Jumaat, September 05, 2008

Kita Dan Kuasa 2.



Aku pernah tulis tentang kerenah kita dan kuasa dahulu, dan hari ini aku ingin menambah sedikit. Tentang betapa obsesnya kita dan pangkat. Dan bagaimana kita semua mengukur tahap 'kekuasaan' kita.

Malangnya bagi kita, kita masih menilai dari segi harta, kuasa fizikal dan pangkat. Untuk orang biasa, pangkat-pangkat 'Datuk', 'Tan Sri', malah 'Abang' dan 'Ayahanda' yang menjadi buruan. Orang macam aku ni, aku bencikan hierarki. Tidaklah sampai ke tahap menyokong sosialisme, tetapi aku rasa sistem hierarki yang terlalu berpihak kepada golongan-golongan tertentu misalnya, lebih mendatangkan buruk dari faedah.

Di masa yang sama juga, kalau kamu perhatikan, sistem hierarki kurniaan pangkat ini sebenarnya mungkin berasal dari British. Sedangkan kita asyik melaung-laungkan mantra bahawa kita ini semua Merdeka, kita masih terikut-ikut sistem ala-British yang menganugerahkan kita dengan pingat AMN, PJK dan lain-lainnya. Ratu Elizabeth mungkin tersenyum sekarang. Dan kamu semua tahu bukan, bagaimana seseorang itu boleh mendapat pingat dengan cara yang tidak lurus. (Cara yang lurus pun ada juga, OK? Kita tidak sebengkok itu...)

Sebab pada pendapat aku, cara yang paling bagus untuk mengukur kejayaan adalah dengan tahap pengetahuan kamu. Dan dengan pengetahuanlah seseorang itu boleh menjayakan dirinya, bukan dengan cara membodek orang untuk mendapatkan 'projek', atau untuk 'menjatuhkan' orang lain agar kamu boleh mengawal 'kawasan' kamu, atau pun dengan taktik-taktik kaki pukul kamu.

Mungkin kita semua masih mencari jalan mudah sebab kita pasti yang kepentingan kita semua masih terjamin. Walau apa-apapun berlaku, kita masih diberi keutamaan, tidak perlu bersaing 100% untuk mendapatkan apa yang kita mahu.

Aku selalu terbayang, bagaimana keadaan kita sekarang, jika kita semua tiada 'kepentingan'. Dan selalunya apa yang aku boleh simpulkan adalah keadaan di mana mereka yang hanya benar-benar rajin, berusaha, dan yang penting sekali, yang layak, yang akan berjaya. Aku pasti dalam tiap-tiap 100 ataupun 1000 orang kita, pasti akan ada seorang dua yang benar-benar ikhlas ingin berusaha, yang tidak peduli sama ada mereka diberi peluang yang disuapkan ke dalam mulut mereka atau tidak.

Tetapi dalam sistem sosio-ekonomi masyarakat sekarang, di manakah mereka itu? Mereka hanya terpinggir di dalam sistem yang mengutamakan mereka. Segala pencapaian mereka, setinggi mana pun, akan hanya dikelaskan sebagai kejayaan atas sebab 'diberi peluang'. Bukan atas usaha titik peluh 100% mereka.

Sedih, bukan?

Sebaliknya, mereka yang hanya tahu hidup di bawah sistem hierarki sebegini yang akan maju. Mahu tak mahu, mereka yang ikhlas pun akan terjerumus ke dalam sistem ini. Yang tidak ingin serta akan dikelaskan sebagai 'anti-masyarakat' dan 'sampah bangsa'. Dan putaran serta kitaran ini tidak akan berakhir sehinggalah sesuatu yang drastik dilakukan.

Sedih, bukan??

6 orang ada pendapat sendiri:

Tanpa Nama

Belum ada kuasa tapi ada ilmu.

belum ada ilmu tapi berkuasa.

tak kuasa aku di ilmu

Tanpa Nama

dunia.. dunia..

farizzet

kantoi bulu kaki

Zaini

"Aku selalu terbayang, bagaimana keadaan kita sekarang, jika kita semua tiada 'kepentingan'"


John Lennon - Imagine.

Siberkop

Adoi, peha di bulan puasa.

Tanpa Nama

oh, my.

bila masuk bab² "berat" macam ni, komen sedikit.

lumrah alam la tu.

walau bagaimana pun, saya dapati bahawa keikhlasan sedemikian tidak diterapkan di dalam masyarakat sekarang secara menyeluruh.

ubah sistem pendidikan la, bukan gaya hidup.

mak bapak sebagai pencorak. tapi kalau nenek moyang dah tersalah corak, memanglah haprak generasi akan datang.

eh, tengah tengok cermin la ni. ouch.