Memaparkan catatan dengan label tafsiran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tafsiran. Papar semua catatan

Selasa, Februari 03, 2009

Tafsiran Mat Otot.

Di tempat aku tinggal ini ada sebuah gim persendirian yang memang sentiasa meriah tiap-tiap hari. Aku boleh perhatikan lelaki-lelaki berotot kental yang turun naik gim, bermotivasi otot keras yang sanggup berusaha tiap-tiap hari untuk mendapatkan bentuk badan yang optima. Dan disebabkan sudah dua hari berturut-turut aku terserempak dengan mereka ini, apakata hari ini aku buat tafsiran tentang mereka pula.

1. Berotot.
Tangan yang pejal, otot kaki yang kental. Mungkin otot telinga mereka juga berotot besar. Kalau dahulunya memang sukar untuk bertemu mereka ini, tetapi disebabkan taraf kehidupan secara amnya yang sudah meningkat, lebih ramai yang berpeluang meluangkan masa semata-mata untuk bersenam, terutamanya untuk mengangkat berat. Aku rasa kesedaran bahawa bukan hanya pembina badan yang patut bersenam sudah mula menular (malah aku pun sudah mula bersenam tahun lalu, cuma alatan angkat berat aku sekarang sudah tidak berat langsung untuk aku. Bulan depan beli yang baru!), dan sampai bila lelaki yang berbadan seakan 'diukir' ini hanya disinonimkan dengan golongan yang tidak 'lurus' bukan? Cuma apa yang universal di antara mereka ini ialah fakta yang mereka ini memang sukakan cermin. Untuk melihat perkembangan harian otot-otot sendiri.

2. Lengan Pendek.
Sudah tentunya golongan ini suka menunjukkan hasil kerja penat lelah mereka tiap-tiap hari di gim. Cara paling mudah ialah dengan memakai kemeja-T tanpa lengan dan seluar pendek. Segala peluang untuk menunjukkan otot akan diambil, terutamanya ketika ingin bersalam dengan orang (dengan otot lengan yang mengancam) atau ketika ingin membayar makanan di kedai mamak. Rambut pula selalunya pendek. Setakat ini aku tidak pernah berjumpa dengan Mamat Gim yang berambut panjang atau dreadlock, mungkin untuk mengurangkan kadar kemalangan disebabkan oleh rambut panjang di dalam gim.

3. Tidak Suka Gim-Gim Besar.
Segala apa gim-gim besar-besaran yang kamu lihat di Lembah Kelang tidak akan dikunjungi mereka. Pada mereka itu hanya tempat lelaki-lelaki malang untuk mencari pasangan, tidak kisahlah sama ada perempuan malang lain mahupun lelaki malang juga. Mereka ini lebih sukakan gim-gim persendirian yang dibuka di lot-lot rumah kedai di sekitar kawasan perumahan, yang biasanya hanya akan berlantaikan simen dan tidak mempunyai sistem penyaman udara. Alatan-alatan senam juga mungkin masih yang dibuat dari besi buruk ataupun mungkin konkrit. Senaman basikal diharamkan. Kalau boleh mereka akan menggunakan alatan senaman yang dibuat dari bangkai atau mayat manusia, yang boleh dilempar-lemparkan sambil menjerit "WE ARE SPARTA!!!" sekuat hati. Sudah tentu filem '300' merupakan visi dan pemberi semangat kepada motivasi yang mereka perlukan. Kalau kamu tidak percaya sila Google gim-gim persendirian ini. Ada banyak di Lembah Kelang!

4. Suka Lagu Laju.
Lagi-lagi yang berentak techno atau metal. Tidak kisahpun apa janji ganas, dan mempunyai irama yang sekata agar memudahkan mereka mengira apabila membuat kiraan senaman. "1.. 2... 3... 4... 5... 6... 7... 8... SPARTA!!!" Paling pantang bila ada Mat Otot yang membawa teman wanita yang masih tidak faham erti 'bau peluh' yang tiba-tiba memasang lagu dendangan Faizal Tahir untuk berhibur. (Mereka anti Faizal Tahir sebab hendak sangat tunjuk perut yang tidak kental bercontengkan logo 'Superman'). Sebab itu jarang ada perempuan di gim-gim persendirian sebegini. Mungkin sebab tiada bilik persalinan pun.

5. Suka Memanjat.
Aku tidak tahu mengapa tetapi ramai di antara mereka ini yang sukakan aktiviti wall-climbing atau memanjat. Foosbal memang tak main lah, itu hanya aktiviti untuk Mamat Pakistan Yang Suka Mengambil Gambar Bogel Bersama Teman Wanita. (Cerita Lain.) Mungkin aktiviti ini memberi lebih peluang untuk mengeraskan otot ketika memanjat, yang pada waktu yang sama akan mengeraskan hujung-hujung jari menjadi seperti batang besi. Dan kamu semua tahu perempuan sukakan benda yang keras, bukan?

6. Suka Protein.
Walaupun diet yang tinggi karbohidrat memang penting untuk menambah berat badan ketika mula-mula bersenam angkat berat, selepas proses ini memang penting untuk menambahkan pengambilan makanan berprotein. Bukan susu penambah berat yang sebenarnya bukan menambah berat pun, tetapi menambah selera makan. Dan kalau kamu banyak makan benda yang salah tanpa bersenam memang sia-sia sahaja. Akibatnya ramai di antara mereka ini sukakan minuman protein shake, susu berprotein tinggi yang boleh diambil tanpa memerlukan kamu untuk makan daging, ikan, tempeh dan sebagainya. Aku rasa ini akibat langsung dari taraf kehidupan kita yang semakin meningkat. Tapi hati-hati, pengambilan berlebihan tanpa kawalan (dan juga pengambilan dadah-dadah pembina otot) hanya akan membina benda selain dari otot, biasanya jerawat.

7. Tidak Sukakan Skinny Jeans.
Aku tidak pernah melihat Mat Otot berseluar skinny.

8. Nampak Macam Bernafsu Tinggi Tetapi...
Ada seorang rakan aku yang dahulunya obses untuk membina otot yang sebesar mungkin. Setelah sampai ke tahap saiz otot yang diingininya dia sedar yang amat sukar untuknya mencari teman wanita. Selain dari pilihan perempuan yang mempunyai otot sebesarnya (ada beberapa di Lembah Kelang ini. Mungkin agak seksi jika tidak berketul sangat), perempuan-perempuan yang meminatinya (berdasarkan saiz otot) adalah perempuan-perempuan yang 'berumur' sedikit. Akibatnya dia serta-merta mengecilkan otot. Kisah Benar. Katanya perempuan-perempuan sekarang lebih sukakan otot 'berukir' yang sederhana, bukan yang macam Arnold Schwarzenegger atau Malek Noor. (Malek Noor dahulu, bukan sekarang, ya?)

Erm, sekian sahaja untuk kali ini.

Khamis, Disember 25, 2008

Tafsiran 'Budak Pulau'.

Aku memang suka berendam di dalam laut. Tidak kisah-lah laut yang mana, janji bersih, aman damai dan tidak berdekatan dengan kawasan perindustrian atau hospital. Jadi untuk berendam di dalam laut aku akan ke tepi pantai, atau ke kawasan kepulauan, walaupun sebenarnya sudah lebih setahun aku tidak menjejakkan kaki ke dalam laut.

Dan kalau kamu perasan jika kamu ini kaki laut macam aku, di setiap kawasan persisiran pantai di Malaysia ini pasti akan ada perniagaan-perniagaan berdasarkan pelancongan yang diusahakan (atau sekurang-kurangnya diselenggarakan) oleh sekumpulan budak Melayu lelaki yang berkulit hitam legam akibat dibakar sinaran matahari tiap-tiap hari. Siapakah mereka ini? Teruskan membaca.

1. Hitam Dan Legam.
Satu benda aku perasan pasal golongan ini (yang selalunya digelar 'Beach Boys' di sini) ialah kebanyakan berkulit hitam legam akibat tidak suka memakai baju ketika berjemur di pantai. Yang pelik juga apabila berkulit hitam mereka selalunya berambut perang dan panjang, agar nampak macam Mat Salleh yang tanned sedikit. (Atau watak yang dipegang Patrick Swayze di dalam filem 'Point Break') OK, bukan sedikitlah, mungkin tanned banyak. Sudah tentu akan mengenakan seluar pendek pantai dan yang tidak boleh lupa ialah rantai-rantai yang dibuat dari manik dan kulit yang dibeli dari Melayu Red Indian. (Cerita Lain.)

2. Usahawan Semi-Berjaya.
Kalau anda ingin menaiki jetski, banana boat, paraglider atau papan luncur air golongan inilah yang biasanya akan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut di tepi pantai, walaupun pantai itu termasuk di dalam lingkungan kawasan Taman Negara yang sebenarnya melarang aktiviti-aktiviti sedemikian. Jangan lupa juga perkhidmatan teksi laut yang disediakan, yang diusahakan oleh mereka ini dengan bot-bot kayu dengan enjin motobot yang banyak mengeluarkan asap. Kiranya kalau di kawasan pulau mereka inilah yang jadi Mat Rempit, cuma mereka pakai bot, bukan motorsikal dan tidak memakai helmet sambil memakai kaca mata hitam jenama Oakley (tiruan).

Tidak lupa juga mereka yang menyediakan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong yang selalunya memilih pelancong-pelancong asing yang berbikini agar mudah membawa mereka-mereka yang 'diingini' ini ke pelosok-pelosok tersembunyi agar mudah meluahkan kata-kata romantis dibuai angin sepoi-sepoi bahasa.

3. Minat Reggae.
Golongan ini tidak suka melayan lagu-lagu genre lain selain dari reggae, disebabkan kehidupan pulau mereka yang mengingatkan mereka kepada kehidupan di kepulauan Jamaica. Tidak lupa juga kerana jenis-jenis daun yang mereka hisap dengan terbuka di kawasan pulau-pulau ini, yang semestinya bukan daun tembakau. Kalau tak percaya mengakulah yang kamu ini pandai bermain gitar, pasti akan disogokkan gitar ke arah muka kamu dan kemudiannya kamu akan disuruh main 'Redemption Song'. Tetapi mungkin semenjak dua menjak ini akibat kesedaran terhadap pentingnya industri muzik Malaysia mereka akan lebih suka mendengar lagu Pure Vibracion iaitu 'Mi Gal'.

4. Tidak Suka Awek Melayu.
Sebab Awek Melayu tidak suka pakai berbikini, dan jika pakai bikini pun akan 'dikepung' oleh balak-balak lelaki mereka yang badan berketul sedikit. Akibatnya perempuan-perempuan dari Scandinavia dan terutamanya dari Jepun yang akan menjadi habuan. Pada mereka yang bukan datang dari Malaysia mungkin nilai novelty ber'balak'kan lelaki Melayu hitam legam berpenyakit kelamin (mungkin) merupakan satu godaan yang besar.

5. Suka Berpesta Pantai.
Salah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh golongan ini ialah pesta-pesta di pantai (atau Full Moon Party) yang biasanya diadakan sebulan sekali. Di waktu inilah kita boleh melihat kumpulan-kumpulan besar golongan ini yang melayan 'jus' jenama Orangutan yang hanya boleh didapati di kawasan pulau-pulau tersebut. Akan jadi lebih meriah lagi sebab satu kampung akan turun, dari yang bawah umur, sampai umur dan lebih umur (kiranya orang lama lah) yang biasanya akan diberikan keutamaan memilih Awek Bukan Melayu yang diingini akibat kedudukan yang tinggi di dalam hierarki Budak Pulau. Dan hierarki di atas pulau ini sebenarnya agak kompleks, jika kamu betul-betul perhatikan.

