan di Putrajaya. Selepas agen rahsia kita terbunuh ketika melakukan tugasan (akibat keracunan makanan di Dubai) sudah tentu kecoh satu Malaysia tentang program agen rahsia kita di suratkhabar, dan akibatnya satu program ini dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan dari segi latihan (sebab gunakan pelatih sukarelawan) dan bangunan (kandungan pasir lebih dari simen dalam bancuhan konkrit). Tamat cerita.
Jadi, memang sahlah Orang Melayu Tidak Boleh Jadi James Bond, bukan?
Aku rasa golongan Mamat ini adalah golongan yang paling umum yang aku penuh buat tafsiran di sini. Aku pasti ramai antara kamu pernah berjumpa dengan mereka ini, dan aku tidak hairan jika kamu sendiri adalah seorang Mamat. Jadi untuk memastikan sama ada kamu ini termasuk dalam golongan ini, teruskan membaca...
1. Kamu Dipanggil Mamat. Kamu dari kecil lagi telah diberi nama Mamat atau Mat. Tidak kisahlah kalau nama kamu ada 'Mohamad' ataupun tidak. Walaupun nama kamu seindah Ahmad Syarifuddin Mikael Mutawakkil Azizullah Danish Hamimi Bin Aziz pun, kamu akan tetap di panggil Mamat akibat sifat kamu yang tiada istimewanya. Bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, universiti dan tempat kerja pun, kamu akan dipanggil Mamat. Kalau adik beradik kamu telah berkahwin dan mempunyai anak, anak-anak mereka akan memanggil kamu Pak Mat atau Uncle Mamat. Kecuali kalau kamu gemuk, maka kamu akan dipanggil 'Bob'. Dan kecuali jika kamu dengan kawan-kawan yang pandai sepatah dua Bahasa Inggeris, yang akan memanggil kamu 'Joe'.
2. Kamu Tidak Pernah Menonjol. Kalau kamu berjalan seorang diri, tiada siapa yang akan perasan kamu. Walaupun kamu perasan yang orang semua perasan kamu. Kalau bilangan kamu ada 100 orang pun, kamu semuanya akan menjadi 100 orang yang tidak dipedulikan. Akibatnya ramai di antara kamu yang mengambil jalan mudah untuk mendapat perhatian—berperangai buruk. Tetapi jarang di antara kamu yang suka berperangai buruk seorang diri, kerana segala aktiviti akan dijalankan bersama Mamat-Mamat lain yang sehati sejiwa dan sebosan kamu.
3. Kamu Pandai Dalam Perkara-Perkara Yang Bodoh. Ketika dalam Tingkatan 3 kamu berazam untuk lulus PMR sahaja dan kemudian bekerja untuk menjadi mekanik, atas alasan ibubapa kamu miskin dan tidak mampu, walaupun semua orang tahu pendidikan sehingga Tingkatan 5 di Malaysia ini semuanya percuma. Apabila kamu berjaya menjadi mekanik dan kawan-kawan kamu semua masuk universiti kamu akan menyesal tidak melanjutkan pelajaran bersama mereka dan bertekad untuk bekerja di pejabat pula. Sekarang apabila kawan-kawan kamu bertanyakan di mana kamu bekerja, kamu akan kata kamu bekerja dalam pejabat, walaupun hanya sebagai seorang despatch. Sekurang-kurangnya kamu boleh jimat duit menyelenggara motosikal kamu akibat pengalaman sebagai seorang mekanik, bukan?
4. Kamu Sampai Di Blog Aku Selepas Menggoogle 'bikini melayu'. Mengaku sajalah.
5. Kamu Suka Dengkikan Kejayaan Orang. Akibatnya kamu selalu menggunakan ayat-ayat seperti 'Bapak kau kaya boleh-lah.....', 'Kau pandai mestilah kau boleh...' dan 'Kau boleh speaking mestilah kau boleh....' dan yang sewaktu dengannya. Walaupun sebenarnya ini semua tiada kaitan langsung pun dengan apa yang kamu boleh perolehi. Akibat kamu malas berusaha kamu akan lebih suka mengambil jalan senang seperti mencuri, berjudi, berlumba dan cari downline. Mungkin kamu ponteng kelas bila cikgu Darjah 2 kamu mengajar tentang konsep 'Usaha Tangga Kejayaan' dahulu.
