Rabu, Disember 05, 2007

Teori Tentang Tangkap Leleh.

Kalau kamu seorang yang arif tentang teori konspirasi macam aku, kamu pasti tahu teori tentang bagaimana jabatan FBI ataupun CIA di Amerika dengan sengaja memperkenalkan dadah crack, kokain dan heroin di dalam komuniti orang kulit hitam di sana untuk mempasifkan gerakan-gerakan anti-kerajaan pada awal tahun 70an dahulu. Zaman inilah merupakan zaman yang getir untuk Amerika, dengan kemunculan gerakan-gerakan seperti parti Black Panther dan Nation Of Islam pimpinan Louis Farrakhan.

Jadi, teorinya ialah, untuk melemahkan kebangkitan semua parti-parti subversif ini, agensi-agensi kerajaan di sana telah, secara tersembunyi, memperkenalkan beraneka jenis dadah berat di dalam komuniti mereka untuk mengkhayalkan anak-anak muda kulit hitam, agar majoriti kulit putih di sana tidak terancam kedudukan sosiopolitikal mereka...

Apa-apapun, ini hanya teori, dan dalam banyak-banyak teori, teori konspirasi adalah yang paling kurang kredibiliti (Cerita Lain, aku memang kaki teori konspirasi, dari teori Illuminati hingga ke teori Komisyen Trilateral), tapi untuk mereka yang benar-benar paranoid, teori ini benar-benar mengujakan.

Kebetulan hari ini, hidung aku sedang meleleh, jadi aku teringat tentang istilah 'Tangkap Leleh" yang sering digunakan di dalam komuniti kita.

Menurut sejarah, komuniti Melayu dahulunya berasaskan pertanian dan perikanan, dua industri perusahaan yang agak santai. Penanaman padi misalnya, memang bermusim. Selepas proses penanaman, ada peringkat yang petani kita hanya perlu tunggu sehingga proses sibuk seterusnya, iaitu proses penuaian padi. Dan semestinya selepas menuai padi, menurut tradisi pasti akan ada Pesta Menuai, pesta itu dan pesta ini.

Kesimpulannya orang kita memang biasa bersantai-lah.

Jadi, memang agak memeranjatkan bagi kerajaan kita bila muncul gerakan-gerakan anti-kerajaan yang fanatik pada penghujung tahun-tahun 60an dahulu. (Sila belajar Sejarah Malaysia kamu semula jika kamu lupa). Golongan yang dahulunya pasif tiba-tiba ingin memberontak, melaungkan slogan-slogan dan membawa idea-idea fanatisme mereka ke tengah jalan. Zaman-zaman yang agak tegang untuk kita dan negara kita...

Maka bermulalah era Tangkap Leleh kita. Gerakan mempasifkan pemikiran kita, melalui pendidikan, dan yang paling penting, melalui Rock Tangkap Leleh.

Semuanya akibat kumpulan Scorpions dan Lagu 'Still Loving You' mereka.

Aku pasti ada ketua-ketua agensi kerajaan kita dahulu yang telah ternampak keasyikan remaja-remaja Melayu melayan lagu tersebut di tepi-tepi jalan dan di tembok-tembok jalan tanah merah memasuki kampung. Jadi mungkin, mereka terfikir, untuk menggunakan muzik-muzik jiwang yang pasif untuk mententeramkan jiwa mereka yang sedang membakar.

Maka bermulalah zaman Rock Melayu. Rock yang lebih dekat kepada balada, rock yang lebih menumpukan niat untuk bercinta di bawah pohon cemara berdekatan Taman Rashidah Utama. Rock yang teringin membasahkan jiwa yang telah gersang. Rock yang ingin membinakan Istana Cinta Indah untuk si Fiona, Isabella dan Mei Hwa.

Dan dengan itu bermulalah kempen-kempen mempopularkan Rock Melayu ini. URTV, Muzik-Muzik, Mangga. Langkah-langkah untuk meng'ikon'kan pembawa kegemilangan Rock Melayu, penuh dengan kugiran tanpa nama yang bertopengkan lelaki muda dari kampung yang suka memakai baju ke dalam kolam renang sambil bergambar dengan tuala mandi belang.

Memang sudah cukup untuk memadamkan api yang sedang membara di dalam hati.

Jadi, tak kisahlah, sama ada wujudnya hip-hop Melayu, ataupun metal Melayu (yang akhirnya di'leleh'kan juga), selagi wujud Rock Melayu, yang pada firasat aku akan kekal selama-lamanya. Buat seketika dahulu mungkin timbul keinginan untuk berkempen dengan lagu nasyid, tapi akhirnya Rock Melayu lebih unggul. Masih popular, masih diminati.

Aku tabik kamu, Awie, Saleem, Man Bai dan Shima. Kamulah pengibar bendera kepasifan negara kita...

26 orang ada pendapat sendiri:

Tanpa Nama

konspirasi.
hehe.

aku slalu sangkut dlm jem, aku rasa konspirasi RapidKL dan tokey² teksi dgn pengusaha² Lebuhraya punya plan la.

diorang saja penuhkan jalan.

boleh?