6. Paling Gerunkan Musim Monsun.
Ketika musim monsun iaitu selepas bulan September, pada mula-mulanya golongan ini akan teruja sebab akan muncul peluang mereka menunjukkan bakat sebagai peluncur air (surfer) semi-professional. Tetapi apabila ombak menjadi lebih tinggi dari 2 meter kebanyakan dari mereka ini akan tinggalkan pulau-pulau yang didiami mereka lebih dari 6 bulan setahun dan akan ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai Red Indian penghembus api di Sunway Lagoon atau A Famosa Resort. Yang lebih berbakat akan menjadi bartender di sekitar Asian Heritage Row (senang untuk kenali mereka dengan rambut yang panjang dan rantai yang dibuat dari cengkerang siput laut) dan yang lain-lain akan menjual barangan kulit bersama kelompok Red Indian Melayu yang lain. (Cerita Lain.)

7. Jalan Bengkang Bengkok
Sebab mabuk darat, terlalu lama di atas sampan.

Aku rasa itu sahaja untuk kali ini. Sekian, terima kasih.

Tafsiran 'Rockstar Terhad'.

Tempohari ketika di pesta pemujaan makanan ringan yang aku sebut di nukilan sebelum ini, ada banyak band-band yang membuat persembahan di atas pentas papan lapis basah yang mempunyai khemah kecil khas untuk si pemain dram. Band-band ini semuanya sedang bertanding untuk memenangi kontrak rakaman di dalam pertandingan yang dianjurkan stesen radio yang hot, tetapi tidak cool. Jadi ketika aku sedang bergelak ketawa melihat aksi-aksi pemuzik ini aku terfikir pula untuk nukilan kali ini.

Aku rasa kamu pasti pernah melihat golongan ini. Malah aku rasa kamu juga kenal seorang dua. Kita mulakan terus.

1. Pemuzik Handal Yang Tidak Handal.
Dalam ramai-ramai golongan pemuzik di Malaysia ini, selain dari pemuzik di pub-pub penuh lelaki berperut buncit, golongan inilah yang paling teknikal dan mahir. Setiap lagu orang lain yand dengan bangga dimainkan setiap kali pada setiap persembahan, akan dimainkan dengan nota dan cara yang tepat, mungkin lebih tepat dari band asal yang memainkannya. Tidak pandai main lagu sendiri, dan kadangkala memang tiada lagu hasil karya sendiri pun. Kalau ada, 95% daripadanya dicilok dari lagu band kegemaran. Akibatnya lebih suka memainkan lagu-lagu popular dari band-band popular lain, biasanya dari luar negara. Lagi pun orang mudah layan bila main lagu orang, bukan? Kiranya macam mesin fotokopi berkesan tetapi versi pemuziklah.

Hobi ketika di depan komputer ialah untuk melakukan time-stretch (sila Google) ke atas fail muzik mp3 agar solo-solo gitar diperlahankan kelajuannya agar mudah untuk ditiru bulat-bulat.

2. Wira-Wira Muzik Kurang Relevan.
Biasanya idola bagi pemuzik-pemuzik yang ingin berjaya sebagai rockstar ini adalah idola-idola yang mungkin telah pun capai tahap populariti tertingginya 10 tahun lalu, dan sekarang aktif di dalam siri-siri konsert nostalgia (yang biasanya dihadiri oleh golongan-golongan Rockstar Terhad ini). Nama-nama seperti Yngwie Malmsteen, Joe Satriani, Steve Vai, Edry Hashim menjadi golongan untuk sesetengah dari mereka ini, dan yang lainnya mengidolakan band-band yang popular suatu masa dahulu di bawah arus muzik 'grunge' seperti Pearl Jam, Nirvana dan Stone Temple Pilots dan tidak lupa juga Guns 'n' Roses ketika era Axl Rose masih berwajah normal. Tidak lupa juga mereka yang obses dengan genre 'nu-metal' dengan lagu-lagu ala Korn dan Limp Bizkit-nya. Akibatnya tiap-tiap kali kamu menonton band-band sebegini kamu selalu teringatkan zaman sekolah (kalau kamu sudah pun bekerja), atau zaman kanak-kanak Ribena (jika kamu masih bersekolah) sebab seakan-akan kamu terperangkap di dalam dimensi masa yang membawa kamu ke era 90an.

Dan manusia sebagai makhluk yang amat nostalgis sudah tentu sukakan sesuatu yang membawa balik memori-memori indah tatkala menerima surat layang berbedak dari peminat rahsia yang tidak dikenali. Mungkin sebab itu popular. Tanya semua Rottwailers.

3. Berfesyen Templat Rockstar Terhad.
Berbaju serba hitam (sebab hitam itu cool, anti-establishment dan tidak mudah kotor), dengan rambut terpacak bergel dan mata bercelak ala si penyanyi nasyid Terengganu yang masuk pertandingan 'One In A Million' dahulu (maaf aku lupa namanya). Seluar jeans juga hitam, dan untuk yang mampu akan melabur untuk membeli seluar jeans kulit sebab kulit itu lebih 'rock'. Tidak lupa juga rantai leher tebal (tetapi tidak setebal rantai leher hiphop) sebagai pelengkap aksesori. Kalau mengenakan pakaian yang mempunyai motif, biasanya akan mempunyai motif tengkorak, hati yang dipanah, grafitti dan sebagainya iaitu sama dengan Mamat 2.0 yang aku tulis sebelum ini. Disebabkan obses dengan barangan kulit (oh ya aku lupa, kasut but hitam itu juga wajib), semua barangan dan aksesori kulit menjadi idaman, lagi-lagi yang berwarna hitam. Tidak silap aku semua barangan-barangan kulit yang dijual oleh kaum Red Indian Melayu (Cerita Lain) di pusat-pusat membeli belah terkemuka negara banyak dibeli oleh golongan ini. Disebabkan tidak cukup wang untuk membeli jaket motosikal kulit hitam, aksesori-aksesori kulit yang lain akan dikenakan, seperti gelang kulit tebal dan tali kasut kulit serta talileher kulit untuk dipakai di konsert-konsert yang lebih formal untuk televisyen seperti konsert Konsert Kemuncak Citrawarna, Jom Heboh dan Konsert Perkampungan Hadhari.

4. Main Gitar Jenama Ibanez.
Ala... Yang tajam-tajam tu.

5. Suka Masuk Pertandingan.
Akibat tidak boleh dibayar untuk melakukan persembahan, ramai di antara mereka ini membuat band yang sanggup membayar wang untuk membuat persembahan, seperti pertandingan 'Battle Of The Bands' anjuran kolej-kolej swasta. Walaupun tidak pernah menang, tetapi mereka ini tidak pernah mengaku kalah walaupun banyak wang dihabiskan untuk berjamming dan membeli seluar kulit dan rantai leher emas tiruan. Ini semua dilakukan semata-mata untuk mengejar sebahagian cita-cita Rockstar Terhad mereka, iaitu muncul di siaran Astro seperti 'Blast Off' (yang juga pertandingan muzik) atau rancangan-rancangan muzik secara live di RTM2, memandu kereta Honda berwarna merah/kuning, bermain di atas pentas konsert Rottwailers dan Jom Heboh, tinggal di kawasan Ukay Heights/Bukit Antarabangsa, gambar masuk majalah ROTTW, memiliki 3 batang gitar karan, membeli sistem gitar tanpa wayar (agar mudah bergerak di atas pentas berukuran lebih 10 meter panjang) dan berkenalan dengan Ella/Amy Search.

Atas sebab suka masuk pertandingan-lah selepas menjadi pemuzik professional pun, suka masuk rancangan-rancangan berunsur pertandingan seperti Muzik-Muzik, Bintang RTM untuk dekat selangkah lagi ke cita-cita menjadi Rockstar Terhad mereka.

6. Ramai Peminat (?)...
...yang merupakan kawan-kawan. 8 keping dari setiap 10 keping demo CD yang dijual adalah akibat paksaan kepada kawan-kawan. Itu pun selepas disogokkan dengan kata-kata seperti, "Support the local scene, beb!" Kawan-kawan yang sama juga akan dijanjikan makanan percuma di restoran mamak jika membawa sepanduk kad manila bertuliskan kata-kata pujian 'peminat' ketika pertandingan-pertandingan yang disebut di atas dilangsungkan.

Dan semestinya mereka ini semua ramai peminat sebab setiap kali sebelum mula bermain di atas pentas pasti akan ada sesi bersuai kenal, yang biasanya berbunyi begini...

Vokalis — "Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??"
"Kami Band (letak nama), dan kami adalah Lan, on guitars!!! (Lan goreng sikit kat gitar)
Man on bass!!! (Man goreng sikit kat gitar bass)
Tan on drums!!! (Tan goreng sikit kat drumkit)
Man — Dan semestinya Adam on vocals!!!
Adam — Yeaheh! (Gaya ala-Jinbara)

7. Pemuzik Tidak Handal Yang Handal.
Akibat kekurangan kreativiti untuk menulis lagu-lagu sendiri (dan mungkin juga arena ciptaan lagu di Malaysia dimonopoli oleh Mahaguru-Mahaguru tertentu), mereka akhirnya pasrah dan menumpukan masa bekerja dengan lagu-lagu orang lain. Paling seronok kalau diberi peluang untuk mengetuai band-band di rancangan-rancangan TV terkenal yang memerlukan muzik live seperti Akademi Fantasia dan One In A Million. Kemuncak rancangan secara peribadi semestinya ketika kamera zoom-in bila sedang memainkan solo ketika memainkan lagu Zaiton Sameon/Francessca Peters yang diolah semula. Ramai juga yang berjaya mencari nafkah halal dengan cara ini (bukan sahaja 3 gitar karan, malah 3 buah kereta Honda merah, kuning dan hitam). Ini untuk pemuzik yang main alat muzik sahaja, yang bergelar penyanyi pula akan cuba mendapatkan tender menyanyi lagu-lagu patriotik bersama orkestra untuk RTM. Memang tidak salah pun. Afdal.

8. Ramai Groupie (?)
Istilah 'groupie' jika kamu tidak tahu bermaksud peminat fanatik (biasanya perempuan) yang minatkan pemuzik-pemuzik popular dan sanggup melakukan seks dengan mereka. Kamu baca sahaja buku-buku biografi band-band popular dahulu seperti Led Zeppelin dan The Rolling Stones (atau tonton sahaja filem 'Almost Famous'). Di barat memang perkara biasa, tetapi untuk Rockstar Terhad di sini mereka ini selalunya ialah peminat perempuan yang bakal menjadi Isteri Pertama. (Terpikat disebabkab seluar jeans kulit, semestinya.) Isteri Kedua sudah tentunya kawan akrab si Isteri Pertama. Lumrah dunia.

9. Peluang Yang Terhad.
Percayalah, memang terhad pilihannya jika kamu ingin menjadi seorang Rockstar di Malaysia. Mungkin ada yang telah mencapai tahap kehidupan ala-ala Rockstar di Barat, tetapi realitinya amat sukar untuk bergelumang di dalam wang berjuta-juta ringgit berdasarkan pendapatan sebagai seorang pemuzik di sini. Di sini pasaran memang terhad, dan jika kamu ke luar negara pun aku rasa diskriminasi yang kamu akan hadapi sebagai seorang rocker Melayu akan melemahkan semangat kamu serta-merta.

Tetapi jika kamu sedar angan-angan ini sebenarnya sesuatu yang kelakar dan kamu menjadi Rockstar yang sedar akan hakikat itu, teruskanlah. Aku dengar semenjak dua menjak ini banyak band-band ala The Darkness yang berani untuk tidak mengambil diri sendiri terlalu serius, dan sebaliknya berjaya untuk tampil ke hadapan dan sedikit sebanyak mencapai impian rock'n'roll mereka, walaupun tidak sehebat Rockstar idola mereka. Aku tabik!

(Mamat Khalid, aku suka Rock!)