6. Kamu Agresif Bila Nampak Awek. Salah satu aktiviti yang aku gemari bila aku ternampak seorang perempuan seksi berjalan di depan restoran mamak misalnya, ialah memerhatikan reaksi lelaki-lelaki lain yang berada di situ. (Beginilah hidup aku, orang lain tengok perempuan, tapi aku tengok lelaki yang tengok perempuan) Biasanya si Mamat ini akan berhenti seketika dari melakukan apa sahaja yang dia tengah lakukan, merenung ke arah dada/punggung wanita tersebut dengan cara agar tidak dikantoi oleh wanita tersebut, dan kemudiannya akan menelan air liur dan akhirnya menghirup miniman (walaupun gelas sudah kosong). Mesti begitu. Dalam 10 kali babak sama yang aku perhatikan, boleh dikatakan 9 kali senario yang sama akan berlaku. Mungkin sebab itu aku suka berjalan dengan kawan-kawan perempuan yang menggiurkan, bukan untuk merenung dada mereka, tetapi sekadar untuk memerhatikan reaksi Mamat-mamat di sekeliling aku. Kelakar kadang-kadang. Oh ya, mereka ini sekadar agresif memandang sahaja, dan biasanya akan berakhir di situ sahaja. Tetapi secara jujur reaksi Mamat ini bukannya menarik pun, lebih menarik melihat reaksi perempuan-perempuan lain yang biasanya akan pandang dari atas ke bawah dan kemudiannya memberikan mimik muka yang sinonim dengan ekspresi 'Hmmph!'.
7. Kamu Agresif Bila Awek Tidak Melayan Kamu. Perempuan di luar sana biasanya tidak akan memberi respon jika ditegur dengan siulan serta bunyi-bunyian haiwan yang lain. Dan biasanya mereka juga tidak akan melayan jika kamu mulakan ayat dengan 'Hai Cik Adik...'. Kalau mereka layan nasib kamu bertuah, sebab kamu akhirnya telah berjumpa dengan seorang Minah yang berkemungkinan besar mempunyai cita-cita yang serendah kamu. Paling kurang pun kamu patut yakinkan si Minah tersebut untuk belanja makan kamu sekurang-kurang lima kali sebelum kamu mencuba nasib dengan perempuan malang yang lain.
8. Kamu Bangga Bila Dapat Berjalan/Meronda Dengan Awek. Walaupun awek tersebut muka pecah lori. Janji ada kemaluan wanita. Tetapi ada juga yang suka kalau berjalan dengan awek yang berkemaluan lelaki. Paling bangga bila awek tersebut membonceng basikal bermotor yang dipandunya. Dan sudah tentu walaupun ada ruang sepanjang 1.5 meter di atas tempat duduk motor si Mamat ini akan duduk jauh ke belakang, agar lebih senang berfantasi yang kedua-dua kemaluan mereka itu berada di posisi yang amatlah berdekatan. Aku hanya tunggu hari di mana aku boleh nampak dengan mata aku sendiri awek jatuh motor akibat duduk kebelakang sangat di tempat duduk motor.
9. Apabila Kamu Akhirnya Berjaya Memajukan Diri Kamu Berubah Menjadi 'Azman'. Jika kamu bernasib baik, kamu akan jatuh di dalam golongan 2% yang berjaya membebaskan diri dari belenggu Mamat, tetapi hanya untuk jatuh sebagai kategori terbawah di dalam golongan 'Azman'. Cuma kenderaan bertayar 2 kamu itu akan menjadi kenderaan bertayar 4, dan jumlah bil bulanan kamu akan melonjak 200%. Tidak lupa juga 'Perempuan-perempuan Ampang' yang semakin menunjukkan minat pada kamu walaupun kamu masih menggunakan skrip "Hai Cik Adik". Itu sahaja. Yang lebih istimewa pula akan cuba berjinak-jinak dengan muzik, bermula dengan sessi latihan dengan pakcik-pakcik kumpulan muzik kampung kamu yang aktif di kenduri-kenduri kahwin, tetapi akhirnya kamu hanya akan makan gaji di dalam band 'rock' tidak bermuka yang memainkan lagu-lagu tangkap leleh hasil ciptaan Mahaguru muzik Melayu kita. Beza antara golongan ini dengan golongan 'Azman' di atas hanya satu, iaitu warna kereta kamu. Pasti berwarna merah. Atau kuning. Mungkin.