Tanpa Nama

Mei Hwa - lama tak dengar lagu tu. masa tu aku darjah 2, kalau tak silap. hahaha!

masa tu Manic Street Preachers tak wujud lagi dalam hidup aku.

thinker bell

eh, apsal tak kira sama amy search..

:D

47

Aku kurang minat dgn lagu-lagu melayu especially jenis yang 'generic'muziknya dan liriknya pula kurang bermakna.

Kalau ada unsur-unsur seperti ini(especially lagu-lagu cinta): "Aku hanya serangga, engkau mulia" atau lain-lain unsur yang sewaktu dengannya. Aku bukan lagi menjadi 'tidak minat' bahkan sudah jadi benci.

the artist and i

hahahaha.. paling aku menyampah (aku ada hak untuk menyampah ok. uicehh!! hahaha) aku tak suka ELLA. gedik. mengada-ngada. cakap buat-buat manja. rasa macam nak sepak saja!

Siberkop

Saya suka Exists. Mereka kanak2 mulia kerana tujukan lagu buat ibu2.

NeemoNeemo™

Aku suka lagu rock kapak ni sebab banyak peribahasa yang membantu aku lulus cemerlang dalam UPSR kertas Bahasa Melayu 2

NeemoNeemo™

Aku suka lagu rock kapak ni sebab banyak peribahasa yang membantu aku lulus cemerlang dalam UPSR kertas Bahasa Melayu 2

Ejoi

Aku rasa terma paling tepat ialah kugiran balada Melayu, bukan kugiran Rock Melayu


Selalunya band-band rock Melayu/Rock Kangkang/Rock Kapak banyak membawa lagu2 yang berunsur kritikan politik, sosial dan sebagainya. Cuba lihat zaman Battle Of The Band dulu, banyak kugiran yang menyanyikan lagu2 berunsur kritikan sosial dan politik.

Pada aku, bukan band-band seperti rock Melayu/balada Melayu yang 'melayu'kan semangat dan minda, tetapi pengaruh budaya hedonisme yang semakin berleluasa saban hari dan ketidakbolehan minda kebanyakkan individu di dalam masyarakat Melayu khususnya untuk membuat pertimbangan sewajarnya di dalam menentukan kepentingan yang perlu didahulukan dalam kehidupan.

Aku tak katakan yang hiburan itu tidak boleh, tetapi sekiranya ianya dipancarkan kepada masyarakat seolah-olah itulah yang paling penting dalam hal seharian (kalau tak ikut AF, tak boleh bersembang ngan kawan2 sebab tak tau hal2 dalam AF, sebagai contoh), tidak dinafikan ianya akan mempengaruhi minda dan pemikiran. Ditambah pulak dengan kejumudan dan kelayuan minda dan pemikiran kebanyakkan Melayu pada sekarang ini, maka kombinasi kedua-dua perkara yang telah disebutkan di atas akan memastikan kebanyakkan kita akan terus pasif dan membiarkan hidung kita dicucuk supaya senang ditarik sesuka hati oleh Abang Besar dan konco-konconya untuk dieksploitasi sesuka hati mereka .. hahaha

P/S aku rasa hal ini bukan khusus untuk Melayu sahaja, di negara lain pun sama... Hedonisme sebagai 'dadah' yang menghayalkan masyarakat suapaya lalai dan leka tentang realiti perkembangan ngeri yang berlaku di luar rumah ....

the artist and i

MM, apa kata buat pemerhatian tentang dunia rappers malaysia pulak!

Tanpa Nama

Teori konspirasi, espionage bukan setakat menarik tapi sangat menguja. Siapa pernah terlibat atau pengikut setia permainannya jangan terkejut jika anda tidak dapat lagi memisahkan diri dengannya. Getarannya meskipun kategori berbeza adalah seumpama menikmati barang khayal.
Saya tidak dapat bersama MM tentang teori mat leleh ada hubungan dengan konspirasi. Saya tidak jumpa pattern yang menyokongnya. Mengutip contoh di luar dan cuba membuat hubungan selari dengan apa berlaku di sini pada saya tidak cukup kuat.
Tangkap leleh mungkin timbul secara sengaja. Ia sangat kuat berhubung dengan psikologi meleleh di sini (warisan zaman-berzaman).
Perhatikan saja seni popular misalnya filem dari Jalan Ampas sampai sekarang, 'apakah ghairah penonton majoriti sudah berubah? Saya tidak nampak perubahan. Yusof Haslam, Razak Mohidden, adik beradik Allahyarham M Osman dan kelompok mereka masih kencang kumpul harta.
Bila syarikat piring hitam dan rumah produksi sedar perkara ini (jiwa meleleh) boleh dieksploitasi untuk menjana harta, tangkap leleh menjadi dominan. Kalau ini dikatakan konspirasi, mungkin ini agaknya. Ketua-ketua agensi kerajaan pun mat leleh juga. Jadi memudahkan lagi pihak yang menjana harta untuk membuat kerja mereka. Saki-baki harta tadi boleh lah sikit-sikit kepada mat leleh pencipta lagu dan mat leleh penyanyi lagu yang menjadi alat mereka.
Kelompok punk di belakang CM boleh ubah keadaan ka? Nampak tidak lebih tidak kurang hanya melayan jiwa muda saja. Tapi ok, lebih membina dari mat leleh yang entah bila kesudahannya.