(Video Hiasan)

Isnin, Disember 22, 2008

Tafsiran 'Mamat 2.0 @ Mat Shuffler'.

Tempohari aku telah menghadirkan diri ke satu upacara pemujaan makanan ringan yang benar-benar menakutkan di tengah-tengah hutan buatan manusia (yang banyak nyamuk) di Subang. Selepas dihiburkan dengan band-band bingit yang memainkan lagu dangdut metal dan kurang fasih untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris (kalau kurang fasih, gunakan sahaja Bahasa Malaysia. Tidak salah pun!), kami ditakutkan dengan aksi-aksi sarkas. Bayangkanlah lebih setengah jam dibazirkan untuk menonton tarian artistik dan abstrak yang ditarikan penari perempuan berskirt tukang sorak (dengan seluar pendek di bawah) dan lelaki berbandana yang memakai kemeja-t tanpa lengan dan berconteng di muka.

Tetapi aku terperasan satu lagi perkara, yang boleh dikatakan menyumbang kepada 75% pengunjung hari itu, iaitu golongan yang akan aku gelar 'Mamat 2.0'. (Mungkin juga termasuk di dalam golongan Mat Shuffler) Mereka ini lebih canggih dari golongan 'Mamat' yang aku ceritakan tempohari, dan di sini aku akan terangkan mengapa.

1. Terlambat Sedikit.
OK, konsep pertama yang aku perlu terangkan di sini ialah konsep Terlambat Sedikit®. Aku akan terangkan konsep ini yang aku baca dari laman Hipster Runoff secara mudah sekarang, dan aku akan terangkan lebih lanjut kemudian. (Mungkin) Dipendekkan cerita, mereka yang agak lambat untuk mengadaptasi sesuatu trend atau gaya terbaru, baik dari segi fesyen, pemikiran, hobi dan sebagainya. Sekurang-kurangnya 2 tahun lambat. Baca seterusnya dan kamu mungkin akan faham.

2. Fesyen Terlambat Sedikit.
Fesyen Terlambat Sedikit ialah jenis fesyen yang aku dapati paling popular sekarang. Untuk lelaki, yang perlu ada ialah topi jenis mesh cap, t-shirt ukuran ketat sedikit, skinny jeans murah (ya, memang ada skinny jeans yang mahal) dan selipar jepun yang jenis bukan selipar jamban. Selalunya semua akan berwarna hitam (sebab emo) tapi apa yang benar-benar menonjol ialah motif yang terdapat di pakaian-pakaian tersebut. Aku hanya boleh terangkan sebagai motif 'extreme', iaitu elemen rekabentuk berserabut dengan tipografi bersepah, yang mungkin popular satu masa dahulu di akhir tahun-tahun 90an. Susah hendak jelaskan jadi nikmati sahaja gambar rujukan di bawah.



Penuh dengan gambar tengkorak, hati yang dipanah, tatu, grafitti dan unsur-unsur sukan 'extreme'. Selalunya bersepah dan berwarna gelap. Biasanya jenama-jenama yang bersalah yang masih mengekalkan imej rekabentuk sedemikian ialah jenama Quiksilver dan Billabong. Sudah tentu barangan yang dipakai ialah barangan tiruan yang dibeli di Danau Kota atau Jalan Petaling. Yang ada duit sedikit akan membeli produk tersebut dari cawangan-cawangan Factory Outlet Store yang penuh bersepah dengan jenis pakaian sedemikian.

Aksesori wajib pula ialah rantai leher berwarna perak atau emas, yang sedikit tebal ala-ala 'Abang' yang biasanya dipakai oleh pemain dram band-band muda yang aktif di dalam pertandingan 'Battle Of The Bands'.

3. Jenis Tarian Terlambat Sedikit.
Apa-apa pun yang paling banyak menular ialah gejala 'shuffling'. Kalau kamu tidak tahu, tarian ini sebenarnya berasal dari kotaraya Melbourne, yang banyak menampilkan unsur-unsur hip-hop dan tarian jalanan tetapi berlatarbelakang music jenis hard dance, trance atau techno. Jadi, dengan berpakaian seperti yang diterangkan di atas, golongan ini akan melayan 'shuffling' di mana-mana sahaja, akibat masih belum cukup umur untuk masuk ke kelab malam, ataupun memang hidup susah dan tidak mampu untuk membayar bayaran masuk ke tempat-tempat sebegitu. (Mungkin juga susah untuk masuk ke kelab malam sebab golongan ini selalu suka memakai selipar jepun jenama Quiksilver atau Billabong (tiruan).) Yang masih bersekolah pula akan selalu kelihatan melakukan 'shuffle' lengkap berpakaian sekolah ketika waktu rehat di sekolah. Malah, aku pernah melihat seorang budak yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menari sebegini di tepi jalan ketika waktu rehat.

Oleh kerana tidak ke kelab malam, destinasi-destinasi terunggul untuk melakukan 'shuffle' ialah di kawasan Bukit Bintang (depan Maybank) ketika hujung minggu dan Hari Penyampaian Hadiah di sekolah. Rujuk video di bawah.



4. Aktiviti Harian Terlambat Sedikit.
Teori aku ialah golongan ini sebenarnya golongan Mat Rempit yang selalu kalah berlumba, ataupun golongan yang hampir jadi Mat Rempit tetapi tidak menjadi kerana hanya memiliki basikal. Akibat dari ketidakupayaan ini, golongan ini perlukan aktiviti-aktiviti lain untuk meluangkan masa lapang apabila mereka ponteng dari sekolah/kerja. Selain dari 'shuffling' yang aku tuliskan di atas, golongan ini juga suka menjadikan aktiviti-aktiviti lain yang murah dan tidak perlu membelanjakan wang yang banyak. Dengan 'shuffling' misalnya apa yang kamu perlu hanya topi jenis cap, lantai yang rata dan telefon bimbit yang ada pembesar suara. Cukup. Lain-lain aktiviti yang mungkin menjadi kegemaran golongan ini ialah melihat orang lain menari 'shuffle', dan menghadiri gig-gig percuma di tengah bandaraya. Kiranya kalau percuma sahaja akan berduyun-duyun mereka datang bagaikan ikan mengejar taik.

Lagi-lagi acara-acara percuma yang berlaku di Sunway Lagoon. Pantang ada acara percuma di sana, yang menjanjikan free show gadis-gadis sekolah swasta berbikini (yang juga pemilik blog) acap kali ia dilakukan. Kalau kamu percaya cuba Google blog-blog gadis berbikini ini dan tiap-tiap kali apabila menulis tentang acara-acara sedemikian pasti akan tertulis komplen tentang segerombolan golongan ini yang menganggu mereka ketika mereka cuba untuk mengambil gambar-gambar berbikini yang bakal diletakkan di dalam blog.

5. Mentaliti Kelompok Yang Terlambat Sedikit.

Sebagaimana golongan remaja lain yang mungkin belum berkeyakinan penuh dengan diri mereka, golongan ini banyak terdedah kepada tekanan dari rakan sebaya. Akibatnya seperti kelompok-kelompok lain yang berkelompok, sesuatu yang 'baru' itu akan dijadikan ikutan, dan akan diikut buta-buta. Malangnya trendsetter dalam kumpulan ini biasanya rakan sebaya yang mungkin dapat duit belanja lebih sedikit dari ibubapa mereka, dan akibatnya pendedahan mereka terhadap trend-trend yang kononnya 'terbaru' amat terhad. Proses pengaliran informasi juga terhad (selain dari fail-fail 3gp lakonan Pelakon-Pelakon Kesatuan Porno Amatur Malaysia/Indonesia) tetapi sekurang-kurang mereka celik IT dan pandai menggunakan laman-laman di Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang tidak berfaedah seperti cara-cara muatturun fail 3gp ke telefon bimbit dan menyunting fail 3gp lucah agar boleh diletakkan di dalam Youtube.

OK aku sudah tiada buah fikiran untuk menulis lagi. Apa kata kamu semua sambung?

Jumaat, Disember 19, 2008

Tafsiran 'Melayu Minimalis'

Setelah lama berfikir dan menilai, aku persembahkan pemenang peraduan menulis tafsiran Melayu Minimalis tempohari.

Jeng Jeng.

Pemenangnya ialah Encik Munky Si Hanjeng. (Jijiknya nama.) Nah gambar pingat Dalai Lama sebagai hadiahnya. Maaf aku tidak menyunting penulisannya, sebab aku tidak dibayar gaji pun. (Aku harap semua penulis blog akan sedar betapa pentingnya proses suntingan apabila menulis, ya?) Walaubagaimanapun aku rasa intipati penulisannya agak bertepatan dengan apa yang aku ingin sampaikan. Kalau ada salah ejaan jangan marah aku, marah Si Hanjeng. Terima kasih juga kepada semua yang telah menulis, kalau gagal cuba lagi tahun hadapan di mana hadiah utama akan dinaikkan kepada DUA gambar pingat Dalai Lama.

Tafsiran Melayu Minimalis

1. Melayu yang berminimal di dalam hidupnya mestilah hidup seminimal yang munkin. Low profile bak kata penjajah British. Tidak suka ke tempat-tempat yang ramai orang macam Sure Heboh, Konsert Mingguan Akedemi Fantasia,mahupon Pertandingan Bapok Tercantik sekalipon.. Tidak akan menonjol kalo tak bersebab.Tak menonjol bukan sebab tak layak tapi ada prinsip tersendiri dalam menilai diri sendiri.Ada standard yang perlu dijaga.Munkin sebab prinsip hidup yang tidak menjurus kepada benda-benda yang tak penting sebab takut prinsip sendiri akan patah balik kat diri sendiri.Akan berwaspada dalam apa jua tindakan sebab standard yang ditetapkan oleh diri sendiri.Aku tak peduli.Memang takkan peduli kalo benda tu tak penting tapi aku rasa,walaupon nampak macam tak peduli sangat,tapi peduli jugak sebenarnya..

2. Disebabkan kehidupan yang minimal,maka akan lebih cenderung menjadi pemerhati bebas.Pemerhatian terhadap masyarakat sekeliling membuatkan melayu minimalis lebih suka menganalisa orang-orang di sekeliling.Lebih suka menilai dari cuba lebih memahami konsep sebenar.Jugdemental bak kata orang kampungnya.Apa yang ada di hadapan matanya tak semestinya betul dan tak semestinya salah.Akan dinilai dengan teliti sebelum seorang melayu minimalis itu membuat kesimpulan.Munkin akan duduk di satu sudut kedai makan,mahupon di satu sudut tandas awam sambil memerhatikan masyarakat lain.Berseorangan adalah satu kemestian.Kalau ramai-ramai,macam mana nak berfikir.Hilang konsentrasi.Pendapat dan tafsiran tidak semestinya di ceritakan kepada mak cik Joyah sebelah rumah.Medium yang boleh disalurkan secara peribadi tanpa mendedahkan identiti sebenar.Contoh terbesar sekarang,blog la hapa lagi..Akan mencari jalan supaya orang dapat baca dan tahu apa yang terbuku dalam otak dan hati..Lirik-lirik lagu juga.Munkin..

3. Gaya hidup yang sederhana happening.Tidak melibatkan aktiviti excessive clubbing(ada tapi pada kadar yang minimal),Sure Heboh,Perkampungan Islam Hadhari,mahupon Hari Bertemu Pelanggan MBSA sekalipon..gig-gig,parti rakan-rakan,jamuan hari-raya rakan-rakan mahupon pejabat,munkin menjadi pilihan melayu minimalis untuk berkunjung.Akan bergaul dengan high-society tapi tak semestinya mengikuti cara hidup mereka.Cukuplah sekadar berpada-pada tapi terselit kelasnya yang tersendiri.