10. Kamu Tiada Citarasa Kreatif. Akibatnya kamu masih menampal poster-poster gambar artis atau motorsikal berkuasa besar di dinding bilik berwarna hijau kamu dengan menggunakan pita selofan. Langsir kamu masih bercorak bunga-bunga berwarna-warni, yang kamu dengan bangganya pamerkan sebagai latarbelakang gambar profil Myspace kamu. Kamu masih rasakan kasut Timberland tiruan kamu yang dibeli di Danau Kota itu masih bergaya, sebergayanya seluar jeans Levi's Siam kamu yang pastinya berpotongan 'boot cut'. Kamu rasakan konsep formal itu ialah memasukkan kemeja berlengan pendek kamu ke dalam seluar jeans lusuh kamu dan memakai topi sambil berkaca mata hitam. Kamu rasakan style idol kamu ialah Aqasha (seperti gambar berpistol di atas), walaupun dia bukan seorang Mamat tetapi seorang Azman. Mungkin juga kamu minat Farid Kamil tetapi kamu rasakan dia seorang hero yang lembik dalam filem 'Remp-It' jadi kamu masih utamakan Aqasha.
Biasanya, apabila aku ingin menulis, aku akan cuba mendapatkan ilham dengan membuat pemerhatian tentang perkara-perkara di sekeliling aku, ataupun dengan menonton TV siaran RTM atau TV3. Selepas berjaya mendapatkan pemerhatian yang aku ingini, aku akan kembangkan idea (di dalam kepala, tak main lah tulis-tulis di jurnal) dan akhirnya ia akan menjadi satu nukilan lengkap. Tetapi kadang-kadang banyak perkara yang aku perhatikan, cuma aku sukar untuk gabungkan menjadi satu nukilan lengkap. Contohnya macam pemerhatian-pemerhatian rawak di bawah—
1. Orang Bangsa Afrika Suka Berjalan/Berdiri Di Tengah Jalan. Sudah beberapa kali aku hampir terlanggar bayang-bayang hitam yang suka berkerumun di tengah-tengah jalan berdekatan tempat tinggal aku. Aku kurang faham mengapa mereka perlu berdiri betul-betul di tengah jalan, bukan di bahu jalan atau di tempat pejalan kaki. Aku andaikan ini kerana dari mana mereka berasal ini merupakan perkara biasa. Mungkin sebab batasan jalanraya untuk kereta lembu dan kereta kuda di sana mungkin sukar untuk dipastikan mana hadnya. Iaitu di mana jalanraya berakhir dan laluan pejalan kaki bermula. Atas sebab ini perangai ini mungkin terbawa-bawa sampai ke sini. Mungkin seperti mana kita selalu minta sos cili ketika di makan di luar negara.
2. Orang Yang Borak Berslanga Selalunya Didiskriminasi. Ini khas untuk Bahasa Inggeris. Kalau kamu dibesarkan di negara luar memang sah cara percakapan Inggeris kamu akan berbeza dengan cara biasa di sini. Diskriminasi di sini tidak selalunya negatif, malah mungkin atas sebab slanga kamu itu kamu dipandang tinggi. Maklumlah kita di sini suka sangat dengan benda-benda luar. Kalau slanga yang asli itu tidak mengapa, tetapi slanga yang dipungut selepas hanya sebulan di negara luar itu yang tidak boleh tahan. Setahu aku slanga yang sebegini tidak akan kekal selamanya, dan biasanya akan hilang selepas seketika. Macam aku, aku tiada slanga pun. Malah, ketika berborak dengan orang Amerika atau Britain mereka yang kagum sebab slanga aku berbeza dari mereka. Jadi amalkan Bahasa Inggeris slanga Malaysia ya? (Bukan slanga Melayu.) Tiada untungnya berslanga Amerika, British atau yang paling meluat, Australia yang dibuat-buat.
3. Perempuan Indo (Bukan Indon) Lawa Biasanya Bermisai Nipis. Ini selalu aku lihat, bukan sahaja di sinetron-sinetron di Astro malah di depan mata aku sendiri. Dari jauh memang lawa, tetapi bila didekati akan ketara mekap tebal dan misai nipis di atas bibir. Aku pun tidak tahu mengapa. Mungkin kebiasaan dari sana? Tidak pernah dengar pasal threading ke? Misai hanya untuk orang lelaki, terima kasih.