Unknown

Hmm...awak memang banyak ingin dikongsi ya. Nice :)
Cuma saya rasa, awak harus timbangkan fakta kecil seperti "si Fiona", awek itu tidak berada dalam kategori rock leleh. Kesian 'Tiara'.

Dan jika betul konspirasi ini wujud, saya setuju rasionalitinya.

Dan saya ingin kredit SIBERKOP, beliau memberikan komen yang subtle. Saya suka.

Siberkop

Ok gadis. Sayapun suka awak.

Actually MelayuMinimalis pun suka saya. Sebab dia leleh. HaHa.

Ok, mari listkan semua kumpulan leleh yang kita suka dari dulu:

Ukays, Damasutra, Laksamana, Umbrella, Olan, Fotograf, EXISTS!, Mega, Kris, Gersang, Ekamatra, Rahmat, Iklim, Deftones, Melissa, Febians, Ilusi, Bumiputra Rockers, Wow, Blackrose, dan yang terbaru Budak Kacamata.

Tanpa Nama

aku cukup bengang dengan kumpulan spring, slam, ukays, n yg sezaman dengannya. mereka adalah leader kepasifan negara.

Tanpa Nama

aku suka lagi rock leleh dari indorock, kau (dan orang lain) perkecilkan macam mana pun lah

Siberkop

Chi, kita serupa, kitaa serupaaa.

kakicucuklangit

peduli apa aku.

yang aku tahu eddie hamid patut kena sula pasal dia yang buat lagu dayu dayu.

rock konon.

p/s: indon rock pun dah tangkap leleh sekarang. hampeh.

Ejoi

Aku nak tanya, adakah Melayu Minimalis ini sama orangnya dengan si tuan punya blog 'power' The Malay Male? Cara penulisan tu ada persamaan, cuma si Malay Male dahulu lebih "marah" dalam penulisannya.

Melayu Minimalis, Malay Male, MM... persamaan yang disengajakan atau tak sengaja?

Tanpa Nama

effizul-
tolong ya aku bukan orang yang mengaku batang dia macam batang kayu.

perayau-
kamu dah cakap begitu kamu masih tak percaya ini semua konspirasi ke? haha.

Melayu Minimalis

hmm pelik.

dot

hmm pelik jugak.

carut sistem

tak perlu rasa pelik.. perlu rasa loya

hahahah

Tanpa Nama

konspirasi hahaha,
lagi satu sebelum terlupa.,
ganja,ubat batuk dan heroin!
aku rasa berkait rapat dengan konspirasi ini!
sebab pakcik aku n gang2 nya dah arwah akibat ketagihan dadah,mereka membesar pada zaman tu,aku igt lgi masa tu aku kanak2 lagi, pakcik aku selalu main gitar lagu "rock&leleh"!(adaptasi dari rock&roll)

Tanpa Nama

kalau kat tempat aku orang ni digelar,MATROCK KANGKANG,ROCKAPAK,ABG JIWANG,
DORANG NI KIRA TAK PERNAH MISS RANCANGAN PILIHAN BERSAMA TAJAAN RTM!

Tanpa Nama

Bukan konspirasi, hanya eksploitasi bisnis. Tidak ada kena-mengena untuk membuat pendengarnya terus meleleh. Hanya mengambil kesempatan ke atas psikologi demikian demi bisnis.
Juga tidak timbul kepala-ketua kerajaan mahu melelehkan remaja, anak muda kerana kepala-ketua tadi pun meleleh juga. Berlaku secara natural, lengkap-melengkapi. Dan kaki bisnis apa lagi (ini disengaja), mereka mengambil kesempatan ke atasnya. Tidak bersembunyi pun, dilakukan secara jelas dan terbuka.
Pernah dengar kata-kata ini:
i. kenapa kami nak buat lagu yang tidak laku?
ii. kalau konsep ini terus diterima, kenapa tidak?
iii. kita harus melayan kehendak sebenar pendengar (kalau filem, kehendak penonton) kerana mereka yang membeli produk kita, bukan pengkritik.
iv. kita yang membantu menaikkan industri seni negara, pihak lain bercakap saja, tidak terlibat pun.
v. dan lain-lain yang membawa maksud sama.

carut sistem,
anda loya? kesian...

Achan Sinclair

Mei Hwa - setahu aku..tu name amoy genit yg satu kelas ngan aku time sekolah dulu~ ade ke lagu tuh..huhu

ini mungkin teori aku terhadap teori konspirasi...hehe
Teori konspirasi, berasaskan minda2 yg bersyak-wasangka terhadap ssesuatu event..