4. Mempunyai citarasa yang tinggi dalam semua aspek.Muzik,fashion,art,books,seluar dalam,bra,mahupon chikaro sekalipon.Standard yang tinggi ditetapkan dalam menilai dan memilih apa yang diperlukan.Kalo standard tak tinggi,nanti sama pulak dengan mat-mat rempit mahupon mat kool mat kool kawan ku sekalipon.Citarasa muzik sudah semestinya lagu-lagu yang orang tak banyak dengar.By the way, No Cars Go by The Arcade Fire is nice..Okay sambung.Lagu-lagu yang diminati munkin hasil dari rantaian rakan-rakan yang juga minimalis.Bila dah ramai orang kenal band mahupon lagu-lagu yang didengari mereka,besar kemunkinan band itu tidak akan diminati lagi oleh melayu-melayu minimalis ini.Fashion apatah lagi..sudah semestinya akan cuba menjadi trend-setter.Berani dalam mencuba sesuatu yang baru dan berharap ianya akan menjadi ikutan anak-anak muda supaya nnt dalam hati mesti melayu minimalis akan berkata..”Aku pakai dulu daripada kau laaa wahai kanak-kanak belum akil baligh sekalian”..

5. Akan menjadi seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam semua perlakuan dan percakapan.Akan menjadi seorang yang begitu teliti dalam berkata-kata dan meluahkan pendapat.Dalam kes neh,begitu teliti dalam menulis blog la…Akan membuat research sebelum memberikan pendapat sendiri samada apa yang dikatakan betul ataupon tidak.Tapi tak semua yang diluahkan hasil daripada kajian-kajian teliti menggunakan wikipedia,munkin juga dari ilmu pengehtahuan sendiri yang banyak.Munkin hobi di masa lapang adalah free-reading buku-buku di MPH Mid Valley..Akan cuba menampakkan kesederhanaan tetapi at the same time,akan cuba menyelitkan kelebihan diri sendiri.Low-profile tetapi ingin tampak menyerlah..Minimal,tetapi mahu menjadi idola…ada la jugak ciri kepimpinan tu bak kata orang-orang tuanya..
Macam mana? Setuju? Untuk tafsiran lain jenguk-jenguk juga laman ini. (Walaupun banyak kesalahan ejaan 'minimalis'.)

Rabu, November 19, 2008

Tafsiran 'Mamat'.

(Gambar sekadar hiasan diambil dari sini.)

Terlebih dahulu maaf jika nama kamu Mamat.

Aku rasa golongan Mamat ini adalah golongan yang paling umum yang aku penuh buat tafsiran di sini. Aku pasti ramai antara kamu pernah berjumpa dengan mereka ini, dan aku tidak hairan jika kamu sendiri adalah seorang Mamat. Jadi untuk memastikan sama ada kamu ini termasuk dalam golongan ini, teruskan membaca...

1. Kamu Dipanggil Mamat.
Kamu dari kecil lagi telah diberi nama Mamat atau Mat. Tidak kisahlah kalau nama kamu ada 'Mohamad' ataupun tidak. Walaupun nama kamu seindah Ahmad Syarifuddin Mikael Mutawakkil Azizullah Danish Hamimi Bin Aziz pun, kamu akan tetap di panggil Mamat akibat sifat kamu yang tiada istimewanya. Bermula dari sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, universiti dan tempat kerja pun, kamu akan dipanggil Mamat. Kalau adik beradik kamu telah berkahwin dan mempunyai anak, anak-anak mereka akan memanggil kamu Pak Mat atau Uncle Mamat. Kecuali kalau kamu gemuk, maka kamu akan dipanggil 'Bob'. Dan kecuali jika kamu dengan kawan-kawan yang pandai sepatah dua Bahasa Inggeris, yang akan memanggil kamu 'Joe'.

2. Kamu Tidak Pernah Menonjol.
Kalau kamu berjalan seorang diri, tiada siapa yang akan perasan kamu. Walaupun kamu perasan yang orang semua perasan kamu. Kalau bilangan kamu ada 100 orang pun, kamu semuanya akan menjadi 100 orang yang tidak dipedulikan. Akibatnya ramai di antara kamu yang mengambil jalan mudah untuk mendapat perhatian—berperangai buruk. Tetapi jarang di antara kamu yang suka berperangai buruk seorang diri, kerana segala aktiviti akan dijalankan bersama Mamat-Mamat lain yang sehati sejiwa dan sebosan kamu.

3. Kamu Pandai Dalam Perkara-Perkara Yang Bodoh.
Ketika dalam Tingkatan 3 kamu berazam untuk lulus PMR sahaja dan kemudian bekerja untuk menjadi mekanik, atas alasan ibubapa kamu miskin dan tidak mampu, walaupun semua orang tahu pendidikan sehingga Tingkatan 5 di Malaysia ini semuanya percuma. Apabila kamu berjaya menjadi mekanik dan kawan-kawan kamu semua masuk universiti kamu akan menyesal tidak melanjutkan pelajaran bersama mereka dan bertekad untuk bekerja di pejabat pula. Sekarang apabila kawan-kawan kamu bertanyakan di mana kamu bekerja, kamu akan kata kamu bekerja dalam pejabat, walaupun hanya sebagai seorang despatch. Sekurang-kurangnya kamu boleh jimat duit menyelenggara motosikal kamu akibat pengalaman sebagai seorang mekanik, bukan?

4. Kamu Sampai Di Blog Aku Selepas Menggoogle 'bikini melayu'.
Mengaku sajalah.

5. Kamu Suka Dengkikan Kejayaan Orang.
Akibatnya kamu selalu menggunakan ayat-ayat seperti 'Bapak kau kaya boleh-lah.....', 'Kau pandai mestilah kau boleh...' dan 'Kau boleh speaking mestilah kau boleh....' dan yang sewaktu dengannya. Walaupun sebenarnya ini semua tiada kaitan langsung pun dengan apa yang kamu boleh perolehi. Akibat kamu malas berusaha kamu akan lebih suka mengambil jalan senang seperti mencuri, berjudi, berlumba dan cari downline. Mungkin kamu ponteng kelas bila cikgu Darjah 2 kamu mengajar tentang konsep 'Usaha Tangga Kejayaan' dahulu.

6. Kamu Agresif Bila Nampak Awek.
Salah satu aktiviti yang aku gemari bila aku ternampak seorang perempuan seksi berjalan di depan restoran mamak misalnya, ialah memerhatikan reaksi lelaki-lelaki lain yang berada di situ. (Beginilah hidup aku, orang lain tengok perempuan, tapi aku tengok lelaki yang tengok perempuan) Biasanya si Mamat ini akan berhenti seketika dari melakukan apa sahaja yang dia tengah lakukan, merenung ke arah dada/punggung wanita tersebut dengan cara agar tidak dikantoi oleh wanita tersebut, dan kemudiannya akan menelan air liur dan akhirnya menghirup miniman (walaupun gelas sudah kosong). Mesti begitu. Dalam 10 kali babak sama yang aku perhatikan, boleh dikatakan 9 kali senario yang sama akan berlaku. Mungkin sebab itu aku suka berjalan dengan kawan-kawan perempuan yang menggiurkan, bukan untuk merenung dada mereka, tetapi sekadar untuk memerhatikan reaksi Mamat-mamat di sekeliling aku. Kelakar kadang-kadang. Oh ya, mereka ini sekadar agresif memandang sahaja, dan biasanya akan berakhir di situ sahaja. Tetapi secara jujur reaksi Mamat ini bukannya menarik pun, lebih menarik melihat reaksi perempuan-perempuan lain yang biasanya akan pandang dari atas ke bawah dan kemudiannya memberikan mimik muka yang sinonim dengan ekspresi 'Hmmph!'.

7. Kamu Agresif Bila Awek Tidak Melayan Kamu.
Perempuan di luar sana biasanya tidak akan memberi respon jika ditegur dengan siulan serta bunyi-bunyian haiwan yang lain. Dan biasanya mereka juga tidak akan melayan jika kamu mulakan ayat dengan 'Hai Cik Adik...'. Kalau mereka layan nasib kamu bertuah, sebab kamu akhirnya telah berjumpa dengan seorang Minah yang berkemungkinan besar mempunyai cita-cita yang serendah kamu. Paling kurang pun kamu patut yakinkan si Minah tersebut untuk belanja makan kamu sekurang-kurang lima kali sebelum kamu mencuba nasib dengan perempuan malang yang lain.

8. Kamu Bangga Bila Dapat Berjalan/Meronda Dengan Awek.
Walaupun awek tersebut muka pecah lori. Janji ada kemaluan wanita. Tetapi ada juga yang suka kalau berjalan dengan awek yang berkemaluan lelaki. Paling bangga bila awek tersebut membonceng basikal bermotor yang dipandunya. Dan sudah tentu walaupun ada ruang sepanjang 1.5 meter di atas tempat duduk motor si Mamat ini akan duduk jauh ke belakang, agar lebih senang berfantasi yang kedua-dua kemaluan mereka itu berada di posisi yang amatlah berdekatan. Aku hanya tunggu hari di mana aku boleh nampak dengan mata aku sendiri awek jatuh motor akibat duduk kebelakang sangat di tempat duduk motor.

9. Apabila Kamu Akhirnya Berjaya Memajukan Diri Kamu Berubah Menjadi 'Azman'.
Jika kamu bernasib baik, kamu akan jatuh di dalam golongan 2% yang berjaya membebaskan diri dari belenggu Mamat, tetapi hanya untuk jatuh sebagai kategori terbawah di dalam golongan 'Azman'. Cuma kenderaan bertayar 2 kamu itu akan menjadi kenderaan bertayar 4, dan jumlah bil bulanan kamu akan melonjak 200%. Tidak lupa juga 'Perempuan-perempuan Ampang' yang semakin menunjukkan minat pada kamu walaupun kamu masih menggunakan skrip "Hai Cik Adik". Itu sahaja. Yang lebih istimewa pula akan cuba berjinak-jinak dengan muzik, bermula dengan sessi latihan dengan pakcik-pakcik kumpulan muzik kampung kamu yang aktif di kenduri-kenduri kahwin, tetapi akhirnya kamu hanya akan makan gaji di dalam band 'rock' tidak bermuka yang memainkan lagu-lagu tangkap leleh hasil ciptaan Mahaguru muzik Melayu kita. Beza antara golongan ini dengan golongan 'Azman' di atas hanya satu, iaitu warna kereta kamu. Pasti berwarna merah. Atau kuning. Mungkin.

10. Kamu Tiada Citarasa Kreatif.
Akibatnya kamu masih menampal poster-poster gambar artis atau motorsikal berkuasa besar di dinding bilik berwarna hijau kamu dengan menggunakan pita selofan. Langsir kamu masih bercorak bunga-bunga berwarna-warni, yang kamu dengan bangganya pamerkan sebagai latarbelakang gambar profil Myspace kamu. Kamu masih rasakan kasut Timberland tiruan kamu yang dibeli di Danau Kota itu masih bergaya, sebergayanya seluar jeans Levi's Siam kamu yang pastinya berpotongan 'boot cut'. Kamu rasakan konsep formal itu ialah memasukkan kemeja berlengan pendek kamu ke dalam seluar jeans lusuh kamu dan memakai topi sambil berkaca mata hitam. Kamu rasakan style idol kamu ialah Aqasha (seperti gambar berpistol di atas), walaupun dia bukan seorang Mamat tetapi seorang Azman. Mungkin juga kamu minat Farid Kamil tetapi kamu rasakan dia seorang hero yang lembik dalam filem 'Remp-It' jadi kamu masih utamakan Aqasha.

Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih.

Rabu, November 12, 2008

Tafsiran Minah Lasak Tudung Bandana.

Hidup aku kebelakangan ini memang amat sibuk. Sibuk menghabiskan kerja sebelum aku berpindah ke tempat kerja yang baru, dan juga sibuk berpindah ke pejabat baru kerja lama. (Agak kelakar sebab dalam masa sebulan lebih aku akan ke pejabat lama kerja baru.) Tak faham? Tidak mengapa.