4. Seksi Wajib Konfiden. Aku membesar dengan banyak membaca majalah-majalah wanita kepunyaan Ibu aku. Ibu aku memang suka mengumpul majalah, yang dahulunya akan dijilid mengikut tahun keluarnya majalah tersebut. Aku paling suka membelek majalah-majalah edisi lewat 60an dan awal 70an, ketika gerakan 'flower power' dan 'hippies' sedang memuncak. (Siapa ingat lagi majalah 'Koleksi'? Popular pada tahun 80an dahulu. Kalau nak gambarkan kandungannya adalah seperti gabungan majalah Mastika, Mangga dan Starlog. Mungkin.) Majalah 'Wanita' ketika itu memang bebas habis, bukan macam 'Wanita' edisi sekarang yang hanya diminati wanita tua sebaya emak kamu. Penuh dengan gambar separa bogel dan fesyen-fesyen micro-mini dan see-through dan macam-macam lagi. Gambar bikini jangan ceritalah. (Walaupun dalam cetakan hitam putih.) Mungkin ketika itu Akta Percetakan keluaran Kementerian Dalam Negeri masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya. Dan salah satu perkara yang aku selalu baca dahulu ialah nasihat bahawa jika kamu ingin seksi (untuk wanita sahaja ya?), kamu kena berani dan konfiden. Sebab kalau kamu berani dan konfiden tiada lelaki yang akan mengacau kamu. Kalau kamu malu-malu kucing sambil memakai baju nampak lurah dada akan semakin ligat si rempit kurap tepi jalan akan bersiul-siul ke arah kamu. Dan memang betul pun, kalau kamu nampak segan-segan memang akan kurang keseksian kamu. Kalau tak percaya cubalah. Depan aku. Boleh aku ambil gambar sekali, ya?
5. Hidup Aku Bukan Terhad Di Dalam Blog Sahaja. Mungkin ada di antara kamu yang kurang faham. Aku ada kehidupan lain di luar blog ini. Dan kalau kamu rajin mengikuti blog ini pun kamu pasti sedar yang aku sebenarnya jarang menulis tentang diri sendiri (aku sudah tak ingat berapa kali aku tapi ayat ini di sini). Sebenarnya kalau boleh pun aku ingin asingkan apa yang aku buat dalam blog dengan apa yang sebenarnya berlaku di dalam hidup aku. Tetapi ini bukan bermakna apa yang aku tulis di sini fiksyen, jauh sama sekali. Sebab itu aku lebih rajin menulis tentang orang lain, mungkin kerana ianya lebih mudah untuk menulis apa yang aku lihat dari menulis tentang apa yang aku alami sendiri.
Tetapi aku perasan sekarang ramai yang suka menulis segalanya tentang apa yang berlaku kepada diri mereka tiap-tiap hari. Yang aku selalu ikuti ialah kehidupan gadis-gadis parti liar yang keluar tiap-tiap malam, bergambar dalam keadaan mabuk dan pulang rumah pagi keesokan harinya. Ini bukan cerita di Los Angeles atau London, tetapi cerita-cerita di Kuala Lumpur, Subang dan Damansara. Kisah gadis-gadis yang bekerja sambilan sebagai gadis litar seksi dan nukilan-nukilan tentang hari-hari mereka berjemur di kolam renang memakai bikini. Lengkap bergambar lagi. Dan tiba-tiba kamu dikejutkan dengan nukilan yang berbunyi -
"Kelas Geografi membosankan. Aku harap aku lulus kertas Geografi untuk SPM bulan depan. "
Apakah??? Kehidupan budak-budak zaman sekarang memang berbeza dengan kehidupan aku dahulu yang hanya menonton tentang kehidupan-kehidupan begini ikhsan Brenda, Brandon dan Dylan dalam 'Beverly Hills 90210'. Dan tidak, aku tidak akan membuat pautan kepada blog-blog mereka ini. Sila guna otak dan 'Google' sendiri. Yang aku pasti kalau kamu menggoogle 'awek sekolah pakai bikini' sudah pasti kamu akan berakhir di blog aku.
