Memaparkan catatan dengan label soalan cepu emas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label soalan cepu emas. Papar semua catatan

Rabu, Februari 18, 2009

Soalan Cepu Emas 3.

Di dalam bidang pekerjaan aku, aku dapat berjumpa dengan pelbagai jenis orang, dari berbagai kelas.

Akibat dari pergaulan yang dengan ramai manusia ini, aku selalu dapat perhatikan pelbagai perangai manusia, biasanya di dalam konteks pekerjaan-lah. Dan semestinya di dalam mana-mana pekerjaan pasti akan ada satu tahap di mana kamu boleh berkata kepada diri kamu yang "Ya, aku sudah berjaya."

Jadi di sini aku ingin bertanya, sebab aku asyik terfikir-fikirkan hal ini dari dahulu lagi.

Kenapa tahap 'Aku Berjaya' orang Melayu 'kebiasaannya' lebih rendah dari tahap kejayaan orang lain?

Misalnya, ada orang yang anggap diri mereka sudah 'berjaya' jika mampu membeli dan memandu kereta BMW 5 Series terpakai model tahun 1998, dan hanya berpuas hati di tahap itu sahaja. Ataupun mengaku berjaya apabila berupaya mendapatkan tender kontrak kerajaan (yang hanya akan diturunkan kepada orang lain di bawahnya selepas itu). Ataupun satu band yang berjaya main untuk 'Rock The World' sahaja dan sudah berpuas hati (dan tidak mempunyai mimpi yang lebih besar selepas itu.

Kecil sangat ke mimpi kita?

Sabtu, Februari 14, 2009

Soalan Cepu Emas 2.

Sempena Hari Kekasih yang diharamkan sambutannya oleh sesetengah ulama, aku ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Kekasih kepada semua yang konon-kononnya ingin berkongsi hari yang romantis bersama kekasih.

Sebenarnya tiap-tiap hari sepatutnya hari yang romantis untuk kamu dan kekasih kamu. Tiada sebab untuk kamu berkasih sayang selama 364 hari lain yang bukan 14hb Februari.

Sebab itu aku mungkin hanya akan keluar esok. Hu hu.

OK OK kita terus ke soalan cepumas aku hari ini.

Kenapa pasangan Melayu kalau duduk di restoran dan makan 99% akan pasti duduk bersebelahan dan bukan duduk bertentangan?

Bincangkan dan fikirkan rasionalnya.

Ahad, Disember 14, 2008

Hari Yang Mendung. (Mungkin Juga Siri 'Soalan Cepu Emas' Yang Samar.)



Hari ini, kalau tidak hujan, hanya hari yang mendung sahaja. :(

Aku pernah obses dengan Nine Inch Nails dahulu, ketika zaman-zaman muzik industrial aku dahulu (Cerita Lain). Projek diketuai Trent Reznor ini memang terkenal dengan lirik melankolinya, yang menjurus kepada sifat-sifat benci diri, kemarahan, ego, seks dan eksplorasi pendirian yang biasanya negatif. Walaupun muziknya mungkin kurang relevan sekarang (berdasarkan populariti muzik industrial yang semakin merundum), tetapi pada masa dahulu lirik-liriknya memang amat bermakna bagi aku yang mungkin ketika itu tercari-cari arah tujuan hidup.

Tetapi salah satu lagu yang aku paling suka ialah lagu yang aku selitkan videonya di atas, iaitu 'Something I Can Never Have', yang sedikit sebanyak aku fahami sebagai lagu pasca-perhubungan antara seorang lelaki dan perempuan. Bukan lagu berbaur kebencian, tetapi pada aku lagu yang mungkin agak indah bagi seseorang yang melalui proses yang sama dengan lirik yang dinyanyikan.

Masalahnya bagi aku ialah, mungkin secara subconcious minda aku mempercayai lagu tersebut bulat-bulat, dan secara tidak sedar aku mungkin terlalu mengamati dan secara tidak langsung 'menghidupkan' mesej yang cuba disampaikan Trent Reznor. Atas sebab yang sama mungkin aku terlalu amati mesej lagu-lagu dari Depeche Mode, (yang juga melankoli dan sedih) sebab pada hakikatnya aku mula mendengar lagu-lagu mereka semenjak aku umur 7 tahun. (Sebab pengaruh abang aku.)

Kadangkala mungkin aku sukar untuk bezakan realiti dengan idea-idea yang 'ditanam' dalam minda aku, seperti contoh di atas.

Sebab realitinya lirik dan lagu besar kuasanya. Tanpa kamu sedari mungkin kamu amat terpengaruh dengan lirik dan lagu sehingga kamu tidak sedar apa yang kamu lakukan. Mungkin sampai sekarang kamu ingin bertanya sama itu hud-hud, atau pun mungkin kamu salahkan Britney apabila oops kamu lakukannya sekali lagi, atau mungkin kamu hanya ingin mencari warisan wanita terakhir (dan banyak contoh-contoh lain.)