Aku mendapat idea untuk menulis tafsiran ini sebab aku terserempak dengan seorang perempuan yang betul-betul menepati pemerhatian aku yang berikut. Apa-apa pun, semua ini adalah subjektif, jadi kalau tidak suka terbitkan blog anti-MM kamu sendiri ya?

1. Bandana Di Kepala.
Lasak, lasak juga, tetapi aurat perlu dijaga. Ini mungkin mantra utama golongan ini. Kebiasaannya ramai perempuan bertudung suka mengenakan ikatan bandana ('key' kata brader-brader rock di Kompleks Pertama dahulu) ketika melakukan aktiviti-aktiviti fizikal. Tetapi ada di kalangan mereka ini yang tetap mengenakan bandana untuk aktiviti seharian. Juga rajin mengenakan kemeja T berlengan panjang berwarna gelap (sebab berwarna putih akan menjadi jarang bila terkena air bila berakit atau berkayak misalnya). Kalau berkemeja-t putih akan wajib memakai overall denim ala-ala Erra Fazira apabila melakonkan watak yang kononnya lasak atau mekanik wanita dalam filem-filem Yusof Haslam. Tidak pandai memakai kasut tumit tinggi, dan biasanya akan berkasut sukan joging dan berseluar trek panjang.

2. Jiwa Lasak.
Ini memang pasti. Bukan sebab bekerja di 'Spanar Jaya' atau beridolakan Erra Fazira, tetapi mungkin suka melakukan aktiviti lasak seperti main futsal, memandu kereta Kelisa dengan berbahaya ataupun rewang kenduri. Di kampung biasanya akan dikenali sebagai perempuan yang suka bermotosikal (bukan sekadar pembonceng) dan sebenarnya memang agak mudah mengenakan bandana apabila berhelmet. Tidak berselerak rambut. Gayanya seakan-akan lelaki, tetapi masih berjiwa lembut dan bermimpikan Anuar Zain sebagai suami. Di sekolah mereka inilah yang selalu bertanding dan menang pingat di dalam sukan olahraga lari jarak jauh dan sederhana. Tetapi badan masih tidak slim.

3. Suka Memandu Laju.
Sepertimana yang aku tulis di atas, kebanyakan dari mereka ini suka memandu kenderaan dengan laju, kadangkala mengalahkan lelaki. Yang masih belum berkahwin akan memandu Kelisa (bukan Kancil, sebab Kancil kecil sangat) kotor yang jarang dibasuh dan penuh dengan kesan lecak akibat selalu ke kawasan-kawasan rekreasi berair terjun. Bukan untuk skodeng tetapi untuk beriadah dengan alam semulajadi. Kalau kamu terserempak dengan seseorang dari mereka ini yang seakan-akan mengejar destinasi kawasan rekreasi air terjun mereka aku sarankan kamu anggapkan mereka seperti ambulans dan berikan laluan.

4. Suka Berkhemah.
Tidak memiliki beg tangan Gucci atau Louis Vuitton tetapi sebaliknya mempunyai beg-beg besar yang boleh memuatkan satu khemah, periuk besi, tali nilon sepanjang 15 meter dan kasut trekking. Beg galas bermotifkan watak kartun Garfield hanya dibawa untuk mengisi sejadah dan telekung ketika balik kampung. Kamu biasanya akan berjumpa dengan segerombolan mereka ini di petang atau malam hari Ahad di sekitar Puduraya, menggalas beg setinggi mereka yang sarat dengan peralatan perkhemahan sambil ditemani lelaki-lelaki berambut pendek yang tidak layak bergaul dengan pelahar-pelajar wanita ayu di kampus yang tidak berbandana.

5. Suka Bercakap.
Ramai dari mereka ini yang aktif sebagai kaunselor atau pembimbing rakan sebaya di kampus. Sifat mereka yang mudah didekati dan pandai berjeneka selalunya menjadikan mereka ini golongan yang disenangi, tetapi akhirnya selalunya akan berkahwin lambat sebab ramai sangat kawan tetapi tiada 'teman'. Kawan-kawan lelaki yang didekati ketika proses kaunseling (dan tidak lupa juga kem-kem bina semangat yang amat digemari mereka ini) akan lebih berminat kepada musuh abadi golongan ini, iaitu golongan yang seakan-akan Erra Fazira (dan Abby Abadi) ketika tidak melakonkan watak wanita lasak berbandana yang bekerja sebagai mekanik wanita (dan bermotosikal). Akibatnya golongan ini lebih suka bergaul dengan mereka yang serumpun dan boleh berkongsi serta bertukar-tukar jenis bandana yang dipakai.

6. Luarnya Lasak Tetapi Jiwa Sensitif.
Jangan tertipu dengan rupa luaran yang comot dan tampak lasak, seperti yang aku sebut di atas mereka ini sensitif, mungkin lebih sensitif dari golongan wanita biasa. Ini kerana mereka ini mungkin tidak berpeluang untuk menikmati perhubungan romantis dengan lelaki-lelaki ala Anuar Zain idaman mereka, yang hanya menggunakan mereka untuk mendapatkan pendapat wanita untuk bagaimana mengejar wanita yang diidami. Walaupun ada yang mengaku meminati jenis muzik keras seperti metal (Jinbara, XPDC dan Manowar) tetapi mungkin sebenarnya lebih sukakan lagu-lagu balada Anuar Zain dan Uji Rashid. Akibat terlalu kesepian mereka ini akan banyak menghabiskan duit menelefon DJ-DJ di radio untuk menujukan lagu kepada 'si dia' yang sebenarnya tidak wujud. Tidak lupa juga kemungkinan besar pengguna-pengguna 'chat' SMS di televisyen (seperti saluran @15 di Astro) adalah majoritinya dari golongan ini yang berehat di rumah setelah penat bersukan seharian.

7. Lasak Tetapi Macam Tiada Perbezaan.
Walaupun aktif bersukan, tetapi ramai di antara mereka ini seakan-akan tidak bersukan langsung. Jarang yang bertubuh langsing seperti watak Fazura di dalam 'Gol & Gincu' tetapi biasanya serupa dengan watak-watak lain yang bukan seramping watak Fazura di dalam filem/siri tv tersebut. Akibat meletupnya 'Gol & Gincu', sejak beberapa tahun ini aktiviti futsal telah mengambil alih sukan bola jaring sebagai aktiviti sukan berkumpulan yang paling digemari. Jadi walaupun golongan ini aktif bersukan tetapi akibat pemakanan yang kurang berkesan mereka ini kurang berketul-ketul ototnya tetapi sebalik akan berketul di tempat lain.

8. Tidak Berapa Pentingkan Rupa Diri.
Jarang mengenakan mekap di muka, dan tidak suka menggunakan produk perapian wanita. Seketul sabun jenama 'Popinjay' cukup untuk membersihkan semua. Akibatnya golongan ini mudah terpedaya ketika disogokkan dengan produk-produk 'ajaib' yang kononnya boleh mencerahkan kulit yang hitam-legam akibat seharian di kawasan rekreasi air terjun, krim menghilangkan parut jeragat dan krim mencerahkan puting buih dada yang berwarna gelap. Juga jangan terkejut jika kamu terserempak dengan mereka yang bermisai.

9. Tiada Yang Serupa Erra Fazira Atau Wardina Pra-Tudung.
Realitinya tiada yang serupa Erra Fazira ketika melakonkan watak mekanik wanita di dalam filem-filem Yusof Haslam. Jadi jangan berharap berjumpa dengan mereka yang seakan-akannya ketika menghantar kereta kamu ke bengkel. Selain dari mekanik ramai diantara mereka ini akan memasuki pasukan Polis dan Bomba, dan akan menjadi guru yang ditugaskan mengajar Pendidikan Jasmani dan pemegang kunci stor peralatan sukan di sekolah.

Baiklah sekian sahaja untuk nukilan kali ini. Sila tinggalkan komen seperti biasa ya?

Jumaat, September 26, 2008

Tafsiran 'Jaguh Internet'.

Aku pasti kamu semua pernah dengar istilah 'jaguh kampung'. Jaguh Internet pun lebihkurang sama, cuma versi moden untuk kita yang hidup di zaman Internet ini. Semenjak dua menjak ini aku rasa fenomena Jaguh Internet ini membuak-buak, mungkin sebab sekarang sudah semakin mudah untuk kita online di mana-mana. Juga sebab aku rasa mudah untuk sesiapa pun untuk menjadi jaguh di Internet. Jadi apa kata kita lihat tafsiran aku untuk golongan ini. (Ingat, ini semua pemerhatian aku, semuanya subjektif jadi terpulang kepada kebijaksanaan pembaca untuk mengolahnya sendiri, OK?) Maaf, tetapi tafsiran kali ini bukan berbentuk point form, tetapi berbentuk kertas Karangan Bahasa Malaysia Sijil Pelajaran Malaysia.

Semenjak orang Melayu kita pandai melawat forum (bukan Forum Perdana yang penuh dengan Pak Lebai dan makcik-makcik mata mengantuk di RTM1, ya?) macam-macam suara boleh kedengaran. Apa yang aku rasa kita mungkin ketinggalan kita sebenarnya jahil tentang Tatasusila Internet. Maklumlah, kita pun agak lambat, sebagai masyarakat umum, untuk betul-betul menggunakan Internet. Macam aku, aku mula online dari tahun 1995, ketika zaman Internet masih bayi lagi. Zaman Yahoo! berlatarbelakangkan warna kelabu. Akibatnya mungkin aku sudah lama tahu tentang apa itu tatasusila ketika menggunakan Internet, dan cara-cara membawa diri di alam maya. (Online pun kena bersopan-santun apa?)

Dan akibat perangai kamu yang memang suka cakap banyak dan 'main belakang', memang syurga di dalam dunia (maya) bila kamu berada di dalam situasi di mana kita boleh bersuara tanpa ada muka. Anonymous. Itulah kata kuncinya. Kunci ajaib. Di mana kamu (dan aku juga) boleh bersuara tanpa muka (kecuali blogger-blogger yang sibuk letak gambar sendiri dalam blog sampai kena tahan ISA).

Secara langsung sesiapa sahaja boleh buat sial dalam Internet tanpa mempedulikan tindakan apa-apa. (kecuali kalau kamu kutuk/fitnah orang tertentu-lah, itu memang bahaya. Tanya PR Menteri Besar Kelantan kalau kamu nak tahu.)

Akibatnya muncullah dua golongan utama yang seakan obses dengan kehidupan di dalam internet.
1—Lelaki kesepian berzakar kecil dan bermuncung tirus tetapi bersemangat menghentak papan kekunci untuk membela nasib hidupnya yang agak sedih, dan 2—Perempuan montel berbekas bedak di ketiak yang layan MLM tetapi perasan model iklan walaupun realiti hidupnya juga agak sedih.

Kita tulis pasal versi Jaguh Internet No. 1 dahulu.

Sebenarnya aku kurang pasti tentang imej sebenar Jaguh Internet Lelaki, sebab aku jarang berjumpa mereka. Ini kerana mereka selalunya terperuk di rumah sewa yang dikongsi bersama 12 orang pelajar IPTA lain, tidak keluar makan/minum/sembahyang Jumaat sebab khusyuk online lebih 12 jam sehari. (Dan sanggup angkut CPU naik motor kapcai ke Plaza Low Yat bila motherboard hangus akibat terlalu panas.)

Mereka inilah biasanya akan berusaha sedaya upaya untuk memporak-perandakan keamanan di dalam sesebuah forum/blog/komuniti, sebagai peringatan bahawa hidup mereka itu sedih. Tetapi jarang yang suka letak gambar sendiri di Myspace/Facebook/Blog (macam aku lain beb.) sebab deskripsi rupa yang diletakkan online biasanya tidak menepati muka dan badan yang dianugerahkan Tuhan. Kiranya cakap tak serupa bikin-lah.