Aku bukan seorang yang cepat pemarah. Dalam hal-hal yang melibatkan kesabaran, aku memang selalu bersabar. Bukan bersabar untuk mendapatkan sesuatu, tetapi bersabar sebelum aku benar-benar marah. Aku boleh hitung dengan satu tangan waktu-waktu aku benar-benar marah, yang biasanya berakhir dengan objek-objek yang patah atau rosak, atau bahagian badan sendiri yang lebam. Akibatnya, aku jarang marah, lebih kepada annoyed atau perasaan menjengkelkan. Jadi di sini aku ingin senaraikan 10 perkara yang membolehkan aku 'potong nama' kamu dari dalam senarai buku aku.
1. Orang Yang Memandu Macam Babi. Aku jarang menyumpah pemandu-pemandu sebagai 'bodoh', 'bahlul' atau 'stupid motherfucker'. Aku panggil mereka 'babi'. Bukan 'khinzir' (masih terlalu hormat) tetapi 'babi'. Ini termasuk mereka yang suka membelok tanpa memberikan isyarat, mereka yang keluar dari persimpangan jalan walaupun nampak kereta aku sedang mara bahaya dengan laju, dan orang yang tidak menunggu giliran. Tidak lupa juga orang yang menghantar SMS ketika memandu. Mereka semua babi. Selalunya aku doakan mereka kemalangan ataupun sekurang-kurang kereta mereka ditarik. (Aku perasan pemandu Kancil merah model lama sering jatuh ke kategori ini.)
2. Orang Yang Meludah Di Restoran Dan Tempat Awam. Biasanya orang tua suka buat begini. Aku tak peduli sama ada kamu lebih tua dari aku ataupun tidak tetapi jika kamu inginkan aku hormati kamu sila jangan meludahkan kahak di depan aku ketika aku makan. Macamlah tidak pandai gunakan sinki dalam tandas. Sebentar tadi ada dua pakcik perasan kaya buat sebegini ketika aku makan di kedai mamak. Selalunya aku doakan mereka ini supaya sakit perut atau kena radang tekak selepas makan.
3. Orang Yang Tidak Menunggu Giliran. Sama seperti pemandu 'babi' di atas, golongan ini juga selalu aku jumpa, terutama ketika beratur di bank, atau ketika beratur untuk membayar minuman dan makanan. Yang paling sakit hati ialah budak-budak kecil yang disuruh membeli sesuatu oleh ibubapa mereka (yang tunggu di tepi), tetapi mereka sedikit pun tidak menyuruh anak-anak mereka untuk beratur. Lagi-lagi kalau mereka berbangsa Arab. Biasanya aku akan doakan yang anak-anak mereka ini akan derhaka bila mereka besar kelak dan peningkan mereka dengan masalah anak luar nikah, ah long dan sebagainya.
4. Orang Yang Lihat Aku Atas Bawah Dan Fikir Mereka Lebih Bagus. Terutamanya di hari-hari aku berpakaian selekeh ataupun kasual. Walhal kemungkinan besar gaji bulanan aku lebih besar dari gaji mereka. Kalau mereka berpakaian sut Tom Ford dari atas ke bawah mungkin boleh dimaafkan, (walaupun mereka beli dengan wang ibubapa/sugar mommy/daddy mereka, OK-lah mungkin tiada pengecualian di sini.) tetapi yang tidak boleh bla ialah mereka yang kononnya ada kuasa. Lagi-lagi penjaga keselamatan atau pun pegawai bank. Kiranya sesiapa yang diamanahkan kuasa-lah. Aku biasa tidak pedulikan golongan ini (sebab tidak relevan untuk aku pun) tetapi di dalam hati aku doakan mereka turun pangkat. Kalau pangkat sudah rendah sangat aku doakan mereka hilang kerja. Kalau bukan dengan orang dalam kuasa tetapi dengan orang yang aku tak kenal di acara-acara seperti pertandingan Ratu Bikini Melayu 2008 misalnya (memang ramai jumpa orang yang begini) aku biasanya tenung mereka balik sampai mereka malu. Sebab renungan aku sememangnya tajam dan tidak juling.