Cuba kamu cari lirik lagu video di atas. Apa yang kamu boleh faham? Dan apa kesannya terhadap seseorang yang mungkin terlalu menghayati lagu tersebut (mungkin dalam kes ini, diri aku sendiri)? Bincangkan.

Rabu, Disember 03, 2008

Post-Mortem Soalan Cepu Emas 1.

Seperti biasa, aku telah menulis dengan panjang lebar sebagai respon kepada banyak komen di nukilan sebelum ini, dan seperti biasa aku telah memadam semuanya dan mula menulis balik.

Aku cuma ada tiga saranan untuk semua.

1) Pergi baca buku 'Di Balik Malaysia: Dari Majapahit Ke Putrajaya' hasil karangan Farish A. Noor. Boleh didapati di Borders, MPH dan Kinokuniya. (Walaupun versi Inggeris buku ini baru-baru dirampas dari Kinokuniya. Beli sebelum buku ini diharamkan!) Banyak persoalan yang ditimbulkan di blog ini terjawab di dalam buku tersebut, dan semuanya diulaskan dengan kemas, berdasarkan pemerhatian pemerhati bebas tentang sebuah negara yang semakin dewasa dan matang pemikirannya.

2) Pergi ke laman kelolaan Farish A. Noor, www.othermalaysia.org. Banyak perbincangan dan pendapat tentang perkara yang berkait tentang mentaliti, kedewasaan pemikiran dan sebagainya.

3) Fahami maksud 'satira'. Selepas faham sila mula memberi komen semula. Kepada yang sudah faham aku ucapkan syabas dan teruskan membaca. Nanti aku beri gula-gula.

Itu sahaja. Sehingga nukilan selanjutnya...

Selasa, Disember 02, 2008

Soalan Cepu Emas 1.

Aku sebenarnya ada menulis nukilan panjang lebar tentang mentaliti umum orang kita dan bagaimana kadangkala aku sedih memikirkan nasib 90% dari kita yang tidak mampu maju atau tidak berkeinginan untuk maju, tetapi aku batalkan hasrat sebab aku rasa nukilan tersebut tidak mampu mengulas mesej yang aku ingin sampaikan. Tidak kelakar, berserabut, dan tidak berapa jelas.

(Sebenarnya mungkin seminggu yang lepas aku tersangkut memikirkan cara untuk menulis subjek yang terngiang-ngiang di dalam kepala aku sekarang.)

Jadi aku telah tukar nukilan tersebut kepada satu siri baru yang aku ingin beri tajuk siri 'Soalan Cepu Emas©.' Mungkin ini cara aku untuk membuatkan blog ini lebih interaktif, bukan hanya sekadar komen-komen 'Tanpa Nama' yang memang aku amat hargai sebenarnya. Mungkin.

Mudah sahaja, selama ini kamu semua telah bertanyakan macam-macam soalan kepada aku (sila klik ruangan 'Tanya Abang Minimalis' jika kamu tidak tahu), dari soalan-soalan yang bijak pandai, susah kepada soalan-soalan bodoh (yang semestinya diberikan jawapan bodoh.) Jadi, untuk menilai pandangan para pembaca aku yang dari pelbagai latarbelakang ini (iaitu kamu, semestinya) aku pula yang akan bertanyakan soalan.

Dan sedaya yang boleh, soalan-soalan yang aku kemukakan akan berterus-terang, tanpa berselindung, dan diharapkan mampu mendapatkan jawapan-jawapan yang bernas dari kamu semua. Bukan untuk aku sahaja, malah jawapan yang diberikan juga mungkin berguna untuk pembaca-pembaca yang lain. (Kenapa bahasa aku hari ini macam esei dalam Dewan Siswa?)

Sudah tentu akan ada yang ingin tunjuk pandai dengan jawapan-jawapan bodoh, tidak lupa juga jawapan-jawapan main tikam belakang, tetapi sekadar di Internet memang tidak boleh makan hati sangat, bukan? Pada masa yang sama mungkin siri ini akan membolehkan aku bertanyakan soalan tentang perkara-perkara yang mungkin aku tidak akan tulis di sini, dan sebaliknya kamu semua yang akan memberikan pendapat kamu sebagai kandungan blog aku. (Sememangnya untuk aku sebahagian besar kandungan dalam blog ini adalah komen-komen dari kamu, tidak kisah baik atau buruk, semuanya aku boleh terima. Kiranya macam konsep Web 2.0-lah, di mana kandungan sesebuah laman itu dijanakan oleh pengunjung laman, dan bukannya pemilik laman sahaja. Contohnya macam Youtube dan Flickr.)

Apa-apa pun ini Soalan Cepu Emas© untuk hari ini—

Mentaliti Melayu tertutup akibat pengaruh kebudayaan, tradisi dan agama. Bincangkan.

Cara jawapan mudah sahaja, tinggalkan komen dalam format 'Pekerjaan/Umur/Jawapan'. Itu sahaja. Kalau umur itu sensitif biarkan kosong. Tidak perlu bimbang aku bukan seorang ageist. Jawapan-jawapan akan menyumbangkan 70% dari jumlah markah kertas akhir kamu.