Paling suka kalau sasaran mangsa mereka ialah orang yang disenangi ramai di Internet, tidak kisahlah sama ada selebriti, tuan punya forum atau Nasir Bilal Khan. Mulalah cuba mengapi-apikan keadaan untuk mendapatkan perhatian. Macam aku, senang sahaja. Aku tidak memberikan apa-apa respons. Respons itulah yang menyemarakkan dan mengghairahkan mereka, akibat ketidakupayaan untuk berkomunikasi dan kurang kasih sayang di alam yang nyata.

Sebab aku pasti (dan memang sah pun), kalau berjumpa dengan mereka ini, suara mereka kecil sahaja, tiada kelantangan seperti yang ditunjukkan di Internet. Boleh bunuh beribu-ribu orang dalam permainan Call Of Duty dan Defense Of The Ancients, tetapi sebenarnya malu-malu tikus. (Setaraf lebih rendah dari malu-malu kucing.) Boleh tulis pernah tidur dengan 4,322 orang di dalam blog sendiri tetapi sebenarnya hanya pernah melihat buah dada wanita di skrin komputer. Itu pun buah dada palsu. Tidak macam John, aku pasti Samantha itu hot gila babi.

Jaguh Internet Versi No. 2 pula lebihkurang sama. Semuanya akibat inginkan perhatian akibat kekurangan kasih sayang. Modus operandi pun sama, kalau nak tahu, lihat sahaja di Myspace, dan browse users. Cari pengguna yang meletakkan gambar dua orang perempuan sebagai gambar profail. Salah seorang dari perempuan tersebut mesti hot mengalahkan Julia Rais, dan yang seorang lagi gambar samar-samar. Pastilah lelaki gatal (mungkin juga Jaguh Internet Versi No. 1) akan klik profail tersebut berdasarkan gambar perempuan mirip Julia Rais (atau Sofea Jane, jika kamu suka) tetapi 99% kebarangkaliannya profail tersebut adalah milik perempuan yang gambar samar-samar tersebut.

Tidak kurang pula yang sanggup meletakkan gambar buah dada rawak sebagai umpan lelaki-lelaki gersang, dan kemudiannya bertukar-tukar ID Yahoo Messenger atau MSN Messenger, dengan janji-janji manis yang biasanya melibatkan perkataan 'basah', 'kemban' dan 'orang kata muka I macam Juliana Evans sikit...'

Walhal sebenarnya kamu melancap sendiri berdasarkan gambar palsunya, dan awek yang sedang melayan chatting dengan kamu sebenarnya tengah menyumbatkan karipap kentang berminyak ke dalam mulutnya sambil gelak ketawa tergolek-golek dengan 12 orang rakan serumahnya yang sedang membaca apa yang kamu taipkan. Selepas kamu sudah puas, mulalah dia mengotakan janji untuk berjumpa, dan mulalah kamu membazirkan duit kredit kamu untuk memanggil telefon mereka bila mereka asyik buat missed call. Kalau kamu nasib baik mungkin kamu menyerah kalah sebab si dia asyik memberikan alasan tidak boleh berjumpa. Kalau nasib kurang baik kamu akan akhirnya berjumpa dengan 'wanita idaman' kamu yang hanya inginkan kamu sebagai downline skim MLMnya. Kalau nasib lagi tak baik perempuan itu sebenarnya Jaguh Internet Versi No. 1 yang sudah habis modal. Parah.

Macam aku, aku pernah kena. Sampai habis kena potong line telefon aku. Tak apalah, kita semua belajar dari kesilapan bukan? (Lepas tu aku kena sekali lagi, dengan orang lain pula.)

OK aku nak chatting dengan awek aku jumpa di Myspace ni. Aku tengok gambar muka dia macam Kate Moss sial...

Khamis, September 25, 2008

Tafsiran 'Minah Jilbab Urban'.

Baru-baru ini aku telah ke Restoran William's di Kelana Jaya, dan aku telah duduk bersama-sama teman wanita di sebelah meja yang penuh dengan budak-budak Melayu yang sedang bersahur. Aku rasa mereka ini dari kalangan warga urban ibukota, yang jelas kedengaran dari cara mereka berbahasa Inggeris. Dari sini aku telah mendapat buah fikiran untuk nukilan hari ini, jadi apa kata kita terus mula sahaja.

1. Sudah tentu perempuan Melayu bertudung, dalam lingkungan umur awal 20an. Tetapi banyak yang bezanya dari Minah Tudung Ketat, fesyen tudung yang dipakai, contohnya. Malah mereka tidak suka dikatakan 'bertudung' tetapi 'berjilbab'. Golongan ini lebih terbuka untuk bereksperimen, dan tidak terhad kepada tudung potongan biasa berwarna hitam/putih/merah jambu yang biasa diperagakan oleh pelajar-pelajar IPTA di sini. Aku rasa dengan sebab dari sokongan golongan inilah fesyen Tudung Wardina (dan kemudiannya Tudung Mawi?? Aku tak pasti, tetapi aku pernah nampak di kedai) popular satu ketika dahulu. Tudung yang berpotongan elegan, bercorak moden, penuh dengan rona-rona menarik tetapi minimal (tidak sesibuk tudung golongan Makcik yang ala-ala corak Versace itu) dan dipakai dengan cara yang kreatif. Tetapi apa yang mungkin paling membezakan golongan ini dari golongan bertudung yang lain ialah kemungkinan golongan ini faham kenapa mereka perlu memakai tudung, dan akan memakai tudung bukan sebab dipaksa ibubapa atau dekan kolej. Kiranya mereka rela memakai tudung, dan tidak menjadikan bertudung itu sebagai alasan untuk tidak berfesyen. Kiranya kalau aku tengok pun mungkin senang hati dan terpikat-lah. Itupun kalau dia tinggi dan berbuah dada besar. Mungkin.

2. Salah satu aspek yang paling penting ialah golongan ini memang fasih berbahasa Inggeris, atas sebab dibesarkan di dalam keluarga yang selalu berbahasa Inggeris, bukan sebab tidak suka ponteng kelas semasa kelas Bahasa Inggeris di sekolah dahulu. Aku selalu terjumpa mereka ini yang bergaya berbahasa Inggeris, dengan pelat Amerika lagi. Kiranya kalau lihat lupa luaran mereka ini memang tidak sangka-lah. Tidak semua yang bertudung itu kolot dan tidak pandai menjaga kebersihan kulit kepala, dan tidak semua yang berambut coklat itu urban dan moden, OK? Perkataan yang paling pantang — "That's mean", ketika ingin berkata "That means."

3. Terpelajar. Sebab itulah aku katakan mereka ini semua faham kenapa mereka bertudung, dan mereka bertudung pun atas sebab yang betul. Bukan sekadar hendak cover line. Pakai saja tudung tetapi aksi klip lucah telefon bimbit bukan main lagi. Buat malu orang pakai tudung sahaja. Jangan hairan kalau golongan ini tahu tentang fizik nuklear mahupun tentang Kris Van Assche, OK? Senang cerita cita-cita mereka ini bukan untuk menjadi pembantu makmal atau tubuhkan kumpulan nasyid perempuan-lah.

4. Idola - Akak Wardinah dan Yuna. Aku rasa kedua-dua mereka ini memang epitome golongan ini. Tetapi tidak semuanya berasal dari golongan Gadis Bangsar Era Lewat 90an (Cerita Lain) yang suka berpeleseran dan berpakaian seksi dan kemudiannya ditangkap JAIS ketika berpakaian seksi ya? Paling tidak suka Mawi atau Akademi Fantasia, dan lebih menjurus kepada muzik-muzik 'ilmiah' seperti genre-genre muzik yang aku selalu tulis di sini. Mungkin atas sebab yang sama aku ramai pembaca perempuan bertudung. Hai.

5. Citarasa bagus. Tak kisahlah, dari segi muzik, filem dan sebagainya. Akibat berasal dari golongan terpelajar, ramai dari mereka yang bercita-cita tinggi dan mengejar karier yang tidak dijangkakan. Aku misalnya kenal seorang yang sedang belajar membuat filem di New York. Dan juga seorang yang bekerja di dalam bidang fesyen. Sampai sekarang masih tidak buka tudung. Aku tabik.

6. Tidak takut untuk bereksperimen. Dan di sini aku tidak maksudkan berani merakam aksi mengulum zakar teman lelaki loser di dalam kereta nasional atau di dalam pondok durian terbiar. Yang aku maksudkan di sini ialah mereka inilah yang kita lihat di gig, mahupun kadangkala menyaksikan pertunjukan fesyen atau bersuka ria di kelab malam atau bar eksklusif. Walaupun tidak minum arak, tetapi pandai mengawal diri ketika berada di dalam situasi yang mungkin ada arak. Pendek cerita pandai menyesuaikan dirilah, bukan malu-malu kucing atau bodoh sombong atau takut hendak mengenali dunia luar seperti biasanya. Golongan Boleh Capai Wawasan-lah kiranya.

8. Aku sebenarnya banyak benda-benda baik hendak dicakap tentang golongan ini. Tapi untuk menyenangkan diri aku boleh rumuskan satu fakta penting. Keadaan mereka yang bertudung ini tidak pernah menghalang mereka dari membuat apa-apa. Kiranya tidak masuk stereotaip golongan bertudunglah. Kadangkala memang banyak paradoksnya, tetapi kalau difikirkan betul-betul aku rasa memang mereka ini golongan yang berani. Berani memakai tudung di dalam situasi yang mungkin janggal untuk bertudung, dan berani keluar dari stereotaip perempuan bertudung.

OK-lah esok aku mula pakai jilbab.

Ralat - Setelah menulis nukilan ini baru aku sedar perkataan yang aku cari ialah hijab, bukan jilbab. Terima kasih kepada semua pembaca yang memberikan komen. Walhal mungkin sebenarnya aku sengaja gunakan perkataan jilbab itu, bukan?

Selasa, September 16, 2008

Tafsiran 'Azman'.

Terlebih dahulu aku ingin memohon maaf jika nama kamu Azman. Tidak semestinya seorang yang bernama Azman itu adalah seorang 'Azman', dan jika kamu tidak faham apa yang aku maksudkan di sini teruskan membaca, ya?

1. Lelaki Melayu Terakhir.
Sudah semestinya 'Azman' ini adalah seorang Melayu, biasanya Melayu asli, tidak ada darah kaum lain, tetapi mungkin ada di antara mereka ini berdarah campuran. Tetapi kuranglah. Fenomena 'Azman' ini wujud dikalangan lelaki yang berumur awal hingga akhir 20an biasanya, dan akan bertukar menjadi seorang 'Azmi' (Cerita Lain) bila mencecah umur 30an.

2. Berambut Pendek
Aku jarang berjumpa Azman yang berambut panjang, kecuali mereka yang minatkan Innuendo. Selalunya mereka ini berambut pendek, dan masih gemar gaya-gaya rambut terpacak yang popular dahulu pada zaman awal 2000an. Rambut terpacak di sini aku maksudkan sebagai rambut yang dipacakkan menggunakan bahan penggayaan rambut yang bukan Tancho yang busuk itu, itu hanya terhad kepada Mat Rempit. Paling pantang jika disamakan dengan Mat Rempit, sebab pada mereka Azman ini sekurangnya satu tahap ke atas dari tahap sosial Mat Rempit. Aku misalnya tidak berada di dalam skala yang sama, tetapi cukup untuk seorang Azman untuk berada hanya satu tahap di atas Mat Rempit, sebab Melayu memang mudah puas hati. Baru-baru ini akibat penjenamaan Asmawi Ani, gaya rambut yang dahulunya dikaitkan dengan budaya kuning Skinhead memang amat popular, tetapi majoriti mereka masih mengamalkan penggayaan rambut pendek yang dicacakkan. Biasanya juga rambut tidak diwarnakan sebab Azman kan nama Melayu?