5. 'Kenalan' Yang Harapkan Aku Tegur Mereka Dahulu Sebab Mereka Fikir Mereka Lagi Bagus. Aku ramai kenalan begini. Bukan kawan, tetapi kenalan. Kawan ialah orang yang kamu ambil peduli, kenalan ialah orang yang kamu kenal tapi tidak semestinya peduli. Tidak kisahlah sebab apa mereka fikir mereka lebih bagus (semuanya hal-hal keduniaan) tetapi kalau kamu tidak berusaha untuk menegur aku walaupun aku lalu di depan kamu atau duduk semeja dengan kamu maka secara automatik nama kamu akan dipotong sebelum dinaiktarafkan menjadi 'kawan'. Kalau kamu sebelum ini sudah pun menjadi 'kawan' maka malang bagi kamu. Kalau kamu fikir aku yang harapkan kamu tegur dulu, kamu memang tidak kenal aku betul-betul jadi sila potong nama aku dari buku kamu, dan buat kawan baru yang sanggup tegur kamu 24 jam sehari. Orang begini aku doakan akan segera mendapat kawan sejati yang akan menikam dari belakang kau-kau atau lari dengan wang mereka.
6. Orang Yang Tidak Menghormati Ruang Peribadi Aku. Terutamanya mereka yang suka bercakap dekat sangat dengan aku. Lagi-lagi yang lelaki. Aku ada 'ruang peribadi' yang amat aku hargai, jadi aku harap kamu hormati ruang tersebut. Itu kalau yang kenal, kalau yang tidak kenal dan suka berdiri dekat-dekat dengan aku ketika sama-sama menunggu sesuatu aku lagi rimas. Lagi-lagi yang badan berbau tengik ataupun bertudung masam. Contohnya ketika beratur di mesin ATM, (sebenarnya beratur di mana-mana punlah) ataupun ketika sama-sama menaiki kenderaan awam. Sila jauhkan diri kamu sekurang-kurang 1 meter dari badan aku, kecuali kamu berada di tempat yang bising dan kamu rasa aku sedikit berminat dengan apa yang kamu ingin cakapkan kepada aku tetapi aku tidak dengar. Juga amalkan pemakanan gula-gula mints dan kebersihan badan. Kalau kamu tahu badan kamu busuk akibat berpeluh seharian sila beri amaran. Aku tidak doakan apa-apa untuk golongan ini kecuali sedar tentang konsep 'ruang peribadi'.
7. Orang Yang Cuba Menjual Sesuatu Yang Aku Tidak Perlu Kepada Aku. Ini khas untuk mereka yang mengamalkan 'multi-level marketing'. Aku tidak berminat dengan risalah-risalah kamu atau cerita tentang kenalan kamu yang berjaya membeli BMW hasil penjualan barang-barang mahal yang tidak berkualiti, sebab aku rela bekerja keras untuk mendapatkan hasil duit titik peluh sendiri dengan cara normal. Selalunya kalau ada kawan-kawan aku yang sudah lama tidak berhubung menelefon aku, aku akan berikan amaran dahulu kalau-kalau mereka cuba untuk memujuk aku masuk 'downline' mereka. Kalau untuk berparti aku sudi. Orang-orang begini aku akan doakan kejayaan mereka agar tanpa penglibatan langsung dari aku dan agar berjaya membeli kereta BMW yang diidam-idamkan, walaupun yang terpakai dan yang dipasang di Malaysia.
8. Orang Yang Pinjam Barang Aku Selama Setahun. Aku juga mungkin bersalah dalam hal ini. Aku ada sekeping CD yang aku sudah pinjam selama 12 tahun. Jadi maafkan aku. Tetapi kalau kamu pinjam buku/CD/DVD aku dan masih tidak dipulangkan sampai setahun sila habiskan membaca/mendengar/menonton dan cepat-cepat pulangkan kepada aku, ya? Mungkin aku patut mula membuat senarai barang pinjaman sebab sejak kebelakangan ini rumah aku macam perpustakaan media. Aku tidak doakan apa-apa untuk golongan ini sebab aku kan kawan kamu?
Erm. Mungkin itu sahaja. Tidak mudah untuk menjengkelkan aku kecuali kamu ahli band yang aku benci yang meminta minuman atau tiket/pas percuma dari aku. Lagipun aku seorang yang periang dan faham tentang psikologi manusia ketika tertekan.
Selamat Hari Isnin semua!
(Oh ya, dua hari lepas aku bermimpi yang aku naik satu bas di Amerika Syarikat dengan Hillary Duff yang aku tidak minat pun, dan semalam aku bermimpi aku berlawan dengan 'zombie', walaupun aku tidak bersenjata apa-apa. Aku cuma picit mata dan tumbuk muka mereka sampai mati. Apakah?)