3. Fesyen Kemas Tapi Macam Tidak Kena.
Azman ini bergaya, tetapi tidak sebergaya Lelaki Metroseksual. Sebab Lelaki Metroseksual sering disalahanggap oleh golongan ini sebagai Lelaki Homoseksual, dan amat penting untuk seorang Azman untuk meyakinkan satu dunia bahawa dia ada lelaki Melayu tulen yang sejati. Akibat untuk menunjukkan imej professional, golongan ini gemar bertali leher (tali leher yang sedikit lebar dan bukan nipis agar tidak dikelirukan dengan Mat Indie), walaupun untuk makan tengahari, dan kemeja yang sama akan dibuka 3 butang dari bahagian kolar ketika keluar berseronok ketika waktu malam agar boleh menunjukkan imej bersantai. Sudah tentu kemeja adalah pakaian kegemaran, terutamanya yang berwarna putih ala Innuendo dan berwarna hitam ala Billy Zulkarnain. Selalunya akan dipadankan dengan seluar jeans yang bukan skinny (sekali lagi agar tidak dikelirukan dengan Mat Indie yang tidak bekerja dan tidak berwang) yang diseterika. Selalu dipadankan juga dengan cermin mata hitam, yang dipakai terutamanya ketika memandu, mengambil gambar untuk akaun Myspace/Facebook dan berjalan di waktu malam.

Walaupun berusaha untuk bergaya, dengan sentuhan ala-dandyism dan unsur-unsur Lelaki Itali (antara jenama yang sinonim ialah Gucci, Armani, Versace dan apa-apa yang dipakai Aznil Nawawi), masih kelihatan seperti sekurang-kurangnya ketinggalan 5 musim fesyen kontemporari. Akibatnya ramai yang jarang bereksperimentasi dengan fesyen, kecuali mereka yang berani yang akan mengenakan kemeja T polo Ralph Lauren berlogo besar yang bukan dengan logo satu kuda+pemain polo di dada, tetapi dengan DUA ekor kuda+pemain polo. Sila Google. Seperti yang disangkakan, kolar baju wajib dinaikkan sebab hawa di dalam kereta mereka ini terlampau sejuk dan mudah untuk melakukan aksi Gentel Kolar Untuk Menunjukkan Sifat Kerek.

Pengecualian dari gaya di atas ialah pakaian yang disertakan lambang-lambang penaja sukan lumba kereta F1, terutamanya yang berwarna merah dan hitam.

4. Tidak Suka Naik Bas.
Berbeza dengan Lelaki Ampang yang sukakan pengangkutan awam dan kereta Nasional, Azman ini menjadikan kereta BMW sebagai sasaran utamanya, terutamanya model terpakai 10 tahun ke atas, model yang dipasang di Malaysia (sebab murah). Biasanya akan diubahsuai untuk menampakkan ia bukan model terpakai, terutamanya dengan cermin kereta yang tinted melebihi piawaan yang dibenarkan JPJ/Puspakom. Ini untuk menampakkan gaya stealth agar tidak menampakkan raut muka ketika mendekati kumpulan-kumpulan liar Perempuan Ampang yang berjalan beramai-ramai ketika memandu sepanjang Jalan Dooraisamy.

Golongan-golongan Azman juga suka bergaul dengan Azman lain yang memandu jenis kereta yang sama. Akibatnya fenomena Kumpulan Kereta Sama wujud. Walaupun tidak terhad kepada kereta buatan luar (kita lebih biasa dengar tentang Kumpulan V6, Satria GTi dan Kenarianz misalnya) golongan ini memang suka berkumpul atas dasar memiliki kereta jenama yang sama. Perjumpaan biasanya akan diadakan di restoran-restoran mamak di kawasan separa eksklusif seperti Taman Tun Dr Ismail dan Danga Bay, di mana kereta-kereta akan 'dipamerkan' di tempat meletak kereta berhampiran restoran mamak. Perbincangan biasanya akan menjurus kepada topik strut bar, rim sukan, Paul Tan dan bengkel-bengkel boleh settle. Sebenarnya tiada beza dengan Kumpulan Kereta Sama yang lain, cuma jenama kereta sahaja yang berbeza.

Aku rasa aku boleh tulis satu nukilan penuh tentang Kumpulan Kereta Sama ini. Jadi, Cerita Lain ya?

5. Hobi Sama.
Kereta. Bola. Cara settle awek. Bola. Belasah orang akibat tidak puas hati. Mentaliti berkumpulan amat penting untuk kekal sebagai seorang Azman. Seorang Azman yang meminati benda yang tidak diminati Azman lain dalam kumpulan yang sama, (seperti buat cupcake misalnya) akan dipulaukan serta-merta. Akibatnya keinginan untuk berada di dalam kumpulan yang sama akan membuatkan Azman-Azman ini jarang bergerak berseorangan dan jarang memiliki hobi yang dianggap bertentangan dengan konsep 'Azman'.

Antara hobi yang dianggap bertentangan adalah—berseluar skinny jeans, keluar dengan wanita bukan Melayu atau 'terlampau' Melayu, memandu kereta hybrid, memandu kereta stok tanpa pengubahsuaian, membenarkan teman wanita memandu kereta ketika si Azman berada di dalam kereta, meminati Liga Bola kebangsaan, mendengar Lite FM dan stesen radio IKIM, meminati hoki, membela rambut dreadlock dan pergi gig.

6. Bro.
Semua Azman akan dianggap sebagai keluarga, oleh sebab itu panggilan mesra yang diamalkan adalah 'Bro', iaitu singkatan untuk 'Brother' atau Abang/Adik. Suka hormat kepada mereka yang lebih tua dengan mencium tangan serta memanggil dengan gelaran yang bermaksud 'bapa' atau 'abah', walaupun tiada kaitan darah dan tidak pernah berkahwin dengan ibu mereka.

7. Kerja Pangkat Eksekutif.
Pekerjaan yang diidam-idamkan adalah pekerjaan yang berpangkat eksekutif. Terutamanya yang berkaitan dengan projek, tender atau Datuk. Tempat atau cara mendapatkan pekerjaan tersebut tidak relevan, janji line bagus. Kurang meminati kerja-kerja kreatif, lebih tertumpu kepada syarikat-syarikat yang menawarkan komisyen. Syarikat idaman: Kumpulan Naza dan syarikat korporat bapa/bapa saudara. Sebenarnya semua tidak relevan janji ada perkataan 'eksekutif' di kad nama sendiri.

8. Tidak Melayu Hilang Di Dunia.
Akibat dari proses persekolahan yang biasanya bertempat di sekolah-sekolah yang tertutup kepada bangsa lain, sifat ke-Melayuan mereka amat terpuji. Suka merebut peluang perniagaan khusus diberikan kepada bangsa Melayu, yang biasanya direbut untuk diberikan seadil-adilnya kepada golongan bukan Melayu iaitu 100% peluang. Aku puji sifat ini kerana inilah golongan yang akan memperjuangkan keunggulan Melayu di era globalisasi ini. Mungkin.

Baiklah, masa untuk bersahur. Kamu sahur apa?

Rabu, Julai 16, 2008

Tafsiran 'Datuk'.

Bukan, aku bukan hendak bercerita pasal ayah kepada ayah atau ibu kamu, tetapi berkenaan satu golongan istimewa, yang aku pasti ramai antara kamu yang pernah jumpa. Ok-lah, sebenarnya aku tak tahu berapa istimewa pun, tapi faham-faham sajalah.

Jadi, seperti biasa, ini hanyalah pendapat aku sahaja, jadi jangan ambil hati kalau aku secara tidak sengaja berjaya meneka 100% tepat keperibadian kamu. Terima kasih.

1. Bergelar 'Datuk'.
Ini sudah pasti. Tak kisah-lah bagaimana dia dapat gelaran itu pada awalnya, tetapi tak silap aku mudah sahaja untuk mendapat gelaran yang bakal memberikan kamu laluan mudah dalam perniagaan dan mungkin perkahwinan dengan artis. (Lihat bawah) Janji kamu kroni atau berkawan dengan kroni. Paling kurang pun kamu mendapat gelaran Datuk akibat rajin menyanyi di luar negara. Ataupun mungkin kamu pernah ke angkasa lepas. Perlu diingatkan golongan yang mempunyai cucu bukanlah jenis golongan yang aku ingin tafsirkan hari ini.

2. Berumur 40 Tahun Ke Atas.
Bukan syarat, tetapi kebiasaanya mereka ini berumur 40 tahun ke atas. Kecuali kalau kamu anak Jamaluddin, berkahwin dengan anak perempuan Abdullah, pakai iPhone dan bercita-cita untuk menjadi pengerusi syarikat minyak negara. Memang tak mustahil jadi seorang Datuk pada umur awal 30an.

3. Malas Memandu Kereta.
Walaupun kesihatannya mampu dan masih sihat serta cergas (kalau kamu tidak cergas ini bermakna kamu bukan seorang Datuk sebaliknya seorang Tan Sri atau Tun) golongan ini memang kurang gemar memandu kereta. Kebiasaannya mereka ini akan berkereta hitam yang banyak makan minyak, serta mempunyai cermin tinted yang setinted mana pun tidak akan disaman polis. Kereta-kereta mewah mereka ini (yang biasanya bukan kereta tempatan, lagi-lagi kereta Proton Saga stretch limo yang hanya dipandu ke pasar oleh mereka yang tertipu dengan harga murahnya dahulu) hanya akan dipandu oleh lelaki Melayu kampung yang ingin berangan memandu kereta mewah bukan milik sendiri sambil berkaca mata hitam, atau dipinjam tanpa pengetahuan dan dipandu oleh anak-anak liar mereka yang suka beritahu yang mereka anak Datuk di kelab-kelab malam sepanjang Jalan Dooraisamy di Kuala Lumpur.

4. Suka Perkataan 'Projek' dan 'Bisnes'.
Projek itu projek ini. Asalkan ada perkataan 'projek' atau 'bisnes' memang mereka ini sudah cukup teruja. Lagi-lagi tentang projek yang memerlukan lesen vendor kerajaan serta melibatkan perkataan 'juta-juta' serta 'sub-contractor'. Perlu diingatkan ketika bercakap perkataan 'projek' atau 'bisnes' ini perlu diucapkan kuat-kuat agar nampak lebih bergaya ketika sedang membaca suratkhabar The Edge serta Wall Street Journal edisi semalam. Harian Metro hanya b0leh dibaca ketika bersembunyi di belakang cermin gelap di dalam kereta.

5. Tidak Gemar Bersukan Kecuali Sukan Yang Melibatkan Padang Golf.
Aku rasa kalau kamu pernah tertonton drama swasta Melayu kamu mesti tahu golongan Datuk ini suka bergaya di padang golf. Walaupun ayunan kayu golf kekok atau hanya mampu beli bola yang dikutip oleh caddy dari dalam tasik pun tak mengapa. Janji golf. Kalau kamu tak percaya lihat sahaja siapa yang menonton rangkaian Golf Channel di Astro. Kan? Tetapi ada juga Datuk yang tidak suka bermain golf, seperti Datuk Nicol David yang lebih gemar dengan sukan skuash.

6. Suka Baca Majalah URTV, Mangga Dan Bahagian Pancaindera Dalam Utusan Mingguan.
Ini semua kerana kebiasaanya golongan Datuk ini sudah bosan dengan perangai 'Datin' mereka. Akibatnya mereka ini gemar membelek majalah-majalah ini umpama katalog untuk mencari bakal isteri muda. Yang menjadi sasaran adalah artis perempuan Melayu yang 'kampung' sedikit, terutamanya yang berambut karat, serta menyanyi di dalam kumpulan. Dari majalah-majalah ini, golongan Datuk boleh menilai sama ada artis tersebut sesuai dengan kehendak mereka. Di atas sebab itulah, kebanyakan majalah-majalah ini, penuh dengan gambar artis yang disertakan bersama biodata remeh temeh, seperti 'Makanan Kegemaran' serta 'Saiz Kasut'. (Macam aku, aku sukakan wanita yang kasutnya bersaiz 7 dan suka makan makanan Jepun.)

Pada masa yang sama pula, artis-artis majalah yang kampung ini suka menjadikan golongan Datuk sasaran mereka, sebab mereka inginkan perkahwinan romantis seperti majlis perkahwinan Datuk bermisai dan bernama dengan satu abjad yang juga berkahwin dengan seorang Datuk. Yang perasan kurang kampung sedikit dan ada 'kelas' pula akan mensasarkan golongan Mat Salleh kampung, cuma kampung yang didiami terletak di Perancis atau Amerika Syarikat. Tapi tetap kampung juga.

7. Suka Menyaman Dan Disaman.
Kononnya golongan ini kaya harta dan maruah, jadi kerapkali di dalam akhbar kita melihat berita bahawa Datuk A ingin menyaman suratkhabar B atas tuduhan menjatuhkan maruah mereka. Tidak ketinggalan juga golongan ini selalu disaman oleh orang yang mengaku dibelasah sama ada oleh Datuk tersebut, anak Datuk tersebut ataupun pengawal-pengawal Datuk tersebut. Yang lebih malang akan dijadikan habuan di mahkamah oleh golongan-golongan Tan Sri serta Tun. Janji bisnes masuk. (Jangan saman aku!)

8. Suka Berurut Dan Spa.
Untuk menenangkan fikiran, golongan ini suka melawat tempat-tempat yang ada menyediakan khidmat berurut. Terutamanya dari tukang urut lelaki yang meletakkan gambar iklan mereka yang bertelefon bimbit warna emas di suratkhabar serta spa-spa yang penuh dengan perempuan yang tidak pandai berbahasa Melayu atau Inggeris. Perempuan-perempuan di sini juga suka menjadikan Datuk pelanggan mereka, asalkan mereka berhati-hati agar tidak diletupkan sampai berkecai oleh bom tangan.

Erm, sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih. Semoga dapat tinggalkan komen-komen bernas.

Sabtu, Jun 14, 2008

Tafsiran 'Jakun'.



Sebelum aku mula hari ini, aku terlebih dahulu ingin meminta maaf jika kamu berketurunan dari suku kaum Jakun.

OK?

Aku sebenarnya ingin menulis perihal golongan ini sejak dari lama dahulu, cuma asyik terlupa. Kalau orang Singapura dan Budak Pulau (Cerita Lain...) terkenal dengan sifat 'kiasu' mereka, kita di sini memang terkenal dengan sifat 'jakun' kita. Tidak dinafikan ada bangsa yang lebih 'jakun' dari kita (lihat sahaja filem-filem Hindustan atau Tamil, penuh dengan 'jakun' yang suka memandang ke arah kamera ketika proses perfileman di tengah bandar) tapi aku rasa sifat 'jakun' itu begitu sinonim dengan kita sampaikan kita sudah menerimanya sebagai lumrah kehidupan di sini.

Jadi hari ini aku ingin senaraikan contoh-contoh mereka yang bersifat 'jakun', dan aku jamin kamu semua pernah mengalaminya atau pernah melihatnya dengan mata sendiri, atau kamu sendiri yang 'jakun'.

1. Jakun Kemalangan.
Mereka kata Alex Yoong tidak mungkin boleh bertanding secara adil di arena F1 dahulu akibat sifat orang kita yang 'jakun' ketika berlaku kemalangan. Ada kereta/motor/lori/monorel terbabas sahaja, berpusu-pusu kita memperlahankan kenderaan, berhenti di tepi jalan, akibat kejakunan kita. Semua nak tengok. Akibat kemalangan kecil, kesesakan lalulintas besar-besaran berlaku. Tak masuk akal langsung.

2. Jakun Perempuan.
Aku mungkin telah menyentuh sedikit tentang perkara ini di nukilan yang lalu, tapi secara jujur aku nyatakan di sini sifat 'jakun perempuan' ini lebih kronik di kalangan lelaki Melayu. Pantang nampak perempuan, mata terus meliar. Macam binatang jantan yang terburu-buru si betina untuk mengandungkan anaknya. Aku sebenarnya kurang faham perangai ini, sebab macamlah perhatian sebegitu akan membuatkan si perempuan tertarik dengan si lelaki 'jakun' tersebut. Buat macam aku, iaitu buat tak minat, mesti si perempuan cantik tertanya-tanya, Kenapa lelaki ni tak layan aku?", jadi semakin berdebar-debar hati dia.

Sebab itulah di sekeliling Asian Heritage Row atau Zouk penuh dengan Mat Rempit melepak. Semua jenis tak pernah nampak lurah dada.

Kalau kau buat aksi monyet ketika perempuan lalu kamu hanya akan menarik perhatian monyet, ingat tu!

3. Jakun Pesta Percuma.
Sebab itu Pesta Jom Kecoh popular di kalangan kita. Tempohari di Sunway Lagoon ada Pesta besar-besaran, kiranya ramailah juga perempuan berbikini di situ. Masalahnya pesta ini percuma, janji ada tiket yang boleh diperolehi dari majalah yang dikeluarkan si penganjur pesta itu tadi. Jadi, akibat 13,000 tiket percuma telah dikeluarkan, berpusu-pusulah rempit bertopi Quicksilver tiruan ke Sunway Lagoon dengan harapan boleh tersangkut dengan awek Melayu bikini.

Jangan harap.

Akibat terlalu ramai orang, kecoh jadinya. Sampai bergaduh-gaduh, hinggakan ada motorsikal rempit yang dibakar dan polis semua datang. Pesta percuma berbikini punya pasal.

4. Jakun Barangan Percuma.
Ini cuma lanjutan No. 3 di atas, di mana sebaliknya barangan percuma yang ditawarkan. Sebab itulah orang kita selalu tertipu dengan peraduan gores dan menang dan Black Money.

5. Jakun Artis.
Bukan Angelina Jolie atau Gisele Bundchen, tetapi artis atau selebriti Melayu murahan. Pantang nampak golongan Konon Selebriti ini, kecoh semeja kawan di mamak atau kopitiam. Menuding-nuding, menunjuk-nunjuk, sampai Konon Selebriti ni pun perasan dia terkenal. Aku paling tak suka pelakon drama swasta yang perasan dia terkenal akibat tumpuan perhatian dari 'jakun' ni semua. Tapi atas sebab yang sama ramai orang yang kenal aku ingatkan aku sombong. Bukan sombong, tapi sebab aku tak kenal kamu, ok? Kalau Denver tu kenal-lah.

6. Jakun Barang Baru.
Kereta baru, iPhone baru, isteri baru. Mesti menarik perhatian 'jakun' punya. Tak percaya tunggu model Proton/Perodua baru keluar dan kamu ternampak kereta baru tersebut diletakkan di tepi jalan depan khalayak ramai. Mesti ramai berkerumun.

Apa kata kita gunakan sifat 'jakun' kita ini untuk kebaikan? 'Jakun' sangat lihat kereta pakai biodiesel sampai kita bersungguh-sungguh majukan enjin yang lebih efektif untuk biodiesel misalnya... Boleh, bukan?

Jumaat, Mei 02, 2008

Tafsiran Lelaki Metroseksual Melayu.

Semalam, ketika berjalan-jalan di One Utama, aku telah terlihat seorang lelaki Melayu yang 'salah'. 'Salah' di sini bermaksud tidak kena, atau janggal, atau terencat. Ketika ditanya, aku cakap kat Pidosan, "Aku tengah cari idea untuk nukilan esok."

Jadi untuk hari ini, aku ingin terangkan pemerhatian aku tentang Lelaki Metroseksual Melayu (LMM). Bukan, tiada kena mengena dengan seks, hanya kerana ada perkataan seksual, tetapi, kalau kamu sudah terperap di bawah tempurung kelapa selama ini, istilah metroseksual ini paling sesuai untuk menerangkan si David Beckham.

Lelaki yang tiada masalah bermesra dengan bahagian femininnya. (Mana Feminin ya?) Masih tidak faham? Baca saja-lah pemerhatian aku. (Nota: Terdapat banyak serpihan LMM ini, tetapi hari ini aku terangkan tentang serpihan asas, iaitu lelaki Melayu dalam lingkungan pertengahan atau lewat 20an, dan masih memandu kereta Nasional. Yang lain semua semestinya Cerita Lain.)

1. Suka David Beckham.
Bukan sebab dia pandai main bola, tapi sebab itulah idola fesyennya. Bukan jersi bola, tetapi pakaian-pakaian yang dipakainya ketika tidak main bola. Sebab itu ramai LMM suka Manchester United jika dibandingkan Chelsea atau Arsenal. Maaf, aku tidak suka menonton bola. Zaman bola aku berakhir ketika berakhirnya zaman gandingan triniti Ervin Boban, Abbas Saad dan Alistair Edwards.

2. Suka Rambut Berkilat.
Tak kisah-lah, sama ada disikat ke belakang, atau pun di'gel' sampai terpacak, tetapi rambut mesti nampak berkilat. Istilah Bahasa Inggeris-nya wet-look. Sekarang jarang mengenakan gaya rambut 'Beckham fin' sebab Mat Rempit pun pandai ber'fin' sekarang. Kalau tak tahu apa itu 'fin' sila Google sekarang, terima kasih.

3. Suka Pakai Sweater. Terutamanya yang V-Neck.
Tapi bukan dipakai, tetapi di ikat di bahu. Atau di pinggang. Sebab semua orang tahu apa akan jadi jika kita pakai sweater di Malaysia. Ya, kita akan sweat. Yang V-neck pula tidak terhad kepada sweater. Janji V-neck saja terus diterkam. Tak rela I.

4. Suka Berseluar Pendek Warna Khaki.
Jadi, alang-alang untuk menstabilkan situasi kepanasan akibat sweater tadi, kebanyakannya akan memakai seluar pendek. Bukan jenis yang seluar kargo, tetapi jenis yang macam seluar pejabat, cuma pendek.

5. Tak Pandai Ikat Tali Kasut.
Akibatnya, suka memakai kasut jenis slip-ons atau mocassin. Selalunya tanpa stokin. Dan jualan kasut Crocs di Malaysia juga meningkat sebab mereka ini. Kamu tak tahu ke kalau pakai Crocs kebarangkalian kamu untuk mati akibat dibaham buaya meningkat 300%?

6. Suka Pergi Urut.
Tak kisahlah, sama ada di spa mahal (jarang dikunjungi) atau di pusat mengurut. Paling afdal jika ke spa yang ada perkhidmatan facial sekali. Lagi seronok, dia.

Ehhhh jap jap! Aku rasa ada banyak persamaan LMM dan LAM, iaitu Lelaki Arab Metroseksual.

7. Mengambil Masa Yang Lama Di Bilik Mandi.
Inilah aku rasa ciri yang paling penting. Selesai mandi (mandi di sini bermaksud basahkan badan, sapu body scrub (dan disental gunakan span asli), moisturizer, shampu dan conditioner), kena buat facial scrub, facial moisturizer, facial mask, shaving moisturizer dan kemudian bercukur jambang, aftershave lotion, deodorant, dan akhirnya minyak wangi.

Bila keluar rumah dijamin bau macam tingkat bawah Parkson Grand atau Metrojaya. Alah, tempat jual minyak wangi dan alatan kosmetik semua. Macam John.

Bu-wek.
Aku nak balik bekerja.